BCL: Cinta Abadi, Romansa Selamanya – Lebih Daripada Sekadar Konsert!

oleh Boes!
0 komen 435 bacaan

Penghibur sensasi dari seberang, Bunga Citra Lestari (BCL) telah melabuhkan tirai siri konsert terbaharunya, BCL: Eternal Love Timeless Romance, Sabtu lepas.

Konsert yang berlangsung selama lebih dua jam di Dewan Plenary, KLCC tersebut membariskan artis ternama seperti pemain biola tersohor Dennis Lau, penyanyi baharu Indonesia yang sedang meningkat naik, Fajar Noor dan penyanyi hebat Malaysia, Jaclyn Victor. Dianjurkan oleh Pulse Project Asia, konsert itu mendapat sambutan hangat oleh para peminat yang membanjiri dewan, khususnya dari Malaysia dan Indonesia.

myticket_BCL

Konsert dibuka dengan gemersik irama biola Dennis Lau yang mendendangkan “The Journey”, diikuti oleh Fajar Noor yang memberikan persembahan memukau dengan lagu hits sewaktu pertandingan Indonesian Idol iaitu “Menjaga Hati” dan sebuah single baharu berjudul “Tuhan Tahu Aku Saling Cinta”. Seterusnya, aura vokal padu Jaclyn Victor memanaskan pentas dengan lagu hitsnya seperti “Ikut Rentakku”, “Racun” dan “Gemilang”.

Belting! Kredit : OPR Network

Segmen pertama BCL bermula dengan overture yang gempak, diikuti lagu “Ingkar”, “Jangan Gila” dan “Dance Tonight”. Satu kejutan besar buat peminat apabila lagu “Watak Utama” turut dinyanyikan bersama penciptanya, Yuna! Persembahan ini diiringi penari yang memukau dengan gerak geri dan susunan lagu yang lari daripada kebiasaan. Segmen ini sememangnya telah meletakkan penanda aras yang tinggi untuk malam itu!

“Watak Utama” bersama Yuna. Kredit : OPR Network

Suasana bertukar dramatik di segmen kedua yang berkonsepkan temu bual atau “talk show”. Sofa disusun di tengah pentas dan latar belakang pentas berubah seolah-olah di studio rakaman. Menariknya, perjalanan persembahan ditentukan oleh kempen kisah cinta peminat yang dijalankan BCL sebelum konsert. Dua kisah cinta terpilih, dan pemenang dijemput ke atas pentas. Mereka menceritakan kisah cinta yang terkesan di hati dan BCL mendendangkan lagu bersesuaian untuk menggambarkan cerita serta harapan kepada kisah tersebut.

Segmen Kedua. Kredit : OPR Network

Kisah tentang sunyi dalam perkahwinan, jodoh tak kesampaian, hubungan toksik dan ditipu hidup-hidup oleh wanita yang bertunang antara cerita yang mengisi emosi penonton untuk segmen kedua tersebut. Dan di setiap cerita, BCL menujukan lagu dan menitipkan doa melalui dendangan lagu yang kena dengan cerita cinta tersebut seperti “Tetaplah Di Hatku”,”Pernah Muda”.”Aku Tak Mahu Sendiri”, “Menghapus Jejakmu”, “Cinta Pertama”,”Memilih Dia” dan “Kecewa”. Segemen kedua ditutup dengan dendangan lagu “Love Story” yang didendangkan penuh syahdu bersama Jaclyn Victor sebelum pentas digelapkan untuk segmen ketiga.

Bersama pemenang kempen. Kredit : OPR Network

Segmen seterusnya, Soundtrack Kehidupan, semestinya menjadi satu segmen yang sangat mahal untuk konsert ini. Perjalanan kehidupan BCL dari awal pernikahan bersama arwah Ashraf Sinclair, kehidupan selepas kehilangan, membesarkan anak tanpa suami di sisi dan kehadiran suami baharu digambarkan melalui penceritaan dan dendangan lagu. Mengenang Ashraf Sinclair, montaj perjalanan BCL bersama arwah dan anak mereka, Noah, disiarkan. BCL menyanyikan “Wanita Terbahagia” dan “12 Tahun Terindah” (duet bersama Dennis Lau). Beliau turut menyanyikan “Selalu Ada Di Nadimu” didedikasikan untuk Noah, anaknya, yang juga merupakan lagu tema filem animasi Jumbo. Babak baharu kehidupannya dipaparkan dengan montaj pertunangan BCL bersama Tiko, diikuti dengan lagu “Memulai Kembali”. Segmen yang pastinya mengundang sebak ini ditutup dengan lagu “Cinta Sejati” sebagai dedikasi kepada peminat setia.

Bersama Dennis Lau dalam “12 Tahun Terindah”. Kredit : OPR Network

Segmen terakhir adalah penuh warna warni dan dinamik! Disuntik dengan elemen tarian dan electropop, segmen dimulakan dengan lagu popular “Sinaran” yang dinyanyikan BCL dengan gaya tersendiri, disusuli kejutan duet bersama Fajar Noor mendendangkan lagu “Putri Iklan” yang menaikkan namanya, kemudian “Aku Dan Dirimu” dan diakhiri dengan lagu “Kerana Ku Cinta Kau” dan “Badai Telah Berlalu”. Konsert melabuhkan tirai sekitar jam 11:50 malam, tamat dengan gemilang sekali!

“Putri Iklan” bersama Fajar Noor. Kredit : OPR Network

Secara keseluruhannya, konsert ini adalah satu contoh hebat kepada BCL dan artis Malaysia khususnya, dalam menyampaikan kelainan terhadap seleksi lagu yang telah menjadi siulan pendengar. Rombakan susunan lagu yang tidak mengubah mood asal lagu tetapi menyuntik elemen segar dan kontemporari adalah sesuatu yang patut dipuji. Lagu yang didendangkan adalah bertaraf mega dan konsert antarabangsa. Syabas juga kepada kumpulan iringan yang mengiringi kesemua penyanyi pada malam itu yang telah mencorak persembahan yang luar biasa!

Luar Biasa! Kredit : OPR Newtork

Namun, terdapat sedikit keluhan. Sedikit rasa tidak selesa dengan perjalanan awal konsert yang agak tersangkut. Mengapa Fajar Noor lambat keluar sewaktu segmennya? Pengacara adakala tidak mengawal transisi persembahan dengan lancar, menyebabkan ada momen janggal yang membuatkan penonton tertanya, “Bila nak mula?” Hal ini mungkin menyokong rasa tidak puas hati segelintir penonton di media sosial tentang kelewatan persembahan BCL selepas persembahan artis pembukaan.

Apa pun, penulis melabelkan konsert ini sebagai sebuah persembahan yang bermakna kerana penulis terhibur secara keseluruhannya. Konsert ini berjaya kerana ia menggabungkan mutu persembahan yang tinggi dengan kejujuran emosi yang mendalam dan sampai kepada penonton.

Cumanya, satu persoalan besar bermain di fikiran penulis untuk konsert BCL yang akan datang: Adakah konsep perjalanan peribadi hidupnya akan diguna pakai lagi dalam siri seterusnya Seperti Konsert BCL Blossom Intimate yang diadakan pada tahun lepas? Ataupun mungkin ini adalah yang terakhir? Dari kacamata penulis, konsert ini adalah seperti fasa terakhir grieving stage buat BCL. Adakah fasa acceptance beliau selepas ini akan menghasilkan sesuatu yang berlainan di masa hadapan? Sama sama kita nantikan!

BCL. Kredit : OPR Network

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅