“The New Authentic” dilancarkan pada tahun 2004 dan didedikasikan khas buat buat Sir Clement “Coxsone” Dodd selepas pemergian legenda muzik Jamaica itu. Mendiang berpengaruh besar dalam pembangunan muzik ska dan reggae sejak 1950-an dan diberi penghormatan pada trek instrumental pembuka album yang diberi tajuk bersempena dengan namanya.
Album yang mempersembahkan konsep Ska, Rocksteady dan Reggae ini diperkaya dengan tiupan horn yang asyik, bunyi-bunyi klasik serta dibuai-buai dengan groove dan soul iramanya.
Tidak boleh tidak untuk mengabaikan trek yang paling menyengat dan sinonim dengan nama GSC iaitu “Senyuman Ragamu.” Sebuah lagu yang berjaya menerobos masuk persada arus perdana dalam sejarah GSC. Single kolaborasi bersama Radhi OAG (ketika itu digelar Radhio) pada asalnya adalah sebuah lagu Inggeris yang turut terkandung di dalam album ini iaitu “Only Love Can Make You Smile (Everything I Own)” ciptaan Edy. Namun, mereka telah memilih Radhi yang ketika itu sedang berada di puncak kerjayanya untuk menjalin kerjasama sebagai pemicu pergerakan seni GSC.
Radhi bertanggungjawab menjadi penulis semula lirik dan translasi dalam bahasa ibunda. Maka, ia terhasil seperti apa yang kita dengar sekarang. Melalui lagu ini, Edy turut memberi suntikan vokal ala rap yang tidak canggung apabila didengar sama ada dalam versi rakaman mahupun persembahan live.
Selain itu, dua kumpulan hip-hop yang telah menempa nama besar dalam industri muzik tanah air juga turut memberi sumbangan dalam penghasilan album ini. Gandingan GSC bersama Teh Tarik Crew (lagu “Why”) dan Too Phat (lagu “Shake Yer’ Body”) dirasakan seperti jambatan penghubung antara dua scene yang berbeza sebelum kedua-dua kumpulan itu terbubar.
Jumlah keseluruhan trek mempunyai 13 buah lagu termasuk tiga lagu saduran yang tak lari dari sound dan konsep album iaitu “Asmara” dari Anneke Gronloh, “Dance wid’ Me” dari Hepcat dan “My Boy Lollipop” dari Barbie Gaye. GSC berjaya menafas baharukan lagu-lagu tersebut dengan cap mohor mereka sendiri.
Pada tahun yang sama juga, GSC turut menyertai pertandingan Rentak Juara Rhythm of Champions musim pertama anjuran RTM. Populariti mereka ketika itu semakin mendadak naik serta berlaku peningkatan dari jumlah kelompok peminat. Namun, GSC kurang bernasib baik dalam pertandingan tersebut dan hadiah utama dimenangi oleh kumpulan Thunderstorm.
Line up untuk album ini ialah Widy (vokal utama), Edy (trompet/vokal), Bakri (drum), Rejab (trombone), Fairuz (keyboard), Jalud (bass) dan Didi (gitar).
Kemudian, mereka meneruskan perjuangan dengan mengeluarkan album pada tahun-tahun berikutnya iaitu “The Re-New Authentic” (2005) dan “This Is Ska The Beginning” (2006).
#8DCordo