Adnan Othman: Revolusi Modfather of Malaysia

oleh Rahmat Mohd Did
1,106 views

Apa yang terbayang di fikiran kalian apabila penulis kata, orang dari Amerika sanggup datang ke Malaysia mencari beliau, “mengorek” kembali semua lagu-lagu yang pernah dirakamnya untuk dijadikan kompilasi kemudian diterbitkan semula melalui label Sublime Frequencies di Seattle, USA?

Begitulah hebatnya Adnan Othman, penyanyi legenda era 60an yang mendapat jolokan “The Modfather of Malaysia.”

Berasal dari Dungun, Terengganu, Adnan mendapat pendidikan awal di Kuala Terengganu sebelum berhijrah ke London untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Rekaan dan Pembuatan Kasut.

Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di dalam industri kasut dan pernah bekerja dengan syarikat-syarikat ternama seperti Bata, Nike, Italasia, P.S Addison, Morse Shoe, Sime Darby Footwear dan Hurricane Footwear. Ya, benar, kasut Aliph yang pernah popular di zaman Rock Kapak dahulu dikeluarkan oleh Sime Darby Footwear.

Adnan juga turut bergiat aktif sebagai artis rakaman dan pencipta lagu di Malaysia dan Singapura pada tahun 1968 sehingga 1975 dan telah merekod lima buah EP di Singapura dan lima buah EP di Malaysia. Secara keseluruhan, beliau mempunyai 40 buah lagu rakaman sepanjang kariernya sebagai penyanyi. Kumpulan yang mengirinya di waktu itu pula bukan calang-calang. The Rhythm Boys, The Falcons, The Wanderers dan The Flamingos adalah nama-nama besar dan sangat dikenali di zaman Pop Yeh Yeh.

Muzik Adnan juga agak berbeza dengan penyanyi-penyanyi popular Pop Yeh Yeh di era itu kerana lebih ke arah Psychedelic Garage Rock dengan bunyi gitar yang lebih berat dan bingit.

Pada tahun 2012, Carl Hamm aka DJ Carlito dari USA telah datang ke Malaysia dan menemui Adnan Othman untuk menghasilkan sebuah album kompilasi berjudul “Pop Yeh Yeh – (Psychedelic Rock From Singapore and Malaysia 1964-1970 Vol. 1) di mana dua buah lagunya iaitu “Budi bahasa” dan “Revolusi” telah dimuatkan di dalam kompilasi tersebut. Adnan juga turut membantu Carl dalam usahanya untuk mencari artis-artis lain yang turut ditampilkan dalam album tersebut. Latar belakang artis-artis yang terlibat juga turut ditulis secara terperinci di dalam pakej piring hitam tersebut.

Carl Hamm memegang piring hitam album “Pop Yeh Yeh – (Psychedelic Rock From Singapore and Malaysia 1964-1970 Vol. 1).

Kemudian, pada tahun 2014, Carl datang sekali lagi ke Malaysia bertemu Adnan untuk mengeluarkan sebuah album kompilasi berjudul “Adnan Othman ‎– Bershukor: A Retrospective of Hits By a Malaysian Pop Yeh Yeh Legend” yang mengandungi 26 buah lagu, juga dalam format piring hitam.

Kulit album “Adnan Othman ‎– Bershukor: A Retrospective of Hits By a Malaysian Pop Yeh Yeh Legend”.

Persoalannya, mengapa orang dari USA yang hadir ke sini mengumpulkan khazanah muzik kita dan diterbitkan semula di negara mereka? Mengapa tiada usaha dari pihak syarikat rakaman kita sendiri?

Walau apapun, seperti judul sebuah lagu Adnan, kita perlu “Bershukor” kerana ada pihak yang tampil untuk memelihara khazanah negara ini agar terus dapat dinikmati generasi yang akan datang. Penulis turut berharap syarikat rakaman dan pihak berwajib turut sama dalam usaha melindungi serta memelihara arkib muzik kita lebih-lebih lagi lagu-lagu dari artis kurang ternama dan indiependent.

Kepada yang mahu mengenali Adnan Othman, kalian boleh dengarkan lagu-lagu beliau di pautan di bawah:

Selepas lima tahun, album kompilasi “Adnan Othman ‎– Bershukor: A Retrospective of Hits By a Malaysian Pop Yeh Yeh Legend” telah dirilis semula dalam bentuk cakera padat (CD) pada 09 November 2019 ini di Sputnik Rekordz. Music Addicts Malaysia berpeluang bertemu dan menemuramah legenda hidup ini. Boleh tonton video di bawah.

TRIVIA:

1. Dua buah lagu Adnan Othman telah dipilih untuk rancangan Netflix “Street Food Asia” pada tahun 2019.
2. Merupakan ayah kepada gitaris band Couple, Ariana.
3. Seorang pelukis prolifik sejak 2005, telah mengadakan pameran di merata tempat dan merancang untuk membina galeri lukisannya sendiri.

Rujukan:

1. https://adnanbinothman.wordpress.com/about/
2. http://www.sublimefrequencies.com/…/576328-adnan-othman-ber…
3. https://www.discogs.com/Adnan-Othman-Bershukor-A-…/…/8206865
4. https://www.discogs.com/Adnan-Othman-Bershukor-A…/…/14303671
5. https://menarigogo.blogspot.com/…/cd-release-event-in-malay…
6. https://www.discogs.com/Various-Pop-Yeh-Yeh-Psych…/…/4405378

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati