Antara Fantasi dan Teknikaliti, Dream Theater Tinggalkan Magis di Kuala Lumpur

oleh Fiq Irama
882 bacaan

Kredit: Echolalia Pictures

Walaupun lagu-lagu mereka tiada tempat di stesen radio negara kita, namun aura progressive metal Dream Theater menyerap jauh ke dalam jiwa setiap peminat muzik sejati, lebih-lebih lagi pemuzik yang mahu memajukan diri dari segi permainan dan persembahan mereka. Ini band yang sering digelar sebagai “musician’s favourite band” dan kehadirannya pasti dinanti-nanti.

Buktinya, konsert Dream Theater yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 10 May 2023 sempena siri jelajah Top of the World berjaya menghimpunkan lebih 2,500 peminat kumpulan asal Amerika Syarikat yang terkenal dengan muzik yang kompleks dan memerlukan keupayaan teknikal tinggi ini.

Ini bukanlah pertama kali mereka berkunjung ke Malaysia. Pernah singgah sebelum ini di Kuala Lumpur pada September 2017, kemunculan kedua Dream Theater yang dibarisi James La Brie (penyanyi), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) pastinya mengubat kerinduan peminat muzik metal negara.

Kredit: Echolalia Pictures

Bercerita tentang persembahan pada malam yang penuh magis di Zepp KL tersebut, apa yang menjadi headline adalah persembahan teknikal instrumen-instrumen yang dimainkan serta lantunan vokal dari James La Brie yang sentiasa konsisten dari mula sehingga tamat.

Istimewanya Dream Theater adalah kesemua barisan pemuziknya memang tidak asing lagi kerana mereka ini sering tersenarai dalam 10 pemuzik terbaik dunia. Diasaskan pada 1985, formasi ini kekal dengan barisan pemuzik sama kecuali posisi pemain dram yang pada asalnya digalas oleh Mike Portnoy dan kini digantikan oleh Mike Mangini, seorang bekas profesor di kolej muzik terkenal dunia iaitu Berklee College of Music.

Kredit: Echolalia Pictures

Konsert bermula tepat jam 8.30 malam dengan alunan The Alien diikuti 6.00 yang nyata memberi impak kepada khalayak terus berada di hadapan pentas. Mereka kemudian meneruskan persembahan dengan lagu Sleeping Giant, Bridges In The Sky, Caught In A Web, Answering The Call, Solitary Shell, About To Crash, Losing Time/Grand Finale, Pull Me Under, A View From The Top Of The World dan menutup persembahan dengan The Count Of Tuscany. Majoriti setlist ini adalah daripada album kelima belas mereka, A View From the Top of the World yang dilancarkan pada tahun 2021.

Konsert yang dianjurkan oleh Shiraz Projects tersebut ternyata berjaya memukau sekalian peminat yang hadir dan majoriti mereka dapat dilihat tersenyum puas sehingga keluar dari ruang pentas Zepp Kuala Lumpur.  Kualiti paras tertinggi yang ditampilkan Dream Theater juga berjaya menarik perhatian anggota kumpulan rock terkenal tanah air seperti Wings, Hujan dan Exists untuk turut hadir pada malam tersebut.

Rangkaian siri jelajah Top Of The World yang bermula dari Seoul, Korea melalui beberapa buah negara dan berakhir di Indonesia.Adalah menjadi kebanggaan apabila kami diberi peluang untuk turut sama menikmati pengalaman berharga ini. Terima kasih Shiraz Projects!

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅