Panggung Purnama bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 28 September ini dengan gabungan tiga pemuzik hebat dari Malaysia dan Indonesia.
Julung kali dianjurkan, penganjur UdaraLaskhar menampilkan dua nama besar dari Indonesia, Bilal Indrajaya dan Pamungkas yang masing-masing memiliki reputasi dan kelompok peminat setia. Turut menyertai adalah Fugo selaku wakil tunggal Malaysia yang menyifatkan penyertaan mereka sebagai reunion manis setelah sekian lama tidak sepentas bersama Pamungkas dan Bilal.
Dengan mempertaruhkan tiga pemuzik ini – Pamungkas, Bilal Indrajaya dan Fugo, penganjur optimis Panggung Purnama mampu menjadi antara konsert paling berharga tahun ini meski September sarat dengan deretan acara muzik.
“Walaupun September ini penuh dengan lambakan konsert, kami percaya Panggung Purnama tetap sukses kerana kekuatan setiap pemuzik. Semoga kita berjumpa di Zepp Kuala Lumpur pada 28 September,” ujar wakil penganjur UdaraLaskhar, John Labu.
Pamungkas yang diangkat sebagai headliner turut membawa ‘hadiah’ istimewa buat peminat tempatan. Buat pertama kali, beliau akan mendendangkan single terbarunya berjudul Sambung yang dilancarkan pada 12 September ini.
“Judulnya Sambung, itu single terbaru saya yang akan dipasarkan 12 September ya dan akan pertama kali saya dendangkan secara langsung di Panggung Purnama,” kata Pamungkas menerusi temu bual virtual yang berlangsung di Bijou Cafe, Ara Damansara pada Selasa lalu.
Selain itu, rangkaian lagu-lagu hits beliau juga akan mengisi pentas, termasuk kemungkinan besar gandingan bersama Bilal Indrajaya bagi lagu Yang Tercinta sekiranya mendapat keizinan Noh Salleh.
Bilal dan Fugo pula sudah menyiapkan persembahan masing-masing demi menjadikan Panggung Purnama satu pengalaman yang tidak dilupakan.
Bagi peminat, promosi khas ‘Beli Dua Tiket Dapat Diskaun 13%’ menggunakan kod MDKDUO ditawarkan dari 27 Ogos hingga 1 September 2025. Tiket masih boleh didapati dengan harga kategori Bintang (RM179), Langit (RM199), Awan (RM249), Bumi (RM239) dan Purnama (RM399) di www.ilassotickets.com.