
Selepas memperkenalkan single Rungkai Mimpi tahun lalu, penyanyi Namira kembali dengan buah tangan terbaharu menerusi Waltz Kota Bau yang dipilih sebagai lagu tema (OST) untuk filem bebas Love Crush terbitan Teeb TV Network Sdn. Bhd.
Menariknya, lagu ini bermula daripada sebuah puisi bertajuk Waltz Kota Bau hasil nukilan pengarah filem berkenaan, Johan Chairil. Selepas mendengar suara Namira menerusi Rungkai Mimpi di media sosial, pihak produksi tampil mempelawa penyanyi itu untuk membawakan lagu tema filem tersebut.
Kolaborasi antara Teeb TV Network Sdn. Bhd. dan FB Media Ventures menyaksikan Sham Cairel bertanggungjawab menghasilkan gubahan muzik, susunan, rakaman, adunan serta mastering lagu berkenaan.
Menurut Sham, beliau tertarik dengan konsep asal lagu itu yang menggunakan tanda masa 3/4, selari dengan maksud “waltz”, sebelum memberikan sentuhan pop yang lebih segar.
“Pada mulanya, saya diperkenalkan kepada Johan oleh seorang rakan. Dari situ, dia hantar lagu kepada saya dan saya bersetuju untuk terbitkan, buat susunan muzik dan seterusnya proses rakaman. Saya suka lagu ini pertamanya kerana ia dalam tanda masa 3/4 dan memang sesuai dengan istilah waltz. Cuma saya gubah semula susunan muzik supaya tidak terlalu tradisional tetapi lebih pop,” katanya.
Proses pembikinan filem Love Crush mengambil masa selama dua tahun dengan lokasi utama penggambaran di Kuching dan Bau, Sarawak.

Filem arahan Johan Chairil itu menampilkan pelakon tempatan Sarawak, Joshua E. James dan Agnes Sipin Jabin sebagai teraju utama. Turut membuat penampilan istimewa ialah penyampai radio Kupi Kupi FM Sarawak, Rowena Jala.
Bagi Namira, kekuatan utama Waltz Kota Bau terletak pada puisi yang menjadi lirik lagu tersebut kerana berjaya membawa emosi dan penceritaan yang melengkapkan naratif filem.
“Saya sangat sukakan puisi yang menjadi lirik untuk lagu ini sebab ia membawa emosi dan penceritaan yang menjadi subteks kepada filem. Mungkin ada penonton yang akan dapat merasakannya, mungkin tidak. Tetapi ia masih lagi boleh berdiri sendiri sebagai sebuah lagu,” ujarnya.
Dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur, Namira mula mendalami muzik sejak usia remaja menerusi pembelajaran gitar klasik sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Komposisi Muzik di ASWARA.

Selain aktif sebagai penyanyi, beliau turut pernah mengacarakan beberapa program televisyen seperti Sneakers Merah Jambu, Wira Remaja dan Langkah Pertama. Namira juga sebelum ini mencuri perhatian menerusi lagu tema filem Pagari Bulan.
Single Waltz Kota Bau akan dilancarkan pada 17 Julai 2026 di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan Joox. Pada hari yang sama, video pelancaran rasmi akan turut disiarkan di saluran YouTube Namira Official, manakala kandungan eksklusif boleh diikuti menerusi akaun Instagram dan TikTok rasmi Namira.