Estrid Meledak Lembaran Baharu Muzik Rock Alternatif Tempatan dengan ‘Narsistik’

Estrid Luncur Buah Tangan Pertama

oleh Aniq Ammar Ekhwan
0 komen 1.2K bacaan

Di tengah arus muzik tempatan yang sering dikuasai pop dan balada, kemunculan Estrid memberi suntikan segar dalam bentuk rock alternatif moden yang lantang, sarat emosi dan berani. Pelancaran single debut mereka, “Narsistik” menandakan langkah berani sebuah band baharu yang sudah bersedia meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.

Ditubuhkan pada 2023, Estrid mula mencuri perhatian melalui persembahan di acara indie, termasuk “toilet gig” yang menjadi bualan dalam komuniti muzik bawah tanah. Mereka juga turut aktif di acara tribute untuk band-band antarabangsa seperti Muse, Nirvana, My Chemical Romance, Green Day dan Simple Plan.

Keempat-empat anggota Estrid datang dari pelbagai latar belakang berbeza: Mono (vokal), Ejazul Azim atau Agym (gitar), Naz (bass) dan Fairuz Rahman atau Pacat (gitar, piano, synthesizer). Nama “Estrid” diambil daripada mitologi Viking yang melambangkan kekuatan dan keberanian, nilai yang jelas terpancar dalam muzik mereka.

“Narsistik” ialah kisah tentang hubungan toksik yang dibina atas manipulasi psikologi, menggambarkan seorang wanita yang memerangkap lelaki dalam ilusi cinta demi kepuasan egonya. Lagu ini membawa pendengar melalui perjalanan emosi yang penuh intensiti dan ketegangan.

Melodi ciptaan Mono dengan susunan muzik oleh Agym dan Pacat ini membawa pengaruh besar daripada era awal 2000-an, ketika alternative rock, emo dan post-hardcore berada di puncak, namun ia diolah bersama elemen moden agar kekal relevan.

“Kami nak pendengar rasa dibawa masuk ke dalam cerita lagu ini. Ada marah, ada luka, ada kesedaran,” kata Mono ringkas.

Untuk memberi sentuhan berbeza, Estrid telah menjemput Danielle Desiree Williams, vokalis kumpulan Skies Are Red, sebagai penyanyi jemputan. Aura dan tenaganya menambah lapisan emosi unik kepada lagu ini, apatah lagi keberaniannya menyampaikan lirik penuh dalam bahasa Melayu walaupun ia bukan bahasa pertamanya.

Proses pembikinan “Narsistik” bukan tanpa cabaran. Rakaman muzik dibuat di home studio Agym, manakala vokal dirakam di beberapa lokasi termasuk home studio Mono dan Naz, serta di Angguk Studio bersama jurutera bunyi Jerry.

Proses Mixing dan mastering kemudiannya diserahkan kepada Moe Husaini, yang terkenal dengan ketelitian dalam menghasilkan bunyi seimbang. Keseluruhan proses dijalankan dalam bajet sederhana dan jadual ketat, terutamanya kerana Pacat akan berpindah ke Timur Tengah hujung Ogos ini.

“Tekanan masa dan bajet membuatkan kami lebih fokus. Setiap langkah kena tepat,” kata Pacat.

Secara keseluruhan, “Narsistik” mempamerkan susunan lagu yang kemas dan bertenaga, disokong oleh vokal mantap yang penuh emosi. Namun, potensi vokal ini masih boleh dipertajamkan lagi untuk memberi impak lebih besar pada persembahan seterusnya. Kualiti produksi juga berada pada tahap yang memuaskan, mencerminkan kesungguhan mereka walaupun berdepan kekangan masa dan bajet.

Dengan “Narsistik”, Estrid mahu membina ruang tersendiri dalam landskap muzik tempatan — menggabungkan bunyi lantang, lirik puitis bahasa Melayu dan susunan muzik yang bertenaga. Pengaruh awal 2000-an yang mereka bawa bukan sekadar nostalgia, tetapi dihidupkan semula dalam konteks baharu yang segar dan relevan.

Selepas pelancaran single ini, Estrid akan mempromosikan “Narsistik” melalui persembahan langsung dan platform digital. Mereka juga sedang menulis lagu untuk sebuah EP yang bakal memantapkan lagi identiti muzik mereka. Pacat berhasrat membawa inspirasi muzik Timur Tengah, termasuk elemen Phrygian scale untuk projek seterusnya.

“Narsistik” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital. Estrid mungkin baharu di radar muzik Malaysia, namun dengan semangat kental, keberanian bereksperimen dan lirik bahasa Melayu yang segar dalam rock alternatif, mereka muncul sebagai kumpulan yang wajar diberi perhatian.

Ikuti perkembangan Estrid di:

Facebook

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅