Terowong Masa: Konsert Aku Faizal Tahir Imbau Perjalanan 17 Tahun Bergelar Anak Seni

oleh Music Addicts Malaysia
792 bacaan

Kredit: Taufiq Nazri

Penulis: Hanis Izzatul


Selepas 17 tahun berkarya sebagai anak seni di Malaysia, bintang pop/rock terkenal tanah air, Faizal Tahir telah berjaya mengadakan konsert sulungnya yang diberi judul Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur pada 2 September 2023 yang lalu di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur.

Konsert anjuran JioBuddy yang bermula pada jam 8:50 malam itu telah berjaya memukau sekitar 3,000 penonton dengan mendendangkan sebanyak 23 buah lagu hits daripada lima album Faizal Tahir antaranya Mahakarya Cinta, Bercinta, Cuba, Hanyut, Sejati, Ragaman dan banyak lagi! Lagu-lagu yang dipersembahkan oleh Faizal Tahir membuatkan peminat yang hadir tidak keruan dan tidak henti-henti singalong.

Single terbaru beliau iaitu OK turut didendangkan dan yang paling membuat penonton teruja adalah apabila terdapat gimik ‘duit jatuh dari langit’!

Kredit: Taufiq Nazri

Walaupun terdapat sedikit masalah teknikal pada permulaan konsert, ia langsung tidak menghalang Faizal Tahir untuk memberikan persembahan penuh bertenaga di samping vokalnya yang indah dan sungguh mengasyikkan. Turut membuat penampilan istimewa pada konsert ini adalah pelakon dan pelawak Sabri Yunus yang bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku versi duet ala dikir barat.

Kredit: Taufiq Nazri

Selain itu, persembahan duet secara spontan daripada penyanyi nombor satu negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan rakan seperjuangan Faizal Tahir di One In A Million (OIAM) iaitu Alif Satar turut dilihat mencuri tumpuan pada konsert ini.

Walaupun pada mulanya mereka hadir untuk memberi sokongan sebagai penonton, tetapi oleh kerana tidak mahu menghampakan peminat-peminat yang hadir, mereka dengan sendirinya naik ke atas pentas dan masing-masing menyanyikan lagu Sejati dan Gemuruh bersama Faizal Tahir.

Kredit: Taufiq Nazri

Sepanjang lebih dua jam konsert ini berlangsung, Faizal Tahir tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan rakan-rakan yang yang sentiasa memberi sokongan dan membantu sepanjang karier seninya.

Bukan itu sahaja, konsert ini juga turut diselang-selikan dengan video montaj Faizal Tahir yang berkongsi kisah menarik di sebalik lagu-lagunya dan perjalanan seninya selama 17 tahun. Beliau juga turut berkongsi pesan dan nasihat-nasihat positif tentang kehidupan untuk dibawa pulang. Sesi meet and greet bersama peminat berlaku sejurus selepas selesai konsert.

Kredit: Taufiq Nazri

Walaupun sebelum ini terdapat beberapa pihak yang mempersoalkan harga tiket Faizal Tahir agak mahal berbanding konsert lain, namun bagi penulis sendiri, seleksi lagu yang dipersembahkan berserta sistem bunyi yang ‘padu’ dan berkualiti tinggi telah menjadikan konsert ini sebuah kenangan yang akan dikenang selamanya. Ia cukup buat para peminat melepaskan rindu setelah sekian lama tidak melihat Faizal Tahir beraksi. Pendek kata, harga tiket yang dibayar sangat berbaloi dengan pengalaman yang disajikan.

Menurut Faizal Tahir, sekiranya terdapat permintaan yang tinggi daripada peminat dan beliau dapat memberi manfaat melalui persembahannya, beliau mungkin akan mengadakan konsert seperti ini sekali lagi.

Untuk pengetahuan, konsert Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur ini telah dibawakan oleh Allianz Malaysia Berhad dengan sokongan rakan kolaborasi bersama Altus Prohouse, Faithful Music, JioSpace, World Trade Centre, Level Up dan YCG.

Kredit: Taufiq Nazri

Terima kasih Faizal Tahir kerana telah menjamu halwa telinga kami semua dengan lagu-lagu dan lirik yang penuh makna.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅