Ada lagu yang lahir daripada imaginasi. Ada juga lagu yang lahir daripada pengalaman hidup. Bagi Azlan Ramli Quartet (ARQ), “Bisikan” adalah kedua-duanya.
Single terbaharu mereka ini membawa tema penyesalan, peluang yang tidak kesampaian dan suara-suara kecil dalam fikiran yang terus menghantui seseorang tentang apa yang sepatutnya berlaku, tetapi tidak pernah terjadi. Namun, ironi paling besar ialah kisah di sebalik pembikinan lagu ini hampir sama menyayat hati dengan liriknya sendiri.
Pada asalnya, “Bisikan” dirancang sebagai sebuah kolaborasi bersama seorang rakan dari Indonesia namun selepas trek asas lagu siap dirakam, komunikasi tiba-tiba terputus. Tiada penjelasan, tiada khabar berita.
“Tak kisahlah. Lagu ni memang lagu kami. Jadi kami teruskan saja,” kata Azlan.
Keputusan itu membawa kepada babak yang jauh lebih mencabar.
Sebelum sesi rakaman vokal sempat dilakukan, Azlan diserang strok ringan pada tahun 2024. Walaupun kesannya tidak terlalu serius dari segi percakapan dan pergerakan wajah, strok tersebut menyebabkan vocal fold sebelah kanannya tidak lagi berfungsi dengan baik. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia tidak lagi mampu menyanyi.
“Apabila buka mulut, langsung tak keluar suara nyanyian. Yang keluar bunyi pelik, macam motorbot, kadang-kadang macam anjing tersepit. Masa tu saya fikir, mungkin dah tak boleh menyanyi selama-lamanya.”
Selama enam bulan pertama, latihan vokal dan sesi terapi pertuturan langsung tidak menunjukkan perubahan. Harapan mula pudar. Namun ketika hampir berputus asa, Azlan menemui kisah seorang jurulatih vokal di YouTube yang pernah mengalami strok dengan keadaan yang hampir sama.
Nasihat jurulatih itu ringkas tetapi cukup bermakna.
Teruskan berlatih. Jangan pedulikan bunyi yang keluar. Yang penting, latih semula laluan saraf yang mengawal pita suara.
Azlan mengikut latihan itu setiap hari.
Selepas kira-kira sebelas bulan, dia mula mampu menyanyi semula walaupun dalam nada yang lebih rendah dan hanya sekitar tiga puluh minit. Latihan diteruskan tanpa henti. Open mic menjadi medan untuk membina semula keyakinan. Sedikit demi sedikit, suaranya kembali.
Menjelang Oktober 2025, selepas hampir 18 bulan menjalani proses pemulihan, ARQ akhirnya kembali mengadakan persembahan selama sejam di Merdekarya dengan semua lagu dibawakan dalam key asal.
“Itu bukan persembahan yang sempurna, tetapi bagi saya, itu kemenangan yang sangat besar.”
Rakaman vokal pertama untuk “Bisikan” dilakukan pada Disember 2025. Namun Azlan masih belum berpuas hati lalu kembali ke studio pada Mac 2026 untuk merakam semula vokal sehingga benar-benar mencapai hasil yang diinginkan.
Hari ini, “Bisikan” bukan sekadar sebuah lagu baharu daripada ARQ. Ia menjadi simbol bahawa sesuatu yang hampir hilang masih boleh ditemui semula melalui kesabaran, disiplin dan keazaman.
Selepas kali terakhir mengeluarkan single pada tahun 2023, tempoh tiga tahun berikutnya menjadi fasa paling sukar buat kumpulan ini. Perancangan untuk mengadakan jelajah Indonesia yang lebih besar serta pelbagai projek rakaman terpaksa dihentikan akibat strok yang menimpa Azlan. Namun daripada berhenti berkarya, ARQ memilih untuk membina semula langkah mereka, sedikit demi sedikit.
Kini, kumpulan alternatif rock yang ditubuhkan pada 2022 itu membuka lembaran baharu. Selepas “Bisikan”, ARQ menyasarkan tiga lagi single untuk diterbitkan sepanjang tahun ini, dengan fokus utama diberikan kepada proses rakaman sebelum kembali lebih aktif mengadakan persembahan pada masa hadapan.
Sebagai sebuah single kemunculan semula, “Bisikan” berjaya menyampaikan emosinya tanpa perlu bergantung kepada gimik. Susunan lagunya terasa kemas dan bersahaja, membiarkan melodi serta lirik bergerak secara semula jadi tanpa dipaksa menjadi sesuatu yang berlebihan. Ia mungkin bukan lagu yang terus “meletup” pada pendengaran pertama, tetapi semakin lama didengar, semakin banyak lapisan emosi yang dapat dirasai.
Dari sudut permainan muzik pula, tone gitar dan bass memberi identiti yang cukup menarik. Ada karakter yang sedikit “nakal”, cukup untuk menghidupkan suasana lagu tanpa mengganggu mesej yang ingin disampaikan. Elemen inilah yang membuatkan “Bisikan” masih kedengaran seperti sebuah karya alternatif rock yang jujur dan matang.
Produksi keseluruhannya juga wajar dipuji. Rakaman, susunan instrumen dan adunan bunyi dibuat dengan baik tanpa terlalu sarat dengan pelbagai lapisan atau kesan yang tidak perlu. Pendekatan yang sederhana ini menjadikan emosi lagu lebih dekat dengan pendengar dan membuktikan bahawa sesebuah lagu tidak memerlukan produksi yang terlalu kompleks untuk meninggalkan impak.
Namun selepas mendengar “Bisikan”, satu perkara yang jelas ialah ARQ sedang berada di landasan yang baik. Sayang jika momentum ini dibiarkan perlahan terlalu lama. Selepas berehat hampir tiga tahun akibat situasi yang tidak dapat dielakkan, kumpulan ini dilihat perlu terus konsisten mengeluarkan karya baharu dan aktif membuat persembahan supaya nama mereka terus segar dalam kalangan peminat muzik alternatif tempatan dan serantau.
Dari sudut perkembangan bunyi pula, mungkin sudah tiba masanya ARQ bereksperimen sedikit pada karya-karya akan datang. Penambahan elemen synthesizer atau tekstur elektronik secara terkawal boleh memberikan dimensi baharu kepada muzik mereka tanpa menghilangkan identiti post-punk dan alternative rock yang sudah sinonim dengan ARQ. Dengan asas penulisan lagu yang kuat serta karakter gitar yang sedia ada, sentuhan synth yang sesuai berpotensi menjadikan karya mereka lebih sinematik, lebih gelap dan lebih “kejam” dari segi atmosfera.
Jika “Bisikan” menjadi titik permulaan kepada fasa baharu ARQ, maka apa yang bakal menyusul selepas ini mungkin lebih menarik untuk dinantikan.
Bagi Azlan dan ARQ, harapan mereka sebenarnya cukup sederhana.
“Kami cuma berharap orang ramai dapat menikmati lagu-lagu kami, sama ada yang baharu atau yang lama. Dan kalau ada rezeki, kami ingin terus diberi peluang beraksi di pentas-pentas yang lebih besar.”
Dengan kisah di sebalik pembikinannya, “Bisikan” bukan sekadar sebuah lagu tentang penyesalan. Ia adalah bukti bahawa walaupun suara boleh hilang, semangat untuk terus berkarya tidak semestinya ikut lenyap.
Ikuti ARQ di