
Kredit: Rockstage Entertainment
Band yang tidak asing lagi di arena muzik Malaysia, malah band ska yang paling terkenal di Indonesia, Tipe-X telah hadir sekali lagi pada tahun ini bagi menghiburkan para peminat tegar mereka.
Bertempat di JioSpace, Petaling Jaya pada 2 Ogos lepas, konsert ini dibawakan oleh Rockstage Entertainment sebagai penganjur rasmi acara yang diberi nama Skalut Party.
Tirai konsert dibuka dengan dua band pembuka yang memanaskan suasana. Banyak Bunyik Republik (BBR) tampil cemerlang sebagai band pertama. Mereka mempersembahkan lagu-lagu ciptaan sendiri yang berteraskan ska/reggae fusion dengan acuan bunyi tersendiri, memperlihatkan potensi besar BBR sebagai entiti baharu yang sedang menyerlah. BBR menutup set mereka dengan menampilkan artis jemputan dari Indonesia, Nath The Lion untuk menyampaikan lagu Satu Benua.
Usai BBR, band kedua iaitu Armpunk Sindicate mengambil alih pentas. Tanpa melengahkan masa, penonton terus dihidangkan dengan lagu-lagu ska/punk seperti Satu Bendera dan Dadah Durjana. Dewan JioSpace bertukar menjadi havoc dengan persembahan mereka yang penuh tenaga, dan lagu Noisy Punk dipilih sebagai penutup yang anthemic untuk set mereka.
Detik yang paling dinanti akhirnya tiba – Tipe-X, band yang sudah menjangkau usia 30 tahun penubuhannya, membuka persembahan dengan lagu Salam Rindu. Seluruh dewan bergema apabila penonton menyanyikan lagu ikonik itu bersama-sama, menjadikannya pembukaan yang tepat. JioSpace yang berhawa dingin seakan-akan dipanaskan dengan lagu-lagu seperti Pesta, Mawar Hitam dan Genit. Sebelum mempersembahkan lagu Genit, vokalis Tresno Riadi sempat mengimbas kenangan album sulung mereka, Ska Phobia, yang memperkenalkan nama Tipe-X ke persada muzik.
Tanpa banyak bicara, Tipe-X terus menghiburkan dengan lagu-lagu popular seperti Melati Aku Benci Kamu, Karena Cemburu dan Jantungku. Sorakan dan nyanyian paling rancak pastinya hadir ketika lagu-lagu hits seperti Tanda-Tanda Patah Hati, X-Friends, Selamat Jalan dan Kamu Ngga Sendirian dimainkan. Penonton yang rata-ratanya dalam lingkungan usia 30 hingga 40-an kelihatan cukup menghayati, malah menghafal setiap bait lirik.
Bahagian encore berlangsung dengan cukup meriah apabila Tipe-X mempersembahkan Sakit Hati dan Boy Band sebagai penutup rasmi. Dari bahagian hadapan hingga ke belakang dewan, semuanya bersorak, menari dan menyanyi penuh keriangan. Disebabkan sambutan yang terlalu hangat, Tipe-X akhirnya ‘tewas’ dengan jeritan “we want more”, lalu kembali ke pentas memainkan sebuah lagi lagu tambahan yang tiada dalam senarai asal. Kejutan ini nyata bukan sekadar gimik kerana anggota band sudahpun menanggalkan in-ear monitor dan meletakkan instrumen masing-masing selepas lagu Boy Band.
Terima kasih buat Tipe-X atas persembahan yang memukau dan bertenaga.
Namun, secara keseluruhan terdapat beberapa kekurangan yang wajar diberi perhatian. Salah satunya ialah kebiasaan yang sering kita lihat adalah kualiti bunyi yang lebih rendah untuk band pembuka berbanding artis utama. Meskipun dianggap sebagai “perjanjian tidak bertulis”, perkara ini wajar dihentikan kerana penonton semestinya mengharapkan kualiti maksimum untuk setiap persembahan.
Selain itu, paparan prompter lirik di skrin besar juga tidak selari dengan lagu-lagu yang dimainkan – dari BBR, Armpunk Sindicate hinggalah ke Tipe-X. Isu ini perlu diambil serius dan diperbaiki pada masa akan datang.
Sampai jumpa lagi, X-Friends!