Parti dan Diversiti – Mothflesh Capai Impian Laksana Majlis Pelancaran Album Machine Eater

oleh Rahmat Mohd Did
2.2K bacaan

Bagai sirih pulang ke gagang, Mothflesh kembali ke Rumah api setelah empat tahun penubuhan mereka sempena pelancaran album penuh kedua, Machine Eater yang berlangsung pada 19 Februari 2022.

“Rumah Api adalah tempat pertama kami perform dengan Mothflesh tahun 2018 dulu. Masa tu, Man (Beranak) lah yang sudi jemput kami walaupun belum ada material lagi masa tu. Man dan geng Rumah Api dah banyak support Mothflesh. Jadi it is only right that kita kembali kepada roots untuk celebrate rilisan album baru ni. Back to where we first started. ” – Imran (Mothflesh)”

[bandcamp width=100% height=42 album=1055828734 size=small bgcol=ffffff linkcol=0687f5]

 

Secara peribadi, penulis berpandangan Motflesh dan album Machine Eater adalah masa depan muzik metal Malaysia. Sebuah mahakarya tematik tentang huru-hara dunia pasca moden dan kebergantungan manusia terhadap mesin dan teknologi yang dikuasakan oleh ketumbukan tiga anggota yang sememangnya fasih dan layak membawa panji metal moden tempatan ke tingkat lebih tinggi, mungkin juga jauh ke serata dunia.

Terima kasih kepada vokalis Mothflesh, Imran yang akan turut memberi ulasan gig ini bersama-sama penulis. Asalnya minta komen sikit je pasal keseluruhan acara, dibantainya bagi esei. Jadi penulis guna sajalah. Rugi kalau tak pakai.


ULASAN GIG

Gig bermula sekitar jam 6.30 petang dengan henjutan instrumental melodic death metal jenama Omnivious yang berjaya memukau penonton dengan sound dan teknikaliti yang dipamerkan mereka. Dianggotai oleh Areef dan Amer di posisi gitar dan Arab sebagai tukang pukul, Omnivious adalah sebuah band yang sedap dilayan di pentas langsung dan mereka tidak memerlukan sebarang vokal untuk menarik penonton headbanging bersama.

“Masa soundcheck je ramai dah tergamam dengan sound mereka. Sepanjang set, crowd memang tak lekang tengok technicality dan musicianship yang dipersembahkan oleh Omnivious. Sememangnya, pembuka acara yang mantap.” – Imran (Mothflesh)

Transient Lost. Kredit foto: Clash Donnerin

Sepatutnya band kedua yang mengambil pentas selepas Omnivious adalah Patriots, namun mereka terpaksa menarik diri di saat akhir kerana kes kontak rapat Covid-19 dan slot mereka telah digantikan dengan band progressive metal, Transient Lost. Penulis terlepas menonton persembahan mereka kerana turun makan masa tu! Minta maaf geng!

“Sebenarnya Transient Loss (TL) ni bergiat aktif lebih kurang masa yang sama dengan Mothflesh, cuma belum pernah kongsi pentas sekali sebelum ni. Ramai yang actually first time tengok TL main live semalam dan crowd memang terpukau dengan kehebatan mereka. Dengan sound yang modern, music yang progressive disaluti alunan vokal yang sedap (dan ganas), jangan terkejutlah kalau lepas ni korang akan nampak TL mewarnai gig-gig underground yang mendatang.” – Imran (Mothflesh)

Lebih kurang jam 8 malam, band punk/ska/heavy metal Armpunk Sindicate meneruskan kemeriahan ‘parti’ dengan sound dan attitude mereka yang mungkin ramai antara pengunjung gig tempatan sudah kenal sebelum ini. Tak pernah tak riot! Penulis juga menyaksikan banyak progres dan kematangan dalam isi muzik mereka berbanding kali terakhir menonton pada tahun 2020. Band ini bakal melancarkan EP pertama dalam masa terdekat dan salah satu lagu dari dalam EP tersebut, Gula-Gula turut dipersembahkan buat kali pertama.

“Armpunk ni jenis band yang mana-mana pun mereka perform, confirm akan berpesta. Music yang beralunkan Ska Punk, Oi, dan elemen Thrash Metal yang sangat sedap, sambil mengangkat mesej perpaduan, anti-dadah, Mental Health dan lain-lain. Pada kami, Armpunk Sindicate ini memang true rock and roll attitude. Daripada gaya, pembawakan mereka, boleh dapat feel yang mereka ni bukan calang-calang band. Dah lama sebenarnya, Mothflesh dan Armpunk bekerjasama secara tidak langsung. Paling baru, kami telah mengeluarkan statement bersama tentang memastikan keselamatan di gig, terutamanya untuk tetamu wanita. Selain daripada showmanship mereka yang hebat, kami menjemput Armpunk kerana falsafah mereka dan Mothflesh tidak jauh beza.” – Imran (Mothflesh)

Band keempat yang menggegar pentas malam itu adalah Naratu, unit hardcore punk yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Energi, sound dan showmanship yang dipersembahkan di mana-mana pentas tidak pernah mengecewakan. Ini juga merupakan gig terawal unit Keramat Durjana tersebut bersama vokalis baharu, Kenix yang sememangnya layak menyambung legasi dan cop mohor Naratu yang sentiasa mengkucar-kacirkan lantai dansa. Turut dimainkan adalah lagu terbaharu mereka, Mata Pendusta. Dia punya chaos, Mothflesh pun ketar lutut nak perform lepas tu!

“Bila tiba masa Naratu perform, boleh nampak crowd dah makin ramai, lagi-lagi yang dah praktis 2 step dekat rumah. Haha! Apa lagi yang kita nak ulas pasal Naratu? Lagu pertama je, crowd dah menggila. Moshing sini sana, yang praktis 2 step dekat rumah dah boleh tunjuk kebolehan dekat situ. Yang headbang sampai nak putus leher pun ada. Daripada lagu pertama sampai lagu terakhir crowd tak henti-henti moshing. Kami dah rasa time tu, no point nak perform selepas Naratu sebab crowd dah puas. Haha!” – (Mothflesh)

Kemuncak acara, band yang ditunggu-tunggu dan diraikan hari itu, Mothflesh mengambil pentas dengan bergaya. Trio Imran (vokal), Maddog (gitar) dan Eze Mavani (bass) dengan bantuan dua orang sessionist, Kenneth Kishandave (gitar) dan Aizad Fauzi (dram) membawakan lapan lagu daripada keseluruhan 10 lagu dalam album Machine Eater:

1. Dogmacore
2. Hexburn
3. Reconstructing fire
4. The Lotus Denial
5. Myriagon
6. Chaos Intervals
7.Theory of Mind
8. Void Edge

Menurut Imran, mereka sudah membuat persediaan terbaik untuk aksi yang lebih liar dan bertenaga selain sound yang lebih mantap, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila laptop yang sepatutnya digunakan tidak berfungsi.

“Awal-awal kami dah berniat untuk menggunakan sistem IEMs dan wireless packs. Kami even dah sewa from Big A Productions untuk pakai masa event. Setup, live mixing semua dah. Tapi apakan daya. Time nak perform, laptop mati. Tak tahulah sebab overheat ke apa, but terus kong. Jadi nak taknak, kami teruskan show secara raw lah.”

Walaubagaimanapun, hal tersebut bukanlah isu besar kerana daripada apa yang penulis dengar dan lihat, mereka adalah sekumpulan pemuzik yang sangat profesional dan sentiasa bersedia dengan Plan B. Sound yang keluar masih juga besar dan ketat dan showmanship yang dipersembahkan tak perlu cakaplah. Tunggang terbalik Rumah Api dikerjakannya! Dalam temubual penulis, Imran turut memberi sedikit trivia tentang sessionist dan unit teknikal Mothflesh pada hari itu.

“Seperti mana yang korang tahu, Mothflesh sekarang ini secara rasmi terdiri daripada 3 ahli sahaja; Imran, Eze dan Maddog. Jadi kami menggunakan khidmat Kenneth Kishandave (gitar) dan Aizad Fauzi (dram) sebagai sessionist untuk event ini. Kalau korang nak tahu, solo lagu Chaos Intervals sebenarnya dimainkan oleh Kenneth Kishandave dalam album Machine Eater. Jadi why not kita panggil tuan punya badan untuk main live. Haha!  Live Sound kami dijaga oleh bekas gitaris Mothflesh iaitu Giri, seorang yang kami memang beri kepercayaan penuh untuk memastikan live sound yang memuaskan” – Imran (Mothflesh)


Parti dan Diversiti

Dua perkara utama yang menjadi fokus Mothflesh untuk majlis pelancaran album Machine Eater adalah parti dan diversiti. Melihat kemeriahan gig hari tu yang dah macam kenduri, penulis rasakan memang tercapailah impian mereka.

“Kami sebenarnya mahukan diversiti pada event ni. Itu sebab band-band yang main hari tu ada Metal, Punk, dan Hardcore. Dan kami juga memilih berdasarkan showmanship band-band tersebut kerana Mothflesh, secara persendirian, adalah sebuah band yang mementingkan showmansip. Jadi sangat ngamlah, kalau band-band yang main untuk event “Machine Eater” adalah band yang showmanshipnya hebat-hebat juga, even berkali-kali lebih hebat dari kami.

 

Environment ‘party’ yang kami ingin sediakan untuk para tetamu juga tercapai. Tak putus-putus kami nampak tetamu makan pizza dan nasi itik, sambil layan live music. Terima kasih Puncak Pizza sebab buatkan pizza fresh out of the oven utk semua orang di event.

 

Bolehlah kami katakan bahawa event hari tu telah berjalan dengan jayanya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada yang datang, dan juga yang telah memberi sokongan dari jauh. Tak sangka betapa murahnya hati peminat muzik tempatan untuk membantu menaikkan lagi nama Mothflesh. We promise you that we will be stronger than ever!”

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Mothflesh dan ribuan terima kasih juga kerana menjemput penulis menghadiri acara yang hebat dan bakal dikenang ini. Dunia perlu tahu tentang Mothflesh dan Rumah Api jadi saksi kebangkitan kalian memecah tradisi dan meninggalkan jejak dengan kesan mendalam. Semoga lebih murah rezeki selepas ini dan terus mewarnai skena muzik Malaysia dengan jenama metal moden terunggul!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅