Atas Angin Recovery Pre-Show — Sebuah persembahan muzik dari kumpulan lokal Malaysia selepas berbulan-bulan gig tidak diadakan oleh kerana perlaksanaan PKP bulan Mei yang lalu.
Sejak bulan Mei yang lalu, kehidupan kita diselubungi oleh PKP kerana kes COVID-19 semakin meningkat. Akan tetapi, kali ini Atas Angin memberikan satu gig bagi budak-budak riot untuk melepaskan rindu mereka yang ketagih ingin melihat persembahan muzik depan mata sendiri.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak penganjur menyuruh ramai orang supaya membuat ujian COVID-19 dengan menggunakan kit ujian kendiri COVID-19. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan negatif, kalau positif, memang tiada la gig ini dan artikel ini pun tak wujud.
Kesedihan melanda kepada semua penonton yang hadir kerana OAG tidak dapat mempersembahkan muzik mereka disebabkan masalah tertentu. Namun, terubat rasa sedih itu sedikit apabila Iqbal menggantikan mereka untuk gig ini.
Siapa sahaja tak rindu dengan Iqbal, walaupun dia ibarat pemain simpanan yang menggantikan pemain utama yang cedera, tetapi masih boleh menceriakan suasana. Lawak dia seperti:
“kesian kat akak yang jaga test tu, habis muka dia penuh dengan ludah, orang suruh ludah kat test, ada orang pergi ludah kat muka, habis berjerawat muka akak tu (dialog ini sekadar apa yang penulis ingat sahaja).”
Iqbal menyanyikan lagu Kota Memujuk sebagai pembuka tirai untuk gig ini. Penonton ada memberikan pertolongan suara kepada Iqbal tetapi agak suram la, mungkin dah lama tiada gig, jadi ramai kekok.
Sesi bual berlangsung antara Iqbal dengan penonton, suasana gembira nampaknya hadir dalam sesi ini dek kerana lawak spontan dari Iqbal. Dia ada juga kongsi cerita pengalaman memakai pakaian overall katanya nak nampak seperti chucky tapi nampak bila dia tengok cermin, nampak macam minion.
“Takkan aku mencemar duli, takkan aku berhenti menyanyi…”, sebuah laungan kuat dari penonton semasa Iqbal menyanyikan lagu Jangan Cakap Saja.
Iqbal juga memainkan lagu-lagu seperti Antara 2 Darjat dan Pulanglah Segera. Pada masa ini, penonton sudah memberikan kerjasama menyanyi secara lantang bagi menghidupkan suasana. Lagu-lagu baru turut dimainkan oleh dia, antaranya “Trek 8/Lapan“.
Dia juga ada bagi pembayang iaitu album baru bakal dilepaskan ke ruang muzik. Katanya, emosi sedih menjadi elemen utama dalam album. Nak tahu lebih lanjut, tunggu bulan 12 nanti.
Selepas Iqbal, Motherwit menggantikan tempat. Mereka memulakan persembahan dengan lagu berjudul Senjakala. Vokalisnya berkata agak gementar perform atas stage, tetapi suasana tak nampak jangggal pun kerana dia berjaya layan penonton.
Motherwit juga menyanyikan semula lagu Dialah Di Hati dari Siti Nurhaliza. Boleh tahan jugalah mereka bawa lagu ini tapi dengan alunan muzik mereka sendiri. Dengan mengklasifikasikan diri mereka sebagai ‘Hujan Shopee’, mereka mendendangkan lagu Kotak hati, tetapi separuh jalan sahaja.
Akhir persembahan, Motherwit mempersembahkan dua lagu sendiri iaitu Parachute dan Amanah. Diharapkan mereka terus berjaya menempuh liku-liku dalam industri muzik memandangkan mereka baru lagi, rasanya boleh pergi jauh. Nak dengar lagu-lagu mereka? Boleh pergi ke Spotify.
Ruang masa diberikan kepada waktu solat Maghrib. Yela, takkan nak teruskan, kalau teruskan persembahan semasa waktu Maghrib, memang sama teruk dengan iblis la gamaknya.
Baiklah, persembahan diteruskan semula oleh kumpulan power pop paling berpengaruh di Malaysia — Couple. Awal persembahan, mereka mendendangkan empat buah lagu baharu antaranya Be My Baby dan Malam Minggu.
Suasana semakin gila babi apabila lagu Lagu Cinta Untukmu mula dimainkan. Semua menyumbangkan suara lantang dalam menyanyikan lagu itu.
Semua telinga penonton didendangkan dengan lagu-lagu lama mereka seperti You Gotta Be My Gurl, Rock N Roll, Tentang Kita, Come Back Again, Now That I Can See dan Pergi. Boleh dikatakan lagu-lagu ini mengubati semua hati terluka para penonton yang dah lama tak tengok mereka perform atas pentas.
Habis sahaja lagu terkahir, semua ahli Couple dah letak gitar apa semua, tetapi disebabkan laungan ‘we want more!‘ dari penonton serta perbualan sulit dengan pihak penganjur, mereka perform semula dengan lagu Hey Now.
Skudap-skudip —merekalah yang memercikkan minyak kepada api semangat penonton yang inginkan suasana riot lagi selepas Couple. Pelbagai lagu yang disajikan dari mereka antaranya Gadis Jadian dan Skalala. Penonton juga memberikan kerjasama dalam memeriahkan lagi suasana.
Memang betul apa yang Dodd (frontman) kata:
“Tugas kami menghiburkan anda semua!“.
Sambil mendendangkan lagu, Dodd juga memberikan tunjuk ajar kepada semua penonton bagaimana ingin menari Ska. Dia menunjukkan empat langkah untuk menari Ska dan semua penonton mengikuti langkah-langkah tersebut.
Gig dari Atas Angin ini ditutup oleh sesi kongsi suara DJ oleh Afiq Azren. Waktu ini semua dah pancit, tapi entah apa yang ada dalam diri penonton ini, mana taknya semua masih gila dengan lagu-lagu yang dimainkan. Banyak juga lagu-lagu hits yang Afiq Azren mainkan, seperti:
- Amy Mastura – Sha Na Na.
- Hindia – Rumah Ke Rumah.
- Sudirman – Hoore! Hoore!
- Jamelia – Superstar.
- Diskoria – Serenta Jiwa Lara.
- Shanty – Hanya Memuji.
- Ratu – Teman Tapi Mesra.
- Ajai & Nurul – Keliru.
Kalau nak dirumuskan, semua barisan kumpulan dan individu yang perform dalam gig ini memang all out gila. Shout out to Atas Angin kerana menghidangkan santapan riot kepada semua orang-orang bayar tiket yang kepala gila!