Pernahkah kita terfikir kenapa ramai selebriti terutama usahawan-usahawan popular berlumba-lumba untuk menyanyi? Mereka sanggup menghabiskan banyak modal dalam penghasilan lagu atas nama mereka sendiri sebagai penyanyi. Ini kerana, menyanyi adalah puncak kesempurnaan status seseorang artis.
Namun begitu, tidak semua berkemampuan dan mempunyai kapasiti untuk mencapainya kerana walaupun anda mempunyai ringgit berjuta, kemahiran vokal dan menyanyi adalah sesuatu yang tidak boleh dibeli dan diperolehi sesuka hati. Oleh sebab ia bukan komoditi seperti barangan harian, maka tidak hairanlah nilainya juga sangat premium dan hanya dimiliki oleh orang-orang tertentu sahaja (fikir tentang Mariah Carey, Whitney, sekadar beberapa nama).
Terbaru, aktres Fazura menjadi bahan sendaan orang ramai setelah visual nyanyian lagu beliau di sebuah rancangan di Indonesia tersebar melalui pautan Hot FM.
Fazura adalah kes terbaru selepas beberapa nama dan insiden vokal seperti Datuk Vida, Aliff Syukri dan The Gadys (Cintaku Sampai Ke Ethopia).
Secara umumnya, untuk menyanyi atau menjadi vokalis, anda perlu mempunyai, menghayati dan menguasai empat (4) perkara asas di bawah iaitu:
1. ‘Note’
‘Note’ atau notasi ialah bunyian yang terhasil pada skala getaran tertentu. Ia boleh dianggap blok binaan dalam muzik yang mana blok-blok inilah yang membina semua lagu dan melodi. Dalam muzik, hanya terdapat 12 ‘note’ iaitu A, A#, B, C, C#, D, D#, E, F, F#, G dan G#. Setiap lagu pula mengandungi ‘note-note’ yang akan membentuk irama dan variasi melodi. Untuk menyanyikan sesebuah lagu, penyanyi perlu menyampaikan ‘note-note’ yang terkandung dalam lagu dengan tepat. Juga disebut sebagai ‘hit the note’.
Kita selalu mendengar orang berkomen ‘sumbang’ dalam nyanyian namun sumbang terjadi bukanlah kerana suara yang tidak sedap, tetapi kegagalan mencapai ‘note’ yang dikehendaki.
Jadi, sekiranya vokal anda tidak mencapai note yang tepat atau sipi-sipi, itulah sahaja sebab nyanyian menjadi sumbang (tak hit note).
2. ‘Key’
‘Key’ ialah aras nada sesebuah lagu. Nada aras akan mengikut ‘note-note’ seperti perkara (1) di atas. Perubahan dari ‘key’ yang berlainan pula disebut ‘transpose’. Seseorang penyanyi biasanya menukar ‘key’ mengikut kesesuaian semasa persembahan. Sebagai contoh Amy Search lazimnya akan menurunkan key lagu asal (transpose) dalam persembahan konsertnya kerana faktor usia.
Seorang penyanyi dan vokalis biasanya akan mempunyai kebolehan untuk mengikut ‘key’ sesebuah lagu jadi tidak kira atas aras nada apa sekalipun, mereka boleh menghenyak lagu tersebut tanpa sumbang.
3. ‘Tone’
‘Tone’ boleh dianggap sebagai ‘warna’ suara seseorang. Setiap orang mempunyai ‘tone’ yang berbeza dan ia mempengaruhi penyampaian sesebuah lagu. Semakin unik ‘tone’ seseorang, semakin mudah ia mendapat perhatian ramai. Tone mungkin tidak terlalu penting untuk menyanyi tetapi ia boleh memberikan identiti tersendiri untuk lebih dikenali. Contoh ‘tone’ yang tersendiri ialah seperti Chris Cornell (baritone), Adela, Andmesh dan seumpamanya.
4. Vibrato
Vibrato ialah ekor getaran suara yang biasa dibuat oleh penyanyi pada penghujung patah perkataan dalam lagu. Penyanyi akan menggetarkan suara mereka di hujung ekor perkataan untuk mendapatkan impak vibrato ini. Cuba anda dengarkan lagu-lagu pop tidak kira Melayu atau Inggeris, 99% anda pasti akan dapat mendengar efek vibrato lazimnya di hujung patah-patah perkataan setiap lagu. Vibrato adalah elemen penting yang perlu dimiliki terutama jika anda menyanyikan lagu-lagu Melayu.
Kesimpulannya, 4 perkara asas di atas ialah pakej penting yang perlu ada oleh seseorang untuk menyanyi dan menjadi vokalis. Selebihnya adalah pemasaran, pemilihan lagu dan faktor penampilan atau identiti.
Benar, kemahiran menyanyi dan vokal adalah kurniaan Tuhan kepada segelintir individu tetapi sekiranya anda tidak memilikinya, jangan risau atau gulana. Seperti lapangan ilmu lain, ia sesuatu yang boleh dipelajari, dihayati dan dikuasai melalui latihan vokal (guru professional atau kelas vokal) dan disiplin pembelajaran.
Jadi berbalik kepada kes Fazura, adakah beliau boleh menyanyi? Mungkin boleh atau ya, tetapi tidak buat masa sekarang kerana kekurangan 4 pakej di atas serta komen-komen awam yang rata-rata mengakui perjalanan masih jauh untuk seorang Fazura menjadi penyanyi.
#ChivasAlexandria