Empat tahun selepas insiden ‘amukan peminat’ sewaktu showcase 16 Baris di The Bee, Joe Flizzow kembali ke venue sama sempena pelancaran single kolaborasi terbaharu beliau bersama SonaOne, Satu Malam di Temasek pada 26 Jun 2022.
Padat, hangat dan meriah! Begitulah suasana yang dapat penulis gambarkan pada malam Ahad tersebut. Kira-kira 800 orang peminat membanjiri The Bee untuk menyaksikan The President kembali beraksi selepas lama berpuasa akibat pandemik.
Selain debut Satu Malam di Temasek buat kali pertama di pentas langsung, Joe Flizzow turut mendendangkan lagu-lagu popular beliau termasuk Havoc, Baek, Kongsi, Aku Tak Kenalmu, Satu Kali, Sampai Jadi, Ciao dan banyak lagi. Persembahan turut dihangatkan dengan aksi pembuka tirai daripada rakan-rakan artis lain seperti DJ CZA, Yonnyboii, Gard Wuzgut, Alyph dan Pele L. Fuego. Sambutan peminat sangat mengagumkan dan penulis sendiri tidak menyangka, dalam masa singkat promosi showcase ini, tiket sold out! Ranah hip hop benar-benar sedang menggugat industri seni tanah air masa kini.
Satu Malam di Temasek Padat Kiasan
Setelah kejayaan lagu Apa Khabar memenangi Anugerah Juara Lagu 29 pada tahun 2015 dan runut bunyi Evo pada tahun sama, duo Joe Flizzow dan SonaOne kembali berkolaborasi dalam Satu Malam di Temasek di fasa endemik untuk menggegar industri.
Lagu ini sarat dengan lirik cerdik penuh kiasan dan sindiran nukilan bersama Joe Flizzow dan SonaOne yang pasti akan menaikkan lagi tanda aras irama hip hop di Malaysia.
“Satu Malam di Temasek adalah karya yang bercerita mengenai diri saya. Daripada budak nakal hingga melalui fasa perkahwinan seperti situasi hari ini.
“Ia juga satu bentuk nasihat untuk diri sendiri. Walaupun tunjang utamanya adalah mesej dan nasihat, pada masa sama, tetap meraikan kehidupan.
“Jika saya gambarkan karya ini dalam bentuk perumpamaan Melayu, perumpamaan yang sesuai adalah hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.
“Segala yang dikejar dalam dunia bersifat material, semua ini tak mampu dibawa ke mana-manapun. Single Satu Malam Di Temasek mengingatkan diri bahawa dunia itu hanya sementara,” ujar beliau.
Dengan bait lirik bahasa Inggeris berbunyi, “Imma be an hour late to my funeral” (“Aku bakal lambat sejam ke pengebumian ku sendiri”) oleh SonaOne di hook lagu tersebut, Joe Flizzow mencerminkan tentnag perjuangannya dalam mengharungi cabaran dan menata sejarah sendiri jika perlu.
Video muzik (MV) Satu malam di Temasek baru sahaja diluncur di YouTube Joe Flizzow pada 1 Jun 2022. Peminat juga boleh menikmati lagu ini di semua platform strim digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.
Ikuti Joe Flizzow di: