Kumpulan rock dan ska legenda tanah air, Spider, membuktikan mereka bagai ‘Aladin’ moden yang mempunyai magis tersendiri. Tanpa perlu ‘Relaku Pujuk’ atau gimik yang keterlaluan, pengumuman mengenai konsert berskala besar mereka sudah cukup untuk membuatkan seluruh peminat setia bersatu hati.
Diberi nama ‘Spideraya’, perayaan muzik anti-graviti ini bakal menemui peminat pada 26 September 2026 bertempat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam. Selepas lebih tiga dekad mengukir nama di belantika muzik tempatan serta diiktiraf dengan pelbagai anugerah, ini merupakan kemuncak penantian apabila buat pertama kalinya Spider bakal berpesta dalam sebuah konsert berskala stadium, selepas kejayaan beberapa siri konsert intim mereka pada tahun-tahun sebelum ini.

Bakal direalisasikan oleh B7 Resources Sdn Bhd dengan mendapat kerjasama daripada Denim Monger dan Banglo 289 sebagai penaja rasmi, penganjuran Spideraya ini boleh dilihat sebagai sebuah peristiwa ajaib yang tidak boleh ditangguh lagi. Menurut wakil penganjur, Khairul Afizi (Khai), jenama Spider itu sendiri sudah mempunyai kualiti dan kredibiliti yang sangat kukuh dalam ranah muzik tempatan. Beliau juga menegaskan menerusi kenyatannya mengenai pemilihan Spider untuk konsert ini::
Spider tidak perlu ‘menjual’ karya mereka dengan terlalu keras. Katalog muzik mereka daripada zaman album Ngam Ho (1998) sehingga Ankabut (2016) masih relevan sehingga ke hari ini walaupun tanpa karya baharu. Nama ‘Spideraya’ dipilih sebagai lambang perayaan fasa dan evolusi muzik mereka. Kami percaya daripada generasi Milenial sehinggalah Gen Z, semua membesar dengan lagu-lagu seperti ‘Mungkinkah Terjadi’ atau ‘Kasih Latifah’.
Bagi Spider yang dianggotai oleh Tam, Aie, Iss, dan Pown, konsert ini merupakan satu impian atau ‘Nazraku’ yang akhirnya menjadi kenyataan. Vokalisnya, Tam, menegaskan bahawa keputusan untuk mengadakan Spideraya telah diperhalusi dengan matang demi memberikan impak terbesar kepada industri hiburan.
Apa yang Spider selalu pentingkan dalam setiap kemunculan kami adalah kesan baik yang ditinggalkan kepada peminat dan keseluruhan industri. Kami adalah pemain industri yang serius, maka kami sangat serius dalam mempersiapkan konsert berskala besar ini. Spider akan membawakan konsep perayaan yang tidak akan pernah dilupakan,
Satu sidang media telahpun diadakan di Banglo 289, menghimpunkan para media tradisional dan digital bagi membuat pengumuman mengenai konsert ini. Khai berkata konsert kali ini akan bermain dengan angka 3, yang mana dijangkakan 30 lagu akan didendangkan selama 3 jam menerusi 3 segmen khas. Selain itu, akan ada kejutan kepada 100 pembeli tiket pertama yang bakal mendapat cenderamata khas daripada pihak penganjur.
Ditanya mengenai pemilihan lokasi, Khai menjelaskan bahawa Stadium Hoki Nasional dipilih bagi menampung evolusi peminat Spider yang kini merangkumi pelbagai generasi sepanjang 30 tahun penglibatan mereka dalam industri. Pihak penganjur juga sedang melakukan persiapan yang rapi bagi memastikan kelancaran konsert berada pada tahap maksimum.
Uniknya, kategori tiket yang ditawarkan dinamakan sempena tajuk-tajuk lagu hits mereka bagi menambah keterujaan peminat. Tiket-tiket dijual bermula daripada harga RM148 sehingga RM268. Peminat dinasihatkan untuk bersiap sedia agar tidak terlepas peluang keemasan ini. Tiket boleh dibeli secara maya mulai 26 Jun ini di laman tiket rasmi, ticket2u.com.my.

Dengan persiapan rapi berskala stadium, janji 30 buah lagu dan konsep perayaan yang unik, ‘Spideraya’ pastinya menjadi antara konsert tempatan yang paling dinantikan tahun ini. Selepas tiga dekad menanti kemuncak kegemilangan ini, inilah masanya untuk peminat merentas generasi bersatu hati di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. Dapatkan tiket anda pada hari pelancaran sebelum terlambat dan bersedialah untuk berpesta raya pada September nanti! Ngam Ho!