Amuk Bukti Masih Berbisa Dalam Konsert Kasi Gegar Vs Cromok di Nilai

oleh Chiv Iscandar
1.3K bacaan

Amuk membuktikan mereka masih berbisa dengan persembahan hebat dan menghiburkan dalam konsert Kasi Gegar bersama Cromok yang berlangsung di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu, 26/4/2025 lepas.

Diterajui vokalis Bandi, Amuk membuktikan mereka adalah dalam kelas yang tersendiri dalam arena Rock tanahair.

Menonton persembahan Bandi seolah-olah seperti menyaksikan Bandi yang sama sekitar lebih 20 tahun lepas. Untuk rekod, Amuk ialah band Metal yang diasaskan oleh Bandi selepas keluar daripada Febians, lagenda rock kapak 80-an.

Kemasukan barisan pemuzik handalan Ritz Metalasia, Lantaroo dan Pae Sembah Bumi di posisi drum juga mengangkat persembahan Amuk pada malam itu ke satu tahap yang luar biasa.

Namun, kepaduan vokal Bandi adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikai. Ditambah dengan aksi keletah dan gimik antik Bandi yang bersahaja, memberikan rasa kepuasan yang mendalam kepada para penonton pada malam itu.

Susunan lagu-lagu Amuk yang memetik nostalgia seperti Akar Dan Bumi, Ranap, Ngap Sayot serta medley balada Matahari dan Aku Mahu Pulang memberi kehangatan konsert.

Lagu-lagu langka Febians seperti Rumie dan Julie, Untukmu Sayang juga turut didendangkan menambah nostalgik malam itu kepada para penonton.

Apa yang menarik juga ialah visual grafik dengan identiti Nusantara yang mengiringi setiap lagu mereka, sebagai contih motif pelangi dalam Untukmu Sayang dan motif Uda & Dara dalam Rumie Dan Julie.

Selepas Amuk, veteran Cromok mengambil giliran dengan hidangan set Metal yang pastinya diketahui ramai peminat mereka yang hadir.

Terdahulu, Rpigio yang terdiri daripada rockers-rockers tenpatan berbangsa India membuka pentas konsert dengan pembukaan bertenaga.

Penganjuran yang baik dan pemilihan lokasi yang dikira strategik di luar Lembah Kelang dengan fasiliti yang lengkap dan memuaskan seperti parking, hawa dingin dan tempat melepak yang luas dan selesa. Diharapkan lebih banyak konsert akan dibuat di stadium tertutup N9 Arena Nilai ini. Selain itu, jarak ke Nilai tidaklah terlalu jauh berbanding KL dan suasana persekitaran sekeliling yang meriah (pusat bandar Nilai) juga boleh menjadi daya tarikan terbaru konsert.

Apapun, Bandi membuktikan bisa yang dibawanya akan terus menjulang keberadaan Amuk di arena muzik. Mungkin satu-dua ‘single’ baharu daripada Amuk akan memberikan impak lebih besar kerana, umum telah sedia tahu kemampuan mereka dan tahap vokal Bandi untuk penghasilan material-material berkualiti.

#ChivasAlexandria

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅