The Rags: Tegas, Kotor dan Masih Lapar untuk Berkarya

The Rags Luncur Album Pertama

oleh Aniq Ammar Ekhwan
0 komen 329 bacaan

Selepas beberapa tahun mengasah taring di arena punk tempatan, The Rags kembali dengan album penuh pertama mereka, FAKE THE REAL GOOD.

Album ini merupakan sebuah karya yang memaparkan kritikan sosial berlapis, disulam dengan semangat persahabatan dan kejujuran berkarya. Walaupun sudah tersedia di platform digital sejak tahun lepas, isinya masih kekal relevan, malah semakin penting untuk didengar hari ini.

Ditubuhkan pada 2017 oleh Alep, The Rags membawa aliran pop punk atau lebih tepatnya melodic pop punk, dengan pengaruh kuat daripada Green Day, Blink-182, Sum 41 dan seangkatan dengannya. Idea band ini tercetus apabila Alep bertemu Anwar melalui grup WhatsApp Alam Gapura Event. Mereka kemudian mencari drummer dan berjumpa Ijat, hasil cadangan bekas rakan band Alep dan Ku Azri (Aktadiri) semasa bersama The Kids.

Pada 2023, sewaktu sibuk mencari kelainan bunyi, The Rags menambah Pojie di posisi gitar utama selepas beliau berperanan sebagai drummer sessionist. Namun pada penghujung 2024, Ijat memilih untuk meninggalkan band selepas album pertama dilancarkan. Kini, The Rags giat mematangkan lagi bunyi mereka dan aktif di beberapa siri gig tempatan.

Seperti tajuknya, FAKE THE REAL GOOD mengangkat tema kepura-puraan, manipulasi dan sikap mementingkan diri yang kian menular dalam masyarakat. The Rags tidak takut menyingkap wajah sebenar isu seperti kronisme, rasuah dan “punk korporat” — bukan sekadar dalam politik atau elit, tetapi juga dalam kehidupan seharian. Lagu “Kronisme”, misalnya, menampar realiti pilih kasih yang merosakkan merit dan keadilan. Menurut mereka,

“Album ni kritikal, tapi kami nak pendengar fikir balik, kadang-kadang kita keliru antara yang tulen dengan yang pura-pura.”

The Rags mula memperkenalkan diri menerusi EP Backstabber (2022) — karya mentah yang memberi isyarat kepada dunia bahawa band ini tidak main-main. Dengan album ini, mereka melangkah lebih jauh di mana pengisian liriknya lebih matang, produksi lebih terarah dan susunan lagu yang membentuk sebuah perjalanan emosional.

Keputusan ini dibuat kerana kami ingin bergerak lebih jauh dalam dunia muzik dan menunjukkan kematangan serta kesungguhan kami dalam menyampaikan mesej melalui karya. Album FAKE THE REAL GOOD bukan sahaja mencerminkan perkembangan muzik kami, tetapi juga komitmen kami terhadap apa yang ingin kami bawa kepada pendengar.

Walaupun begitu, mereka mengakui proses rakaman kali ini penuh dengan cabaran. Ada sesi rakaman yang diulang berkali-kali, ada detik ragu, malah cabaran membahagi masa antara kerja dan komitmen peribadi. Namun, semua itu berbaloi apabila hasil akhirnya memuaskan hati.

Yang membezakan album FAKE THE REAL GOOD dengan EP sebelum ini ialah tahap ketelitian dalam setiap aspek produksi ,dari segi susunan lagu, penulisan lirik, hingga ke mixing dan mastering. Kami lebih tahu apa yang kami nak sampaikan, dan kami ada lebih pengalaman serta kawalan terhadap bunyi yang kami hasilkan.

 

Paling susah sebenarnya bila datang rasa ragu. Macam, “Okay ke lagu ni? Orang faham ke apa yang kami cuba sampaikan?” Tapi dalam semua tu, kami belajar banyak benda pasal sabar, pasal teamwork dan pasal percaya dengan proses. Bila tengok hasil akhir, memang puas. Kira berbaloi penat lelah tu.

Antara 10 trek utama dan satu bonus track, “Ragsnation” jelas menjadi nadi utama album ini iaitu anthem rasmi yang meraikan perjalanan dan jatuh bangun The Rags. Ia adalah lagu untuk mereka sendiri serta semua yang pernah berdiri bersama mereka.

Selain itu, lagu-lagu lain juga membawa identiti tersendiri seperti “Rasuah” yang menyeru agar pendengar menolak ketamakan. “Peluang” menceritakan tentang kisah cinta jarak jauh penuh harapan, “Heartless” berkisarkan detik rapuh selepas kehilangan, “Handle This” berkisahkan solidariti untuk Gaza dan banyak lagi, termasuk kolaborasi bertenaga “Tempur” bersama UDA Rugby Club.

Dari segi susunan lagu dan lirik, FAKE THE REAL GOOD sudah kukuh. Tenaga dan kejujuran mereka jelas terasa. Namun, dari sudut produksi, masih ada ruang untuk hasil lebih kemas tanpa mengorbankan sifat “kotor” dan “nakal” yang menjadi identiti band. Mixing dan mastering boleh diberi sedikit sentuhan tambahan agar setiap instrumen dan vokal lebih seimbang, menjadikan mesej mereka lebih mudah menembusi telinga pendengar baharu.

The Rags kini sedang merancang siri persembahan di luar Kuala Lumpur sebagai tanda bahawa mereka masih lapar untuk memecah lebih banyak pentas dan menawan hati peminat baharu. Jika album ini tanda aras pertama, masa depan mereka tampak cerah… dan bising.

Kesimpulannya, FAKE THE REAL GOOD adalah bukti bahawa The Rags bukan sekadar band punk yang ingin membuat bising. Mereka mahu mengajak pendengar berfikir, merenung dan mungkin, melawan. Sedikit sentuhan teknikal akan membawa karya mereka ke tahap lebih tinggi tapi jiwa dan keberanian mereka? Itu sudah sedia hebat.

Ikuti perkembangan mereka di:

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅