Bila Cinta Tak Seharusnya Memiliki

Olevia buat kemunculan semula dengan karya penuh emosi dan realiti, "Seandainya."

oleh Aniq Ammar Ekhwan
0 komen 737 bacaan

Ada kalanya, cinta bukan tentang memiliki. Ia hanya hadir dalam diam, tersembunyi di satu sudut hati yang kita tahu tidak akan pernah menjadi nyata. Dan itulah yang dirangkum dengan penuh kejujuran oleh kumpulan pop rock alternatif, Olevia, menerusi single terbaru mereka yang bertajuk “Seandainya”.

Lagu ini bukan sekadar buah tangan sulung selepas proses penjenamaan semula daripada nama asal mereka, Victoria’s Love Letter (VLL). Ia adalah pernyataan emosi yang tulus dan pedih, disampaikan dalam susunan muzik yang ringkas tapi jujur, dengan mesej yang mampu menggegar ruang hati pendengar.

Ditulis pada Disember 2024, Seandainya menceritakan dilema seorang individu yang jatuh hati kepada seseorang, namun dalam hati kecilnya, dia tahu cinta itu mustahil. Maka dia memilih untuk berpura-pura tidak rasa apa-apa—kononnya untuk ‘sedar diri’. Tiada ayat klise. Tiada janji manis. Hanya realiti.

Menurut Olevia, lagu ini diilhamkan daripada filem Jepun My Tomorrow, Your Yesterday, namun diubah suai agar sesuai dengan naratif peribadi si pencipta. Hasilnya ialah sebuah kisah yang bukan saja menyentuh, tetapi juga membumi—kerana siapa antara kita yang tak pernah merasa sebegini?

Walaupun direkod secara home recording, proses mixing dan mastering diserahkan kepada seorang produser dari Indonesia bagi memastikan kualiti yang lebih kemas. Namun begitu, ketika didengarkan, Seandainya masih menyimpan sedikit kekurangan dari segi campuran bunyi—seolah-olah “kurang garam”. Tapi apa yang kurang dari segi teknikal, diganti dengan kejujuran dalam melodi dan liriknya.

Susunan lagu ini pula tidak terlalu rumit, tetapi cukup untuk membalut emosi yang ingin disampaikan. Ada elemen kesederhanaan yang terasa tulen, tidak dibuat-buat. Dan mungkin di situlah kekuatan sebenar Olevia terletak—mereka tidak cuba jadi orang lain.

Seandainya juga menandakan fasa baharu buat kumpulan ini. Sejak ditubuhkan pada 2013 sebagai Victoria’s Love Letter (VLL), mereka telah melalui pelbagai perubahan, termasuk pertukaran ahli dan hala tuju muzik. Tahun 2025 menjadi detik penting apabila mereka memutuskan untuk rebranding kepada Olevia, sebagai simbol penyegaran identiti dan semangat baharu. Kini, Olevia terdiri daripada Yen (vokal/gitar), Lan (dram) dan Hash (bass/vokal), dengan pemain gitar utama diisi secara sesi buat masa ini.

“Kami rasa sudah tiba masanya untuk segarkan semuanya. Nama baru, tapi lagu-lagu lama tetap kami bawa bila bermain secara langsung. Cuma kali ini, fokus kami lebih jelas—menuju pasaran arus perdana,”

Tidak seperti kebanyakan band bawah tanah yang kekal dalam niche tertentu, Olevia memilih laluan berbeza. Mereka mahu muzik mereka menjadi santapan telinga semua peringkat umur—daripada remaja hingga yang lebih dewasa. Maka tak hairan jika nada radio-friendly jelas kedengaran dalam hampir semua karya mereka.

“Kami sentiasa anggap muzik kami ini macam surat cinta. Kami tulis, lipat, jadi kapal terbang kertas dan biarkan ia terbang ke mana ia mahu. Kalau sampai kepada pendengar, itu tandanya cinta kami diterima,”

Tahun ini, Olevia sedang merancang untuk melancarkan sebuah EP baharu menjelang hujung tahun atau awal 2026. EP tersebut akan memuatkan beberapa lagu baharu termasuk Seandainya, dan beberapa lagu lama dari EP terdahulu Surat Untuk Dunia yang akan di-remaster dan dilancarkan semula. Bukan itu sahaja, mereka kini sedang mencari label yang bersedia bekerjasama untuk membawa muzik Olevia ke pasaran lebih besar dan mainstream.

Kesimpulannya, Seandainya mungkin belum sempurna dari sudut teknikal, tapi ia memiliki satu perkara yang tidak mudah dibeli atau diajar—kejujuran. Lagu ini menyentuh kerana ia datang dari tempat yang sebenar, tentang perasaan yang kita semua pernah rasa, tapi jarang mampu luahkan.

Jika ini permulaan bagi Olevia yang baharu, maka ini adalah permulaan yang meyakinkan. Mereka hanya perlu diasah sedikit lagi. Dan jika itu berjaya, tak mustahil nama Olevia akan jadi sebutan arus perdana dalam masa terdekat.

 

Ikuti Olevia di

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅