Budak Baharu Dalam Skena: Tepi Sikit Kalerfool Nak Berkarya!

oleh Boes!
0 komen 739 bacaan

Pendatang baharu dari selatan tanah air yang terdiri daripada tiga anak muda berprestasi tinggi, Kalerfool muncul untuk memeriahkan suasana skena muzik tempatan dengan memperjuangkan genre muzik pop-punk. Ditubuhkan pada suku terakhir 2022, formasi ini mendapat inspirasi daripada Blink-182, Sum 41 dan Bunkface sebagai kiblat muzik mereka dalam memperjuangkan genre yang sentiasa mendapat tempat di hati penggemar muzik arus bawah tanah yang kian berkembang saban hari.

Kalerfool

Dari kiri : Aiman (Gitar), Harith (Dram), Haikal (Vokal)

Dianggotai oleh Aiman (gitar) yang merupakan tunjang utama, Haikal (Vokal) dan Harith (dram), Kalerfool turut mendapat sokongan daripada Zuki (Crazy Grizzly) dalam merealisasikan impian mereka. Atas inisiatif ini, mereka telah berjaya menghasilkan material yang telah pun dilancarkan sekitar April dan mengangkat nama kumpulan mereka sendiri sebagai tajuk single perdana mereka, “Kalerfool!”

Ada apa dengan Kalerfool? Ikuti perbualan antara penulis dan tunjang utama kumpulan ini untuk kita kupas citrawarna material sulung mereka di bawah:

MAMY: Right from it’s title, “Kalerfool” is a decent debut that successfully draws in potential listener. Ada signifikankah pemilihan nama ini? Ada makna tersirat atau sekadar wordplay? Dan kenapa single ini self-titled?

Untuk nama band dan nama single, tiada yang tersirat sangat pun. Asalnya, kami dah brainstorm sama-sama mengaitkan konsep joyful, happiness, cheerful, dan sebagainya. Senang cerita yang ceria dan nampak elemen pop punk. Masa tu, salah seorang rakan band kami mengeluarkan idea pelangi, lepas itu kita orang tukar kepada colourful, dan seorang kawan kami cakap colourful itu nice, cuma dia tukar cara ejaan kepada kalerfool yang memberi makna ‘kaler’ ejaan dalam bahasa Melayu dan ‘fool’ (bodoh). Semua orang pun setuju dari situ terhasillah nama band.

 

Untuk tajuk single, kenapa kami pilih self-titled adalah sebab lagu ini kami klasifikasikan sebagai lagu anthem kami. Memang tujuannya untuk memperkenalkan diri kami sebagai sebuah band yang bernama Kalerfool.

Penulis : Kalerfool dicipta sendiri oleh kalian bersama-sama dengan Mustika Sari. Ceritakan sedikit pasal ilham pembikinan, macam mana kalian membuat keputusan untuk menghasilkan lagu ini, dan adakah cabaran semasa pembikinannya?

Saya dan Mustika Sari ketika itu terinspirasi dengan kumpulan State Champs, Neckdeep, Bunkface, dan Pee Wee Gaskins yang mempunyai anthem track yang memperkenalkan diri mereka kepada orang ramai. Contohnya, Bunkface dengan lagu “Bunk Anthem”. Semasa penghasilan lagu ini pula, tiada apa sangat cabaran, cuma semasa lagu ini hendak diterbitkan, ada pertukaran bandmates dan ada part yang perlu dirakam semula. Selain itu, semuanya berjalan dengan lancar dan kami sangat berterima kasih kepada Mustika Sari yang bersama-sama kami dalam penghasilan lagu ini.

Tuntasnya, penerbitan karya yang juga mendapat sentuhan Zarif Muazzam dari segi adunan dan mastering ini jelas menunjukkan bahawa mereka serius ingin menempatkan diri dalam kelompok pengkarya berkualiti selain berusaha menyebarkan positiviti yang memberi impak ke dalam diri sendiri dan pendengar.

Ulasan “Kalerfool!”

Antara perkara menarik yang penulis boleh kupaskan tentang naskhah ini adalah:

  • Struktur korus yang baik dari segi komposisi dan perjalanan lirik. Penulis suka mengatakan bahawa lagu ini berjaya menangkap perhatian pendengar dengan pembinaan muzik yang vibrant dibantu dengan korus yang membina dan memupuk semangat positif kepada pendengar. Dalam kepesatan yang kadang-kala diliputi awan hitam, sinar kegembiraan juga perlu untuk mengimbangi kehidupan.
  • Penulis menyukai kepaduan dan kepetahan bunyi dram yang dimainkan oleh Harith, terutama sekali di bahagian bridge dan outro yang memandu momentum lagu ini dengan cara tersendiri.
  • Elemen chanting yang diterapkan sedikit sebanyak memberikan nilai tambah kepada lagu ini. Sifat chanting-nya yang meraikan cukup kukuh untuk mengatakan bahawa lagu ini adalah lagu pengenalan mereka, memberi semangat dan daya juang yang tinggi. Seperti “Bunk Anthem”, dengar sekali terus melekat di hati.

Beberapa perkara yang mungkin boleh diperbaiki (sekadar pendapat peribadi):

  • Meskipun lagu ini memberi semangat, namun ada bahagian yang pada penulis sedikit keliru dan ada bahagian yang mendatar dari segi susunan vokal dan muziknya. Komposisi versenya kedengaran kurang menyerlah dari segi vokal dan transisi daripada verse ke outro itu kedengaran tidak berkesinambungan.
  • Meskipun elemen chanting itu harus dipuji, namun penulis merasakan penggunaan kata itu kurang mega dan sedikit janggal, dan ini ditujukan kepada bahagian awalan dan pertengahan lagu. Chanting adalah sesuatu yang menangkap dan seharusnya dizahirkan dengan syllable yang sempurna.

Tetapi ini hanyalah pendapat peribadi dan hey, mana tahu kedengaran sempurna di telinga pendengar yang lain?

Apa-apa pun, bersama-samalah kita meraikan kejayaan kumpulan ini yang telah menerbitkan lagu pertama mereka yang kini telah diluncurkan di semua platform penstriman digital yang ada. Dan ya, mereka juga telah melancarkan muzik video rasmi di laman youtube rasmi mereka, @kalerfoolmy pada 25 April yang lepas. MV tersebut mendapat sentuhan Aiman Syakir sebagai pengarah dan diterbitkan oleh Spunkdok Records.  Bertemakan komikal, usaha Kalerfool mempromosikan kumpulan mereka patut dipuji!

Ikuti perkembangan terkini Kalerfool di laman sosial rasmi Instagram, Facebook dan Tiktok mereka dan berikan sokongan padu anda agar mereka terus berkarya dan melahirkan lagu-lagu yang lebih mantap.

Akhir kata, selamat maju jaya buat Kalerfool. Teruskan sebar positiviti melalui karya anda dan berkembang setanding kumpulan pop-punk yang lain di industri muzik Malaysia.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅