Setelah setahun setengah dihimpit bencana pandemik Covid-19 yang menyekat aktiviti seni, The Bee @ Publika akhirnya kembali bernafas dengan visi yang lebih holistik dan mapan, sesuai dengan bermulanya fasa endemik yang kian melegakan.
Uniknya, aktiviti pertama yang dianjurkan oleh The Bee bukanlah gig secara langsung, tetapi pancaran konsert Incubus sempena 20 tahun album Morning View secara terus di atas talian dengan skrin gergasi dan sistem bunyi mengasyikkan. Ia merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan di negara ini dan idea sebegini adalah sangat dialu-alukan memandangkan keterbatasan pemuzik seluruh dunia untuk merentas negara di waktu sekarang.
Dalam konsert tersebut, Incubus memainkan keseluruhan 13 lagu dalam album Morning View secara pra-rakam di Malibu, California, tempat sama di mana mereka menulis dan merekod album tersebut. Ya, Morning View sudah berusia 20 tahun dan Brandon Boyd masih kekal seksi.
Menurut Pengarah The Bee, Rahul Kukreja, usaha yang dilakukan ini akan menjadi penanda aras kepada masa depan The Bee sebagai sebuah ruang acara seni yang akan menyambut ulang tahun kesepuluh November ini.
“Kami akan mempelbagaikan aktiviti selepas ini dan tidak akan terikat dengan persembahan muzik semata-mata. Selain pelan untuk mendapatkan lesen penayangan pelbagai konsert dan festival muzik antarabangsa termasuk Glastonbury dan Coachella secara langsung, kami juga turut menjemput penggiat seni tidak kira dalam disiplin apa sekalipun untuk menggunakan ruang ini sebagai pentas ekspresi.”
Satu perkara yang menarik minat penulis tentang visi Rahul adalah beliau merancang untuk menjemput band tempatan membuat persembahan pembuka sebelum konsert livestream daripada artis antarabangsa ditayangkan. Bayangkan Hujan menjadi band pembuka pentas untuk konsert The Strokes, tanpa perlu The Strokes datang ke sini? Wow!.
Tambah Rahul lagi, gig secara langsung masih diteruskan seperti biasa dan beliau mengal-alukan penganjur/ band yang berminat untuk membuat tempahan awal.
“Kami sudahpun mengatur pelbagai acara dan akan bermula seawal minggu kedua bulan November. Sekarang tinggal proses mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa sahaja.”
Kreativiti dan diversiti The Bee sebagai restoran/ venue muzik amat dialu-alukan dan mungkin akan menjadi katalis kepada entiti seni lain untuk turut sama berevolusi dan menongkah arus dalam mendepani era pra-endemik demi kelestarian skena tercinta. Syabas diucapkan.
P/S: Tak sabar nak layan Coachella secara live di The Bee.