Kugiran rock alternatif yang berasal dari Kuantan, Abjad Aksara telah melancarkan Video Muzik (MV) debut single mereka, Bayang-Bayang pada tanggal 16 Februari 2022 dengan jangka masa selama 3 minit 45 saat di saluran YouTube rasmi Luncai Emas.
Abjad Aksara dianggotai oleh Adam (vokal), Sairul (gitar), Ekmal (dram), dan Arel (gitar bass). Hadir dengan nama sebagai Papasthathopulous sebelumnya, kini mereka dijenamakan semula kepada Abjad Aksara dengan niat yang lebih teliti dan komitmen yang lebih tinggi dengan genre rock alternatif sebagai paksi haluan muzik mereka.
Bayang-Bayang berkisar tentang perasaan bersalah yang semakin lama semakin memakan diri dari dalam. Metafora bayang-bayang digunakan bagi mewakili entiti gelap yang wujud dalam diri dan akan sentiasa wujud tidak kira kecil atau besar.
Menurut mereka, kisah di dalam lagu Bayang-Bayang merupakan tafsiran tersendiri mereka tentang bagaimana sekiranya irama dan nada lagu tersebut dapat dizahirkan ke dalam bentuk perkataan. Ketika meniti usia dewasa, kita sebagai individu perlu sedar bahawa hanya dengan adanya kemahuan dan komitmen yang tinggi barulah dapat kita tinggalkan tabiat-tabiat lama yang negatif dan menyedari perbuatan-perbuatan ini bukan sahaja dapat memberi kesan terhadap kesihatan badan dan minda, malah turut menjejaskan hubungan dengan orang-orang tersayang.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Abjad Aksara dan lagu Bayang-Bayang, ikuti temubual kami di bawah:
Di ruangan komen Youtube, pendengar rata-rata memberikan feedback yang positif dan menganggap lirik Bayang-Bayang merupakan sebuah lagu ketuhanan, manakala dari sudut pandang Abjad Aksara pula Bayang-Bayang adalah sebuah lagu di mana individu berinteraksi dengan kegelapan di dalam dirinya sendiri. Apa komen Abjad Aksara?
Bagi kami, maksud sesebuah karya itu tidak semestinya perlu dihadkan dan diterjemahkan kepada hanya satu sudut pandangan. Secara jujurnya, kami semua di Abjad Aksara menerima dan mengalukan sahaja apa-apa interpretasi para pendengar mengenai Bayang-Bayang. Itu semua sebahagian daripada keseronokan dalam mendengar sesebuah lagu. Asalkan terlahirnya emosi di dalam si pendengar, samada kecil atau besar, makanya tercapailah hasrat kami.
Dengan Bayang-Bayang sebagai langkah pertama, apa short term future plan Abjad Aksara sekarang?
Buat masa terdekat ini, kami ingin menyusuli Bayang-Bayang dengan beberapa buah single lagi dalam masa terdekat ini. Sebelum tibanya tahun 2023, kami juga berharap untuk melancarkan karya full-length pertama kami.
Video lirik Bayang-Bayang boleh dikatakan agak gelap dan depressing. Boleh ceritakan bagaimana tercetusnya idea untuk video ini?
Dari segi penulisan dan estetik visual Bayang-Bayang, kedua-duanya didrafkan sewaktu dunia masih di dalam mod kuarantin dari wabak COVID-19. Ketika itu, kami berempat dan saudara Azriq Anwar (pengarah kreatif Bayang-Bayang) masing-masing berasa agak ‘jauh’ dan ‘keseorangan’. Di kala kami semua berjauhan dari keluarga, kawan-kawan, dan rutin kehidupan norma, mungkin dari situlah tercetusnya aspek ‘kegelapan’ Bayang-Bayang itu.
Ada apa-apa kata-kata terakhir untuk para pendengar?
Tak kira di mana anda semua berada, moga-moga semuanya sihat sejahtera. Sama-samalah kita jaga diri masing-masing dan orang tersayang. Terima kasih kerana mendengar dan menerima Bayang-Bayang. Jika berkesempatan, kami berharap kami berpeluang untuk persembahkan -Bayang-Bayang secara langsung kepada kalian semua. Satu hari nanti, mungkin.
Melakukan perkara yang betul itu bukanlah sesuatu yang mudah. Demikianlah Bayang-Bayang, seolah tukang karut sedang bercerita kisah teladan buat para pendengar. Meskipun sukar untuk kita menerimanya namun pasti akan wujud kemungkinan untuk kita kembali hanyut menjadi diri kita yang sebelumnya; menjadi ‘bayang-bayang’ yang selama ini bersusah-payah kita lari dan bersembunyi darinya.
Dengarkan Bayang-Bayang di saluran Youtube rasmi Luncai Emas dan ikuti Abjad Aksara di laman sosial rasmi mereka untuk informasi terkini mengenai rilisan dan aktiviti mereka pada masa akan datang.