Levi’s® Music Project edisi Malaysia telah pun selesai fasa pertama program ini dengan mengumumkan pemenang geran muzik video iaitu, Kumpulan Margasatwa. Panel hakim sebulat suara telah membuat keputusan muktamad yang terdiri daripada mentor program, dan wakil Levi’s® Malaysia telah menyaksikan persembahan hebat oleh para finalis semasa virtual showcase yang disiarkan melalui saluran YouTube Levi’s® global pada 22 Disember yang lalu.
Beberapa faktor-faktor yang telah dititikberatkan pada persembahan mereka. Ia termasuk keaslian dan kreativiti lagu, teknik vokal yang dipersembahkan, susunan lagu secara keseluruhan, dan cara mereka mempersembahkan diri diatas pentas. Keempat-empat finalis, termasuk kumpulan indie, Alien Lipstick Fire; kumpulan rock, Margasatwa; rapper, Dato’ Maw, dan artis solo, MAYABAYU telah menonjolkan kehebatan bakat mereka di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur untuk bersaing memenangi geran muzik yang bernilai sebanyak RM20,000.
Walaupun semua finalis mempunyai kehebatan masing-masing, namun satu sahaja diantara mereka yang akan dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama tersebut. Dengan sebulat suara, Margasatwa telah dipilih sebagai pemenang geran muzik Levi’s® Music Project.
“2020 adalah tahun yang sangat mencabar. Pandemik COVID-19 telah menjejaskan peluang kami membuat gig dan beberapa projek terpaksa ditangguhkan juga. Memenangi geran ini adalah satu pencapaian yang amat kami banggakan. Semua finalis telah memberikan persembahan yang sangat mantap dan kami amat berterima kasih kerana dipilih sebagai pemenang geran muzik ini. Kami tidak sabar untuk memulakan shooting muzik video untuk lagu kami,” kata Kimal selaku penyanyi utama Margasatwa.
Para finalis juga telah mempersembahkan single-single terbaharu mereka yang dirakam dan dibiayai sepenuhnya oleh Levi’s® pada bulan November di Big A Studio yang lalu. Lagu-lagu ini menjadi kunci penyertaan mereka ke Levi’s® Music Project dan sekarang telah dilancarkan secara rasmi kepada semua. MAYABAYU memperkenalkan O, Sayang, lagu balada tiga bahasa. Alien Lipstick Fire menyanyikan lagu tentang norma baru bertajuk Phasing In, manakala Margasatwa menegakkan keyakinan diri dalam lagu bertajuk Yang Asli, sementara Dato Maw mendapat inspirasi dari refleksi diri dengan TP 世人 WTP (Walk This Path).
Projek muzik ini bermula dengan mengumpulkan penyertaan sebanyak 200 produksi lagu asli yang bermula dari 12 hingga 25 Oktober 2020. Panel hakim, yang diwakili dari Levi’s® Malaysia, dan mentor-mentor program seperti Jennifer Thompson, dan Tang Eu Jin aka “Old Head Jin” mengambil masa selama 48 jam untuk memilih empat finalis dari 200 penyertaan yang telah diterima.
Setelah terpilih sebagai finalis, mereka menghadiri mentoring sessions bersama Jennifer dan Jin sebagai persiapan untuk virtual showcase mereka. Mereka telah diajar bagaimana menggunakan media sosial dengan berkesan dan diberi petua tentang memasarkan muzik mereka.
Kredit : Levi’s Malaysia