Air mata jantan pemilik nama penuh Cakra Konta Paryaman atau cukup masyhur dengan nama pentas Cakra Khan tumpah saat mengumumkan bahawa dia akan berehat daripada melakukan sebarang konsert dalam suatu jangka masa yang belum ditentukan. Pengumuman penuh emosi itu dilakukan ketika penonton sedang leka dan hanyut dalam perjalanan konsert yang masih berada di fasa memuncak. Semua berteriak hampa.

Kredit: Shiraz Projects
Tahun lepas, penulis berkesempatan menghadiri konsert penyanyi bersuara luar biasa ini yang diadakan di dalam sebuah universiti awam. Kali ini, apabila penulis tahu Cakra Khan kembali semula, penulis pantas menyatakan iya apabila menerima jemputan. Tiga tahun berturut-turut membuat konsert di kota Kuala Lumpur, apa rencana dan kelainan yang mahu Cakra bawakan?
Sabtu lalu (2 Ogos 2025), dewan gah Plenary Hall KLCC dipilih menjadi lokasi konsert Cakra Khan Divine Consert – Kuala Lumpur. 2,500 peminat setia Cakra berhimpun bagi menyaksikan kehebatan Cakra menghiburkan fans secara langsung. Iya, siapa yang mampu menafikan keupayaan jejaka yang satu ini. Datanglah berkali-kali, tetap juga tiket konsertnya akan terjual habis.
Seawal jam 8.45 malam, tirai dibuka dengan persembahan Setelah Kau Tiada, diberikan susunan muzik baharu yang lebih segar. Sorakan kuat penonton bergema saat penyanyi popular negara seberang ini tampil kacak di atas panggung. Set pertama pembukaan disajikan dengan tiga buah lagu – Persinggahanmu dan Mencari Cinta Sejati. Bijak susunan lagu pembukaan konsert yang team produksi rencanakan dalam membina momentum konsert pada malam itu.
Tahun ini, pihak produksi Shiraz Projects melaburkan wang yang bukan sedikit dengan menghimpunkan nama besar pemuzik dari dua negara. Tidak langsung lokek dalam berbelanja, Shiraz Projects bawakan sang diva dari negara Garuda, Titi DJ untuk tampil di atas panggung mempersembahkan duet terbaharu beliau bersama Cakra menerusi lagu Layar yang menjadi runut bunyi bagi filem Siapa Dia. Persembahan hebat dari penyanyi A class seperti mereka ini tiada apa yang perlu diragui.
Mana mungkin diterbangkan jauh Titi DJ kalau lagu berhantunya, Sang Dewi tidak didendangkan untuk penonton semua. Penyanyi legenda berusia 59 tahun itu tetap saja memukau dengan kehebatan vokalnya, notasi-notasi tinggi dalam persembahan Sang Dewi dialunkan dengan cukup indah. Mungkin peminat baharu akan terus membandingkan rendisi asal lagu ini dengan versi rakaman semula oleh Lyodra. Penulis sendiri secara peribadi cukup menyenangi kedua-dua versi kerana setiap satu itu dipersembahkan dengan jalan cerita dan momentum yang sedikit berbeza.
Ternyata keserasian gabungan Cakra Khan bersama sumandak Sabah yang seorang ini, Marsha Milan menerusi siri konsert tahun lalu cukup meninggalkan kesan. Hinggakan pada konsert kali ini, Marsha sekali lagi dipanggil sebagai artis jemputan. Penulis masih ingat performance mereka tahun lalu. Dan kali ini mereka mengulangi magika dua suara menerusi Seluruh Cinta. Suara Datuk Sri Siti Nurhaliza ibarat suatu jampi, yang mana tidak ramai orang boleh mematahkan atau menghilangkan pesona ketika menyampaikan lagu-lagu beliau. Namun Marsha berada dalam kelompok anak seni yang punya magis kerana mampu saja menyampaikan lagu tersebut dengan lenggok beliau sendiri, menyaingi kehebatan versi asal.
Usai duet tersebut, Cakra meminjamkan pentas sebentar kepada Marsha. Tanpa mensia-siakan peluang yang ada, pasti saja lagu juara miliknya, Hening Rindu dipersembahkan kepada penonton. Kongsi Marsha, Hening Rindu bukanlah sebuah lagu yang susah dalam arrangement vokal untuk disampaikan, tetapi tingkat kepayahan lagu ini terletak pada pembawaan emosi. Ketika berbicara pun Marsha sudah sebak dan emosi itu dijelmakan dengan cukup rasa menerusi Hening Rindu. Sorakan gemuruh penonton cukup menjelaskan walaupun itu sahaja persembahan solo Marsha, mereka cukup puas.
Kemunculan Ade Govinda juga cukup dinantikan peminat muzik nusantara. Menjadi pencipta lagu yang secara rasminya memecah rekod sebagai lagu Melayu pertama mencapai jumlah streaming melebihi 200 juta di Spotify Malaysia, Masing-Masing dipersembahkan oleh Cakra Khan ditemani petikan gitar oleh Ade Govinda. Di tangan Ernie Zakri, lagu ini diberi sentuhan lebih syahdu, manakala versi Cakra, suara jantannya menjadikan Masing-Masing dipersembahkan lebih bertenaga. Hal Hebat dan Kamu Adalah juga dipersembahkan bersama Ade, sambil kedua-dua mereka juga turun dari pentas dan berjalan keliling dewan untuk memberi pengalaman intim bersama peminat.
Malam itu, 26 buah lagu dipersembahkan oleh Cakra buat para peminat setianya. Selain lagu-lagu dari koleksi albumnya yang terdahulu, Cakra juga membawakan lagu Bunyi Gitar karya seniman agung Tan Sri P. Ramlee, Mencintaimu nyanyian asal Krisdayanti dan juga I Will Always Love You oleh Whitney Houstan. Berilah apa jua lagu, apabila dipersembahkan oleh beliau, tiada sedikit bayangan penyanyi asal langsung yang kita dapat bayangkan. Dan penulis cukup suka persembahan sederhana namun penuh emosi oleh Cakra menerusi Mencintaimu. Kepedihan dan kesedihan dalam lirik dijelmakan cukup mengesankan menerusi lantunan suara beliau.
Secara peribadi, penulis sangat bersetuju dengan keputusan Cakra untuk hiatus dan berhibernasi buat seketika daripada mengadakan konsert di Malaysia. Pertama, kehadiran dengan kerap ke sini tentu saja boleh menghilangkan faktor ‘WOW’ beliau. Apatah lagi jika balik-balik set lagu yang sama saja beliau bawakan. Bagi peminat setia yang tanpa gagal hadir ke setiap siri persembahannya, pasti akan rasa kecewa dan mungkin juga akan mula berasa bosan. Kedua, kehadiran tanpa buah tangan baharu dan sekadar membawa lagu lama, pasti juga bukan suatu proses yang boleh dibanggakan. Menjadi artis papan atas dalam industri, Cakra sedar dia perlu terus berkarya dan tampil dengan idea lebih fresh dalam dunia seni. Untuk itu, keputusan beliau untuk berehat daripada mengadakan konsert di Malaysia pada hemat penulis merupakan satu langkah yang bijak. Biarkan peminat tertunggu-tunggu dan rindu, barulah dia datang semula dengan tenaga dan idea yang lebih luar biasa.
Pandangan peribadi penulis, malam itu merupakan malam yang menyenangkan. Tidak berlebihan, tidak juga ada kekurangan. Menyaksikan penyanyi bersuara serak yang satu ini, ditemani barisan pemuzik yang bagus, dipersembahkan dalam dewan berprestij dan dilengkapi sound system dan visual yang padu – Cakra Khan Divine Concert Kuala Lumpur pasti saja menjadi satu lagi kenangan indah buat Cakra dan para peminatnya. Tiada gimik diperlukan, tiada juga persembahan luar kawalan atau arrangement pelik-pelik dipersembahkan. Melebihi usia sedekad menjadi anak seni, kedewasaan Cakra Khan di atas pentas dan bertutur bersama peminat cukup terserlah.
Mari kita nantikan, berapa lama Cakra bakal menjalani fasa hibernasi daripada melakukan konsert. Dan mari juga kita nantikan, lagu-lagu baharu yang bagaimanakah bakal beliau sajikan buat peminat setianya.
Malam minggu yang lalu, air mata jantan Cakra jatuh ke bumi.


