Kepada yang sudah menginjak umur 30an atau lebih, pasti pernah melalui era nostalgik ‘Rock Leleh’ suatu ketika dahulu. Penghujung dekad 90an kita semua dikuasi oleh band-band yang bermula dengan huruf ‘S’ dan komposer-komposer terkenal seperti Saari Amri dan di era moden ini, kita turut disaji dengan penyanyi seperti Aiman Tino, Projector Band dan komposer seperti Harry Khalifah pula.
Rock leleh sebenarnya punya magis tersendiri lebih-lebih lagi ke atas psyche orang Melayu. Disebabkan itulah genre ini malar segar hingga ke hari ini dan sering dijadikan pilihan sewaktu mengunjungi pusat-pusat karaoke.
Di tahun 2021 ini, satu lagi karya ‘Rock Leleh’ dihasilkan oleh seorang penyanyi diberi nama Aiman Ramli. Single ini dirakam di Studio Raja 199X dan diluncur pada 14 Mac 2021 di saluran YouTube Nif RedLandz.
Menurut Aiman, Impi merupakan karya pertama beliau yang telah mula ditulis sejak zaman remaja dan hanya sempat disudahkan setelah beliau berumahtangga dan memiliki cahaya mata.
“Kiranya dengan kehadiran puteri saya ini, impian saya untuk hidup bahagia bersama keluarga tersayang telah lengkap. Lagu ini saya tujukan buat dia.”
Pada pandangan penulis, Impi memiliki semua elemen yang patut ada untuk sebuah karya ‘Rock Leleh’ dan melodinya sangat mengimbau memori. Aiman juga mempunyai kekuatan dari segi tone vokal mendayu-dayu yang sangat sesuai dengan lagu. Tangkap nangis beb! Dua kali dengar terus boleh hafal lirik. Kalau terbit bawah label arus perdana ni, dah boleh masuk senarai lagu pusat karaoke!
Harapan penulis tak banyak. Semoga karya ini sampai ke pengetahuan Harry Khalifah dan kemungkinan besar ada sinar untuk Aiman pergi lebih jauh. Tak sabar rasanya nak dengar lagu seterusnya dari Aiman. Selamat maju jaya!