CIPTA 4 : Dirgahayu M. Nasir, A Go Go Untuk Rabiah, Lepas ni Apa Lagi? - Music Addicts Malaysia

CIPTA 4 : Dirgahayu M. Nasir, A Go Go Untuk Rabiah, Lepas ni Apa Lagi?

oleh Boes!
0 komen 89 bacaan

Setelah tiga edisi mega dan satu edisi khas, penganjur Icon Entertainment telah membawakan satu lagi siri konsert Cipta Dato’ M. Nasir edisi keempat yang telah melabuhkan tirainya pada Sabtu lepas. Konsert yang berlangsung pada 4 Julai 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil ini menjadi penanda aras bagi meraikan 47 tahun perjalanan seni beliau, sekali gus menyambut ulang tahun kelahiran beliau ke-69.

Edisi kali ini cukup istimewa apabila buat pertama kali dalam sejarah jenama CIPTA, seniman negara ini turut berkongsi pentas dengan penyanyi undangan yang diumumkan sewaktu sidang media yang lepas dan etika pemakaian yang diumumkan juga lebih santai iaitu Batik Injection. Lautan manusia berbusana batik membanjiri pekarangan stadium seawal 5 petang lagi.

​Konsert bermula sekitar jam 8.50 malam dengan rangkaian lagu pembukaan seperti “Hati Emas”, “Perjuangan” dan “Aku Dah Bosan”, disusuli dengan segmen medley karaoke pertama yang menghimpunkan lagu malar segar seperti “Sentuhan Kecundang”, “Sekuntum Bunga Sakura”, “Sampai Hati” dan “Azura”. Seisi dewan nyata tidak melepaskan peluang untuk menyanyi bersama, menciptakan suasana yang cukup akrab.

 Buka Pentas. Kredit : Bangsawan Pictures

​Sesi kemudian disambung dengan dendangan lagu-lagu berentak rock yang pernah menghiasi zaman 80-an dan 90-an seperti “Fenomena”, “Musnah” dan “Pembakar Perasaan”. Dewan kelihatan sedikit tertumpu dan berhati-hati pada slot ini kerana pemilihan lagu yang agak niche. M. Nasir sempat berseloroh, “Tunggu, intinya belum lagi sampai,” mencuit hati penonton.

​Segmen karaoke kedua pula diperkenalkan dengan lagu “Ukiran Jiwa”, “Dari Kekasih Kepada Kekasih”, “Milik Siapakah Gadis Ini” dan “Jangan Kau Rayu”. Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu yang dipetik dari album solo dan bersama Kembara yang terawal seperti “Masing-masing”, “Lihatlah Padang Lalang” dan “Empat Penjuru”. Lagu yang pada penulis sudah lama tidak didendangkan tetapi sampai pada hati penonton.

​Tidak ketinggalan, karya yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Alleycats, “Andai Aku Pergi Dulu” dan “Hingga Akhir Nanti” turut didendangkan. Malam itu juga, penonton disajikan dengan persembahan istimewa bersama koir dari UPSI, deVokalis, bagi karya “Andalusia” dan “Berikan Nurbisa”. Pada pengamatan penulis, kumpulan itu tenggelam pada lagu kedua, mungkin disebabkan oleh susunan muzik yang terlalu kuat ataupun mikrofon mereka tidak dibuka.

Bersama deVokalis Choir dari UPSI. Kredit : Bangsawan Pictures

​Segmen yang digembar-gemburkan tiba apabila penyanyi jemputan diundang ke pentas. Namun, penonton terlebih dahulu berasa bertuah apabila dapat menyaksikan persembahan impromptu duet Dato’ Seri Siti Nurhaliza dan M. Nasir menerusi lagu OST Puteri Gunung Ledang, “Bagaikan Sakti”. Sudah lama peminat tidak mendengar paduan suara ikonik ini secara langsung.

Manis! Kredit : Bangsawan Pictures

​Sifu kemudian menjemput Dato’ Awie untuk memulakan segmen artis undangan. Mereka membawakan lagu “Ghazal Untuk Rabiah” yang diberi nafas baharu dengan susunan muzik pop yeah yeah, diikuti dengan lagu “Istana Menanti” yang disampaikan penuh emosi oleh Awie. Kecoh beberapa hari yang lalu apabila media cuba memanipulasi kenyataan Awie berkenaan pemilikan lagu ini tapi malam itu beliau berjaya menjadikan lagu ini adil di telinga penonton.

A Go Go! Kredit : Bangsawan Pictures

​Artis kedua, Melly Goeslaw, dijemput selepas persembahan bertenaga Datuk M. Nasir. Berbusana megah dari kepala hingga kaki, mereka mendendangkan “Suatu Masa” dan “Fantasia Bulan Madu”. Namun, bagi penulis, persembahan ini terasa sedikit janggal dan antiklimaks. Busana Melly yang terlalu dominan dilihat menenggelamkan paduan suara yang kurang senada, malah aura persembahan dirasakan seperti kurang keserasian di atas pentas.

Overdo. Kredit : Bangsawan Pictures

​Selepas itu, pentas direhatkan seketika untuk memberi peluang kepada penganjur menyambut hari kelahiran M. Nasir. Lagu “Allah Selamatkan Kamu” didendangkan oleh seluruh dewan bersama barisan artis yang hadir antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Andy Flop Poppy, Sherry Alhadad, Marsha Milan dan ramai lagi, disusuli acara memotong pulut kuning sebagai simbolik kek. Kejutan diteruskan dengan persembahan spontan M. Nasir bersama Ziana Zain menerusi lagu “Senja Nan Merah”. Walaupun tanpa latihan formal, persembahan itu cukup memukau dan membuatkan seisi dewan histeria.

Terpesona! Kredit : Bangsawan Pictures.

​Konsert diteruskan dengan segmen terakhir, iaitu rangkaian lagu hits seperti “Tanya Sama Itu Hud Hud”, “Bas No 12”, “Gerhana”, “Sahabat Gua”, “Apokalips”, “Raikan Cinta”, “Ada”, “Sentuhan Listrikmu” dan diakhiri dengan “Mentera Semerah Padi”. Semestinya slot akhir itu benar-benar menaikkan momentum sehingga ke tahap maksimum. Konsert berakhir sekitar 12.15 malam.

Tekan minyak di segmen akhir. Kredit : Bangsawan Pictures

​Secara keseluruhannya, konsert CIPTA 4 mempunyai kekuatan dan kelemahan yang boleh dinilai secara rasional bergantung pada sudut pandang masing-masing.

Jika dilihat dari perspektif penonton yang hadir untuk menikmati persembahan, konsert malam itu tetap berjaya memberikan pengalaman yang menghiburkan walaupun pemilihan lagu agak berbeza daripada kebiasaan. Kemungkinan besar, banyak lagu popular telah pun dipersembahkan pada edisi-edisi terdahulu, sekali gus memberi ruang kepada karya lain untuk diketengahkan.

Dari sudut objektif dan misi penganjuran pula, konsep keseluruhan dilihat kurang benar-benar diterjemahkan ke atas pentas. Walaupun konsert ini bertujuan meraikan dirgahayunya sang penghibur legenda ini di samping satu lagi sisi diskografinya yang cemerlang sekitar 80an dan 90an; konsep, susun atur acara dan reka bentuk pentas masih belum memberikan gambaran tema yang cukup jelas. Berbanding edisi terdahulu yang menampilkan montaj pembukaan yang meninggalkan impak sebelum persembahan bermula, elemen tersebut kali ini tidak begitu ditonjolkan, sekali gus mengurangkan sedikit nilai dramatik pada permulaan konsert.

Pemilihan artis undangan turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penonton. Dato’ Awie wajar diberikan pujian atas persembahan mantap menerusi lagu “Ghazal Untuk Rabiah” dan “Istana Menanti”. Namun begitu, penampilan Melly Goeslaw mungkin tidak memberikan impak yang sama kepada sebahagian penonton, khususnya dari sudut kesesuaian dengan keseluruhan konsep konsert. Walau bagaimanapun, kemunculan spontan Datuk Siti Nurhaliza dan Ziana Zain nyata menjadi antara detik paling mencuri perhatian serta berjaya menyuntik keterujaan tambahan kepada suasana malam itu.

Lautan Manusia. Kredit : Bangsawan Pictures

​Meskipun bakal mencecah usia 70 tahun, M. Nasir membuktikan beliau masih mampu memberikan persembahan yang bertenaga setanding dengan usia beliau. Namun, pada malam itu, hadirin dapat melihat kurangnya interaksi bersama peminat dan beliau kelihatan penat terutama di segmen terakhir. Mungkin hal ini disebabkan oleh kepadatan jadual sepanjang persediaan konsert. Walau bagaimanapun, komitmen beliau untuk hadir dan kekal bertenaga demi peminat wajar dipuji.

Kredit : Bangsawan Pictures

​Melihat kepada premis siri CIPTA yang telah dibangunkan sejak edisi terdahulu, penganjur wajar menjadikan CIPTA 4 sebagai satu ruang penilaian untuk menambah baik penganjuran pada masa hadapan. Sekiranya siri ini diteruskan ke edisi seterusnya, persoalan utama yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana ia mampu menawarkan nilai, signifikasi dan kualiti yang lebih tinggi kepada peminat.

Terdapat pelbagai aspek yang boleh diperhalusi, termasuk konsep, pengalaman penonton dan elemen eksklusiviti yang menjadi identiti siri konsert ini. Langkah tersebut penting bagi memastikan setiap edisi hadir dengan keistimewaan tersendiri dan tidak sekadar dilihat sebagai sebuah konsert yang mengulangi formula sama. Apatah lagi apabila nama M. Nasir sendiri membawa satu standard yang tinggi dalam dunia muzik tempatan, sudah tentu jangkaan peminat terhadap setiap penganjuran juga berada pada tahap yang sama.

​Jika Icon Entertainment mahu terus mengekalkan legasi siri CIPTA, persiapan yang lebih rapi dari sudut konsep, pemilihan artis undangan yang benar-benar serasi dan kelancaran teknikal di samping kesatuan tema serta pemilihan lagu patut dijadikan faktor tambah untuk difikirkan. Ini bagi memastikan pementasan itu bakal diingati dan dilabel sentimental, bukan sekadar just another concert.

​Masih banyak lagi karya yang tidak didendangkan dan memandangkan beliau bakal melangkah ke dekad yang baharu tidak lama lagi, penulis berharap agar sang Maestro terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan seperti Sir Tom Jones yang masih menghiburkan peminatnya walaupun umur bakal mencecah 90 tahun tidak lama lagi. Selamat Hari Lahir M. Nasir. Terima kasih untuk persembahan hebat malam itu!

Cemerlang. Kredit : Bangsawan Pictures

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅