Pernah tak kita sukakan seseorang tu hingga ke tahap galau? Kalau pernah, kalian seharusnya tidak melepaskan peluang untuk mendengar single terbaharu Ix Chel yang telah diluncur di seluruh platform strim digital berserta muzik video di YouTube pada 20 May 2023.
Sebelum ini, mereka pernah mendapat perhatian kami menerusi EP At War With Negligence, dan single Brand New Day. Ramai yang terlepas pandang tentang mereka di mana mereka telah melancarkan album pertama bertajuk Oskar pada 12 Februari yang lalu berserta majlis pelancaran di Studio Angguk Ara Damansara.Sedikit pengenalan, Ix Chel merupakan trio dari Kajang dianggotai oleh Ana (Vokal, Gitar, Synth), Galang Bimandiri (Bass, Gitar Utama, Vokal) serta Ahmad Aizad (Dram, Vokal) dan membawakan genre Alternative Pop Punk. Ternyata kugiran ini tidak pernah berhenti dari sudut momentum dan sentiasa membawakan idea baharu dalam setiap rilisan. Penulis pernah menonton persembahan mereka dan kehebatan mereka tidak boleh disangkal lagi dalam showmanship dan permainan instrumen mereka yang ketat.
Menurut Ana, 100 Yards Away menceritakan tentang obsesi terhadap seseorang yang terlalu mendalam sehingga menyebabkan hidupnya menjadi tidak keruan. Walaubagaimanapun,obsesi tersebut juga membuatnya lebih bersemangat untuk terus hidup. Lagu ini dicipta oleh Galang Bimandiri, lirik oleh Ix Chel dan dirakam di Blitzkrieg Studio.
Setelah mendengar single ini, penulis mendapati terdapat beberapa elemen segar dan visi tersendiri dalam karya Ix Chel, bukan sekadar pop punk yang biasa kita dengar. Menurut Ana:
Kami mahu menjadi diri kami sendiri sahaja, which is kita banyak melakukan proses campur aduk minat setiap ahli band. Sebagai contoh, Ana minat pop dan electronic dance. Galang minat pop dan punk rock. Aizad minat rock dan metal. Maka terhasillah lagu ini.
Penulis memberi kredit pada setiap ahli kugiran kerana mereka telah melakukan tugas masing-masing dengan baik dari sudut permainan instrumen, ditambah lagi dengan kehadiran synthesizer membuatkan bulu roma penulis berdiri tegak. Dan paling penulis suka, lenggok melodi vokal Ana membuatkan penulis melayang (boleh tidur wo). Penulis merasakan Ix Chel sepatutnya telah mendapat tempat di festival muzik di Malaysia kerana mereka sangat berpotensi lagi-lagi dengan adanya album pertama, seharusnya Ix Chel menjadi perhatian para penganjur dan pesanan penulis, jangan lepaskan peluang untuk meletakkan trio ini dalam setiap acara.
Perancangan jangka panjang kami buat masa ini adalah semoga Ix Chel terus kekal di industri, melakukan kolaborasi dengan pemuzik-pemuzik lain, dan selalu diterima oleh semua kalangan masyarakat.
Konklusinya, 100 Yards Away patut diberi perhatian dan menjadi lagu wajib dengar buat mereka yang meminati pop punk yang lebih moden dan segar. Pesanan penulis, kalau kita sukakan seseorang dan ingin menjalinkan hubungan cinta, jangan malu jangan segan. Sebab kalau terlepas, padan muka (tengok di penghujung video mereka).
Kami akan release lagu-lagu baru pada setiap bulan untuk tahun ini. Dalam masa yang sama, sekarang kami sudah dalam proses penulisan untuk lagu-lagu baru untuk next album tahun depan.
Tahniah Ix Chel di atas pelancaran lagu ini. Semoga kalian terus konsisten untuk mengeluarkan karya dan mendapat tempat di hati peminat di luar sana. Adios.
Ikuti perkembangan Ix Chel di: