KOFIGURA: Satu Jiwa, Satu Lagu, Sebuah Kebangkitan Alternatif

Kofigura Luncur Single Pertama "Jiwa Yang Indah"

oleh Aniq Ammar Ekhwan
0 komen 527 bacaan

“Cinta itu tak perlu berbalas, asalkan dia bahagia, aku juga bahagia.”
— Kofigura – Jiwa Yang Indah

Dalam dunia muzik arus perdana yang semakin homogen, muncul sebuah kugiran baru yang tampil dengan kelainan tersendiri — Kofigura. Berpaksikan semangat persahabatan, cinta terhadap seni dan keinginan untuk mengembalikan maruah rock alternatif tempatan, band ini muncul dari satu lagu dan berkembang menjadi sebuah entiti dengan identiti tersendiri.

Kofigura ditubuhkan oleh Ceqap, seorang pemuzik yang menulis dan merakam lagu pertamanya “Jiwa Yang Indah” hanya dalam bilik sendiri. Menurut beliau:

“Masa tu aku cuma main gitar dengan crunchy drive. Dari situ lahir lagu pertama, dan aku mula rasa nak kumpulkan balik kawan-kawan yang pernah jamming dengan aku dulu,”

Gabungan semula ini akhirnya membentuk Kofigura — hasil himpunan anggota dari pelbagai projek muzik terdahulu iaitu Ceqap (vokal)Luqman (dram), Im (gitar), Zani (bes) dan Palali (gitar). Nama ‘Kofigura’ sendiri adalah gabungan dari dua perkataan: Konfigurasi dan Figura — mewakili penyatuan bentuk dan jiwa yang berbeza genre.

Single sulung mereka “Jiwa Yang Indah” kini boleh didengari di semua platform digital. Lagu ini bukan sekadar karya audio — ia merupakan naratif mendalam tentang perasaan cinta tanpa syarat.

“Lagu ni sebenarnya tentang seseorang yang bila kau dengan dia, jiwa kau rasa tenang dan lembut. Cinta tu sepatutnya tak bersyarat. Kau sayang dia, walau dia tak balas pun, tak apa. Asalkan dia bahagia, kau pun bahagia,”

Dari segi teknikal, lagu ini menunjukkan potensi besar. Susunan lagunya mengingatkan kepada era indie 2000-an — ada kekuatan dari segi rasa nostalgia, namun masih boleh diperkemaskan dari aspek dinamik agar lebih bertenaga dan tidak terlalu predictable. Lirik pula tersusun dan puitis, membawa mesej yang mudah dihayati serta dekat dengan pendengar yang pernah mencintai dalam diam.

Vokal Ceqap memiliki karakter tersendiri dan dijangka memberi impak lebih kuat secara langsung (live). Namun dalam versi rakaman, masih ada ruang untuk penambahbaikan dari segi kejelasan dan lapisan vokal, yang boleh ditingkatkan melalui proses tweaking dalam produksi.

Produksi lagu ini kotor dan nakal, memberi rasa raw dan jujur yang jarang didengar dalam produksi muzik kontemporari tempatan. “Aku memang suka rakaman cara analog, drum pun record betul, bukan program. Mixing dan mastering pun kawan aku, Lanques buat kat rumah je. Tapi kat situlah proses paling kritikal,” tambah Ceqap.

Dari segi originaliti, Kofigura sudah mula membina tapak mereka, namun masih ada ruang untuk lebih berani mencipta identiti bunyi sendiri yang benar-benar unik dalam lanskap muzik Malaysia.

Band ini juga mempunyai perancangan jangka panjang. “Tahun ni, insya-Allah kami nak keluar lagi dua single. Tahun depan dua lagi. Lagu dah siap, tinggal nak record, mix dan publish. Plan kami nak buat video klip yang ikut jalan cerita — lima lagu, satu storyline,” kata Ceqap penuh semangat.

Dari segi bunyi, Kofigura membawa pengaruh alternative progressive rock dalam instrumen dan melodi psychedelic dalam vokal. Gabungan ini menjadikan lagu mereka tidak hanya segar tetapi juga mesra telinga — sebuah kombinasi yang jarang ditemui dalam muzik tempatan mutakhir ini.

Visi mereka jelas — untuk menjadi suara alternatif bagi mereka yang rindukan zaman kemegahan muzik rock dan indie tempatan. “Saya nak bawa balik kelainan bunyi dan keunikan yang kita pernah banggakan dulu. Setiap lagu ada cerita dan pengajaran — untuk mereka yang faham,” ujar Ceqap menutup bicara.

Untuk mengikuti perkembangan mereka, peminat boleh mencari Kofigura di Instagram melalui akaun @kofiguranyata. Lagu “Jiwa Yang Indah” pula boleh didengari di YouTube dan Spotify.

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅