Magis Fourtwnty Bawa Anak Indie Ke Zona Paling Nyaman

oleh Muhammad Ridhwan Bin Sa'aya
1.3K bacaan

“Berada di Kuala Lumpur akan selalu terasa seperti di negeri sendiri.” Berulang kali kalimah tersebut diucapkan kumpulan pemuzik terkenal Indonesia, Fourtwnty sepanjang konsert Fourtwnty: Heliotropisme Live in Zepp Kuala Lumpur yang berlangsung di Zepp Hall hujung minggu lalu.

Hujan seawal pukul 5 petang pada kedua-dua hari konsert bukan kekangan bagi lebih 3,000 penonton untuk hadir di kedua-dua malam, khususnya peminat tegar Fourtwnty bagi menyaksikan karisma vokalis utamanya, Ari Lesmana.

Kredit: Shiraz Projects

Meninggalkan momen terindah kepada peminat-peminatnya, persembahan Fourtwnty ternyata memukau dengan mendendangkan lebih 15 buah lagu-lagu hits mereka seperti Argumentasi Dimensi, Kita Pasti Tua, Aku Tenang, Kursi Goyang dan Fana Merah Jambu.

Sepanjang konsert yang berlangsung sekitar 2 jam, sorakan daripada penonton tidak henti-henti terdengar.

“Sudah 2 tahun saya tidak menjejakkan kaki di Malaysia kerana Pandemi. Kami kangen! Ini malam terbaik.”

“Tanpa anda semua, kami bukan apa-apa. Terima kasih sekali lagi Malaysia,” kata Ari ringkas usai menyanyikan salah satu lagu popularnya bersama Fourtwnty berjudul Zona Nyaman.

Kredit: Shiraz Projects

Tema bunga matahari yang diberi nama Heliotropisme ini adalah tema yang dibawa ke Malaysia dengan menggunakan nama sama di 10 buah lokasi jelajah di Indonesia antaranya Medan, Makassar, Yogyakarta, Malang dan Palembang. Dan judul lagu-lagu yang sama juga dibawakan khas ke Malaysia sebagai salah sebuah lokasi istimewa dalam rangkaian jelajah tersebut.

Nama unik Heliotropisme untuk jelajah ini diambil dari kisah bunga matahari yang hidup di dataran tinggi dengan cuaca tropika. Begitulah juga sama seperti logonya, di mana bunga matahari selalu menghadap ke arah matahari, Fourtwnty juga berharap untuk sentiasa melihat dan mengikuti apa sahaja yang menjadi keinginan semua penggemar muzik unik mereka.

Kredit: Shiraz Projects

Memasuki segmen terakhir persembahan, Ari Lesmana sempat menyelitkan sepotong ucapan pendek kerana rasa terharu dengan sokongan peminat di Malaysia.

“Kalau bukan disebabkan sokongan daripada kalian, kami tidak akan jadi seperti hari ini,” ujar beliau. Selain Ari, kumpulan itu turut dianggotai Nuwi, Agi, Primanda ridho, dan Ryan. Kumpulan Fourtwnty yang didirikan pada April 2010 amat berharap konsert ini dapat mengubat kerinduan para peminat mereka di Malaysia yang tertunggu-tunggu kemunculan mereka sejak kali terakhir datang ke sini tiga tahun lepas.

Kredit: Shiraz Projects

Memenuhi permintaan luar biasa peminat, konsert yang pada awalnya dirancang untuk diadakan hanya satu malam tersebut berlangsung selama dua malam, pada 1 dan 2 Oktober di lokasi sama. Tiket untuk kedua-dua hari habis terjual dalam masa lebih kurang 2 jam sahaja. Konsert ini diurus dan dibawakan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd.

Kredit: Shiraz Projects

Bukan hanya seleksi lagu yang menarik, sistem bunyi dan video latar yang hebat juga telah menjadikan konsert Heliotropisme ini sebuah kenangan yang sukar untuk dilupakan. Pendek kata, harga tiket yang dibayar sangat berbaloi dengan pengalaman yang disajikan.

Kali pertama dan terakhir Fourtwnty membuat persembahan di Malaysia ialah pada tahun 2019 di UTM Residensi Hall, Gurney Mall.

Ikuti mereka di:

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅