12 BAND METALCORE/POST HARDCORE YANG PERNAH SENSASI DI MALAYSIA

oleh Firz Shukri
9.9K bacaan

Zaman kegemilangan muzik metalcore pernah menjadi fenomena di Malaysia lebih kurang 10 tahun dahulu. Malah dalam sedar atau tidak, kebangkitan band-band ‘core’ ini sebenarnya menjadi faktor utama menenggelamkan fenomena gelombang indie yang pernah melanda Malaysia suatu ketika dahulu. Kemunculan band-band yang terkenal dengan trademark seperti breakdown, moshing, chaos, dan seumpamanya ini telah menarik minat anak-anak muda underground sehingga fesyen, lagu-lagu dan attitude mereka menjadi trendy.

Terlalu banyak band yang naik dalam tempoh 2009-2014 dahulu. Dan ini antara 12 band yang paling sensasi kerana mendapat tempat istimewa di kalangan peminat muzik metalcore dan post hardcore tempatan. Trend muzik ini juga sebenarnya sedang menggegar dunia waktu itu. Band seperti Killswitch Engage, As I Lay Dying, Lamb Of God, The Devil Wears Prada, Bring Me The Horizon dan Suicide Silence sedang menjadi kegilaan di Malaysia.

⦁ MASSACRE CONSPIRACY

Masih bertahan sehingga ke hari ini meskipun anggotanya silih berganti. Kita boleh gelarkan mereka sebagai King of Metalcore di Malaysia kerana kejayaan mereka sangat luar biasa pada zamannya. Memenangi beberapa Battle of the Band, menjadi headliner festival besar seperti Rock The World dan Rockaway, membuat persembahan live di Shout Award, menjadi opening band-band luar seperti As I Lay Dying, Suicide Silence, Bring Me The Horizon dan banyak lagi.

Di mana hebatnya band ini? Kehebatan utama muzik Massacre Conspiracy sudah tentulah dikenali dengan penangan duo gitarisnya, Sonny dan Godoy yang menjadikan muzik dari band ini sangat mirip dengan muzik In Flames dan As I Lay Dying yang dijadikan sebagai pengaruh utama. Juga tidak dinafikan faktor tarikan yang ada pada frontman mereka, Ash, kerap disamakan dengan Oliver Sykes (Bring Me The Horizon) lagi menambah kedudukan band ini sangat tinggi di Malaysia.

⦁ CASSANDRA

Band ini sangat lama sebenarnya. Dikatakan mereka sudah wujud sejak tahun 2002. Sebuah band hardcore yang mengetengahkan genre metalcore terawal di Malaysia. Meskipun muzik mereka lebih cenderung ke metal, Cassandra lebih suka menisbahkan diri mereka sebagai band hardcore. Mereka pernah menjadi gergasi yang mendominasi di dalam scene underground selama beberapa tahun sejak kebangkitan muzik core di Malaysia.

Waktu terbaik mereka adalah semasa Kash menjadi frontman. Malah barisan pemuzik mereka juga merupakan pemuzik berpengalaman dari band-band hardcore lain sebelum bersama sepakat menubuhkan Cassandra. Sehingga nama mereka kerap kali menjadi tarikan crowd untuk memenuhi mana-mana acara gig, tidak kisahlah gig hardcore, gig metal, mahupun gig campuran, Cassandra tidak pernah diketepikan sama sekali oleh penganjur.

⦁ INCARNATION

Unit metal dari utara ini juga merupakan otai dalam genre metalcore di Malaysia. Kelebihan band ini, selain memiliki gitaris metal yang bagus seperti Najmi dan Areef yang menjadikan muzik Incarnation sangat padu, faktor vokal Yadd juga memainkan peranan besar. Vokal Yadd antara vokal metal terbaik seingat penulis pada waktu itu. Dia bukan saja hebat di dalam rakaman audio, malah persembahan vokal dia sangat terkawal semasa persembahan live berbanding band-band lain yang sezaman dengannya.

Incarnation banyak terlibat dengan acara-acara besar sehingga nama mereka pernah menerjah masuk ke pasaran metal Indonesia meskipun seketika. Jika diberikan peluang yang baik, Incarnation sebenarnya mampu pergi lebih jauh ke pasaran luar kerana bakat mereka sangat berkualiti. Malah album debut mereka pada 2009, “Stainless Perfect Murder” juga memang boleh dibanggakan dari segi produksi. Kuat pengaruh Unearth, Chimaira dan Parkway Drive dalam muzik Incarnation.

⦁ SEKUMPULAN ORANG GILA

Satu-satunya band yang masih aktif mengeluarkan produk hingga ke hari ini. SOG bermula sebagai sebuah band yang kurang dipandang orang, tetapi semakin lama semakin menyinar bintang yang asalnya malap. Hari ini peminat SOG mengenali band ini dengan gandingan Riko (scream) dan Raja Nazrin (clean) sebagai vokalis band ini. Tetapi satu masa dahulu, band ini dikenali dengan kehebatan frontman asal mereka, Acap.

Band yang asalnya ditubuhkan pada tahun 2005 ini pada awalnya menjadikan The Devil Wears Prada dan Asking Alexandria sebagai pengaruh utama. Menjadikan mereka band post hardcore paling berpengaruh di Malaysia kerana kemahiran mereka menulis lagu-lagu yang mudah menarik minat pendengar.

⦁ MADDTHELIN

Hari ini band Maddthelin masih dipertahankan oleh Kareema. Jika diimbas kembali pada awal kemunculan Maddthelin, mereka sangat dikenali dengan gandingan mantap duo vokalis Lenny (scream) dan Yasmin (clean) di mana mereka kerap disamakan dengan band dari US, Eye Set To Kill. Malah sewaktu Eye Set To Kill datang ke Malaysia, Maddthelin diberi peluang menjadi salah sebuah band pembukaan sebagai satu penghormatan kepada mereka.

Maddthelin membawakan muzik post hardcore/screamo/hardrock yang simple, ringan dan easy listening menjadikan muzik mereka mudah dicerna oleh peminat dan dilihat sebagai ikon muzik berat moden sehingga ke hari ini. Malah peminat baru juga mudah untuk jatuh cinta sekiranya mendengar kembali lagu-lagu yang pernah direkodkan oleh Maddthelin, membuktikan muzik mereka sangat relevan untuk terus diketengahkan di dalam scene tempatan.

⦁ THE PADANGS

Band metalcore yang sangat happening ini pernah mencanak naik dengan sangat laju seolah-olah tidak boleh dihentikan lagi. Populariti mereka sangat menggila, sehingga peminat scene di Indonesia juga menyebut-nyebut nama The Padangs kerana menyukai karya-karya mereka. Jo sebagai frontman kepada band ini berjaya menarik crowd untuk menjadikan The Padangs sebagai idola muda-mudi kerana karakter dirinya yang bijak mengikut trend semasa.

Muzik The Padangs tidaklah complex dan teknikal. Ia berdasarkan permainan yang mudah dan sempoi. Tetapi sangat mementingkan kesedapan dan elemen-elemen catchy kerana target mereka lebih kepada mahu menangkap telinga audiens. Kita boleh rumuskan, muzik mereka ni di dalam scene metal, sangat comel dan jambu. Untuk mat metal yang mahu brutal-brutal mungkin tidak sesuai, tetapi jika untuk peminat muzik heavy yang menyukai Of Mice & Men, August Burns Red ataupun Asking Alexandria, pasti akan mudah jatuh hati dengan The Padangs.

⦁ BALLAD FOR LAYLA

Band yang sangat berpotensi besar, namun sayangnya hayat mereka di dalam scene underground agak singkat. Mereka sempat meriliskan EP “The Awakening” pada 2011, tetapi impak dari band ini sangat menmberangsangkan. Jika diikutkan, mereka boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan band-band gergasi lain. Ballad For Layla dikenali dengan frontmannya, One Jet yang juga merupakan pemain bass kepada band Massacre Conspiracy pada masa itu.

Dari segi muzikal, mereka berada di tengah-tengah antara elemen yang digunapakai oleh Massacre Conspiracy yang sedikit teknikal, dan elemen catchy yang digunakan oleh The Padangs. Muzik mereka boleh dikatakan juga termasuk dalam kategori melodic metal dengan penggunaan unsur-unsur emo, gothic dan post hardcore yang tidak keterlaluan.

⦁ I REVIVAL

Mereka merupakan band paling muda dari kalangan band-band yang disenaraikan dalam list ini. Mereka muncul pada tahun 2011 namun nama mereka begitu mudah melonjak naik apabila berjaya menarik perhatian peminat-peminat muzik heavy pada masa itu. Bermula dengan video muzik single mereka yang dipertandingkan di Hitz TV, mereka tidak menoleh ke belakang dan terus mara sehingga berjaya menempatkan diri diatas pentas Rockaway dan Rock The World. Sayangnya, jangka hayat mereka tidak lama di dalam scene.

Muzik mereka sepertimana gaya tipikal metalcore yang sudah biasa didengar, namun kelebihan mereka adalah bagaimana mereka bijak merebut peluang untuk menyerlah di hadapan peminat. Menghasilkan produk yang berkualiti seperti rakaman EP yang bermutu, video muzik yang cantik, persembahan yang menghiburkan, membawa nama mereka mudah meniti dibibir peminat.

⦁ BLEEDING MASCARA

Legenda metal dari Manjung ini mungkin sudah dilupakan sebahagian orang. Tetapi kepada peminat yang masih mengingati mereka, tentu tidak dapat menidakkan pada muzik mereka yang menggerunkan tanpa rasa berbelah-bahagi lagi. Genre metalcore sudah melekat dalam band ini sejak album “Beauty Behind The Mask” sangat kuat perisa Lamb Of God, Killswitch Engage dan Hatebreed. Kental dan padu.

Mereka pernah menjadi band pilihan di pentas Rock The World. Dan headliner di siri gig-gig metal/hardcore sentiasa membuatkan crowd menggila ketika mereka beraksi. Adamox, vokalis mereka memang memiliki suara yang sudah sebati dengan muzik Bleeding Mascara. Growl yang garang dan membunuh. Bleeding Mascara antara band metalcore terbaik di Malaysia.

⦁ DEAD EYES GLOW

Mereka pada awal kemunculan dikenali dengan muzik progressive metal, namun mula beralih kepada metalcore dan langkah itu ternyata sangat tepat. Mereka diangkat sebagai rockstar yang disegani dengan lagu-lagu yang menampar-nampar pipi kita akibat keberatan breakdown lagu-lagu mereka. Malah band ini antara band yang berani menghasilkan video-video muzik berkualiti untuk setiap single-single yang dikeluarkan. Jelas kesungguhan mereka.

Pengaruh Architects agar terserlah pada band mereka. Vokalis mereka, Zack sememangnya adalah tonggak utama dalam menjadikan band ini sebagai sebuah band klasik yang akan diingati peminat metalcore selepas ini. Mereka memiliki style yang memikat, performance yang energetic, dan lagu-lagu yang kena dengen telinga fans local. Walaupun rasanya ramai yang dah lupakan band ini, tidak salah untuk cuba membongkar kembali karya mereka untuk refresh semula memori kita di era kemuncak mereka dahulu.

⦁ BLACK TERRITORY

Tidak sah kalau nak mengenang memori tanpa memasukkan sekali sebuah band metal hardcore yang mempopularkan komuniti Keramat Durjana suatu masa dahulu. Karakter frontman asal mereka, arwah Man yang persis lagak Randy Blythe pada teknik vokalnya, memang menghidangkan sesuatu yang cukup bertenaga. Mendengar debut album This Is Black Territory yang klasik sudah cukup untuk menumbuk-numbuk muka pendengar dengan kepaduan yang tiada timbang-taranya.

Sehingga hari ini, band Black Territory masih cuba bernafas di dalam scene. Namun sukar untuk nafikan, kehebatan vokal arwah Man cukup serasi dengan muzik melodic metal/metalcore yang dibawa oleh mereka. Kesedapan melodi-melodi yang dihidangkan, membuatkan crowd sukar mengawal diri untuk sing along bersama dengan band. Dan paling penting, Black Territory tidak pernah mengabaikan lagak gimik brader-brader brutal mereka.

⦁ MASSACRE BY FALL

Antara band yang memperjuangkan genre post hardcore sejak dari awal penubuhan mereka pada tahun 2008 dan masih setia hingga ke hari ini. Banyak kejayaan manis yang pernah mereka kecapi bersama-sama sepanjang perjalanan di dalam scene tanah air. Malah line-up mereka juga sudah kerap silih berganti. Namun line-up terawal mereka pada zaman kegemilangan band ini, sememangnya telah terbukti berjaya memukau peminat sehingga nama mereka menjadi sangat besar waktu itu.

Rangga (vokal) dan Emmet (bass) adalah tunjang utama band ini menjadi popular dengan lagu-lagu yang sedap dan agresif. Malah vokal Rangga antara vokal terbaik di dalam scene local sehingga ke hari ini. Sangat konsisten, dari rakaman studio, ke live performance. Dari awal kemunculan hingga ke hari ini. Peminat perlu menonton sendiri persembahan live mereka dan saksikan bagaimana Rangga mengawal teknik pernafasan untuk menyanyi secara clean dan scream dengan profesional.

#kacaubilau

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅