Feby Putri Satukan Luka dan Harapan

oleh Hanis Izzatul
0 komen 340 bacaan

Kredit: Miebird Projects

Muzik itu bahasa hati. Ketika kata-kata gagal mengungkap perasaan, muzik jadi pengganti menyampaikan segalanya. Dalam nada dan irama, tersimpan ketenangan, harapan dan kekuatan. Ia menyentuh jiwa, memeluk luka dan perlahan-lahan menyembuhkan. Begitulah juga karya-karya dari gadis berusia 25 tahun asal Indonesia, Feby Putri Nilam Cahyani yang suaranya mengalun bagaikan bisikan jiwa yang tulus serta menjadi cahaya dalam gelap buat mereka yang memerlukan.

Ketika menerima jemputan untuk menghadiri Konsert Feby Putri Vol. 3 “Hitam Putih” Live In Kuala Lumpur yang berlangsung pada 19 Julai 2025 lalu di Zepp Kuala Lumpur, penulis berasa amat teruja. Ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi peluang untuk merasai secara langsung keajaiban muzik yang selama ini hanya menjadi peneman di saat-saat sendiri dan menyesakkan. Meskipun sudah kali ketiga gadis dari Makassar itu mengadakan konsert di Kuala Lumpur, ini merupakan kali pertama penulis berpeluang menyaksikan sendiri pesona dan emosi yang dibawanya di atas pentas.

Kredit: Miebird Projects

Secara jujurnya, penulis mula meminati Feby Putri sejak kemunculan album keduanya, Hitam Putih. Jika dalam album Riuh beliau banyak menceritakan tentang zaman remajanya, album Hitam Putih pula membawa naratif yang lebih matang. Album tersebut menggambarkan pahit manis kehidupan sebagai perantau dan pengalaman di alam pekerjaan. Kisah-kisah ini terasa sangat dekat di hati penulis, menjadikan karya Feby bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan realiti yang sangat relatable.

Hampir 2,000 peminat memenuhi ruang Zepp Kuala Lumpur pada malam itu. Masing-masing mengenakan pakaian serba hitam dan putih sesuai tema. Hitam menjadi simbol perasaan sedih, sakit dan marah, sementara putih melambangkan ketulusan hati, kebebasan dan kelegaan.

Sebanyak 17 buah lagu telah dipersembahkan, di mana Feby membawakan lagu-lagu hits daripada album Hitam Putih antaranya Semoga Ada Waktu Luang, Tayangan Oleh Kepala, Durasi, Senyum Semu dan Guratan Tangan.

Tidak ketinggalan juga karya-karya dari album sulungnya, Riuh, termasuklah Rantau, Liar Angin, Halu, Usik dan Cahaya. Persembahan pada malam itu disampaikan dengan penuh emosi, diiringi gerak tubuh dan gaya persembahan yang menjadi signature Feby Putri, sarat dengan penceritaan dan makna.

Kredit: Miebird Projects

Antara momen paling menarik pada malam tersebut ialah ketika Feby membuat kejutan turun dari pentas dan berada di tengah-tengah ribuan peminat yang hadir. Dalam suasana yang hangat dan penuh emosi, beliau menyanyikan lagu Perasa yang Baru Tumbuh dan Bagai Bintang Bulan secara up close dan personal, mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Tidak lengkap rasanya untuk mengulas konsert ini tanpa menyentuh tentang band pengiring pada malam itu yang menyempurnakan setiap melodi dengan begitu bertenaga. Sorakan dan jeritan para peminat membentuk gelombang emosi yang mengiringi setiap lagu, menjadikan semua yang hadir pada malam itu pulang dengan penuh rasa puas dan mungkin juga, sedikit lebih sembuh.

Untuk makluman, Konsert Feby Putri Vol. 3 “Hitam Putih” Live In Kuala Lumpur ini telah dianjurkan oleh Miebird Projects, dengan kerjasama produksi daripada BlackCat Asia serta sokongan publisiti dan kempen media yang dikendalikan oleh OPR Network.

Kredit: Miebird Projects

Terima kasih Feby Putri, kerana telah menjamu halwa telinga kami semua dengan rangkaian lagu yang bukan sahaja sedap untuk didengar, tetapi juga disulam dengan lirik-lirik yang sarat dengan rasa, cerita dan jiwa.

Sampai jumpa lagi di ruang di mana muzik menyatukan kita, bukan sekadar hitam dan putih, tetapi penuh warna dari setiap perasaan yang kita kongsi bersama.

Semoga kita sentiasa bersangka baik dengan takdir Tuhan, walaupun kadang perasaan itu menyakitkan, kerana dari setiap luka itulah kita belajar untuk menjadi lebih kuat dan menghargai setiap warna dalam kehidupan.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅