9 Perkara Gempak Yang Berlaku di Konsert GenKRU!

oleh Khaliq G
0 komen 2.7K bacaan

Kredit: Bangsawan Pictures

Penulis masih tidak boleh move on lagi dengan kehebatan konsert GenKRU yang melabuhkan tirai menerusi persembahan malam keempat, pada Ahad minggu lalu.

Mari kita imbas semula perkara-perkara menarik yang berlaku pada malam ketiga konsert tersebut!

  1. Tenaga luar biasa dari trio adik beradik ini sewajarnya mendapat pujian. Selain Edry (49 tahun), Yusry dan Norman telah melepasi usia separuh abad (52 dan 54 tahun). Kemampuan mereka beraksi lincah dengan gerak tari ketika menyanyikan lagu sepanjang 2 jam 30 minit konsert, sangat penulis kagumi. Kita lihat sajalah lagu-lagu KRU seperti Ohh! La! La!, Fanatik, dan Negatif – betapa pantas dan rancak beat lagu tersebut serta menuntut attitude dan stamina tinggi daripada mereka. Ternyata, KRU sangat cemerlang di atas panggung! Tidak kedengaran langsung lelah ketika mereka bernyanyi, bahkan tidak juga mereka kelihatan pancit walau perlu melompat dan menari.

 

  1. Persona romeo yang satu, Datuk Yusry Abd Halim ternyata tidak pernah pudar. Kehadiran Yusry di pentas, lagi-lagi ketika menyanyikan bahagian solo, mendapat sorakan yang cukup kuat daripada penonton (sudah pasti penonton wanita!). Kakak-kakak di dalam stadium ternyata masih kental menjadi peminat fanatik Yusry, walaupun masing-masing sudah berkeluarga. Maaf buat para suami, malam itu isteri awak semua terasa muda remaja kembali!

 

  1. Selaku antara kumpulan yang melakukan revolusi besar dalam industri muzik tanah air pada tahun 90-an, untuk melihat KRU larut dalam emosi adalah perkara yang sangat susah untuk kita jumpa. Ternyata di sebalik imej budak nakal dan ranggi, KRU cepat tersentuh apabila berbicara tentang ibu mereka. Malam itu, ketiga-tiga adik beradik ini menitiskan air mata ketika menyanyikan lagu Penjunjung Namaku. Menurut KRU, lagu ini cukup personal buat mereka, apatah lagi bonda mereka, Puan Zarina binti Abdul Wahab Fenner menjadi insan yang menyokong kuat KRU sejak hari pertama mereka melangkah masuk ke industri seni. Dan bonda mereka hadir pada setiap malam, untuk menyokong perjuangan anak-anak yang beliau cintai. Penulis pun terasa sebak tau.

 

  1. Penulis seronok melihat penonton yang hampir 10 ribu dalam Axiata Arena pada malam itu menikmati persembahan dari trio KRU. 90% penonton adalah golongan dewasa, yang sudah berkeluarga dan anak besar panjang. Namun malam itu, mereka membiarkan diri mereka kembali ke masa lalu, merasai zaman remaja untuk kali kedua. Tentu banyak kenangan mereka membesar dengan lagu-lagu KRU. Yang lelaki pasti menjadikan lagu KRU sebagai muzik rasmi berlatih menari, dan yang wanita menjadikan poster kumpulan KRU sebagai hiasan di dinding bilik tidur masing-masing. Selepas kali terakhir KRU berkonsert di Istana Budaya pada 2018, ternyata masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan langsung gergasi industri muzik ini sekali lagi, apabila mereka bersetuju untuk kembali di pentas skala mega setelah diyakinkan oleh Iman Tang dari delegasi ICON Entertainment.

 

  1. Menerusi sesi sidang media selepas konsert malam ketiga, KRU menjelaskan bahawa persetujuan mereka untuk menambah konsert pada malam ketiga dan keempat merupakan cara untuk mereka membalas jasa dan sokongan peminat. Konsert malam pertama adalah rancangan utama, tetapi penambahan hingga malam keempat dibuat demi memberikan peluang kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kembara muzik KRU sepanjang 33 tahun ini. Iman Tang menjelaskan, walaupun sudah ditambah hingga malam ketiga, trafik di website jualan tiket menunjukkan carian mencecah angka ratusan ribu daripada fans untuk konsert GenKRU. Lalu hanya pada hari Rabu (3 hari sebelum malam ketiga), ICON Entertainment membuat pengumuman penambahan satu hari lagi konsert, semua demi peminat. Secara tidak langsung, perkara ini melayakkan KRU untuk menerima anugerah dari Malaysia Book of Records (Persembahan Terbanyak Dilakukan dalam Satu Siri Konsert).

 

  1. Melakukan pementasan di konsert skala besar menuntut kreativiti dan idea luar biasa daripada KRU dan tenaga produksi. Ulas mereka, gimik dan kejutan yang dibuat pada malam pertama dan kedua tidak boleh diguna pakai pada malam ketiga, kerana sudah menjadi viral di Tiktok dan telah diketahui oleh orang ramai. Jadi, KRU perlu pantas menyusun semula perjalanan konsert supaya setiap malam tidak kelihatan sama. Untuk itu, mereka memanggil Abon untuk membuat cameo di atas pentas, dan mengembalikan nostalgia muzik video Terhangat Di Pasaran. Tambah KRU, mereka bukan sahaja menitik beratkan aspek muzik, tetapi KRU sendiri lengkap hadir dengan visual dalam setiap persembahan, baik di kaca tv mahupun di pentas acara langsung.

 

  1. Bukanlah ICON Entertainment namanya kalau tidak meneruskan kecemerlangan konsert di kota raya Kuala Lumpur untuk dibawa ke kota Singa. Ujar Iman Tang, perancangan untuk meneruskan konsert GenKRU sudah tentu ada, tetapi maklumat lanjut akan dikongsikan apabila semuanya telah bersedia. Yusry berkata selepas 4 malam siri pementasan konsert, mereka mahu berehat dahulu. Konsert berskala besar seperti ini menuntut komitmen yang bukan sedikit dari setiap mereka yang terlibat, sama ada dari tuntutan masa, tenaga, komitmen, latihan dan juga persiapan mental. Jadi, KRU mahu berehat dan relax dahulu, sebelum melakukan gerak gempur untuk agenda seterusnya.

 

  1. Selain keunggulan gergasi boyband negara, konsert GenKRU seharusnya menjadi bukti bahawa kekuatan seluruh tenaga produksi menjadi penyumbang utama kejayaan konsert 4 malam tersebut. Tepukun gemuruh wajar diberikan buat barisan pemuzik yang mengiringi KRU sepanjang konsert. Reza Ramsey selaku Music Director cemerlang dalam menyusun muzik bagi konsert berkenaan. Muzik kedengaran cukup grande dan mega. Kehadiran puluhan penari mengiringi hampir setiap lagu juga merancakkan suasana konsert.

 

  1. KRU menjadi bukti bahawa kumpulan vokal juga mampu bertahan lama dan kekal relevan dalam industri muzik. Bijak, kreatif, berani, bold, dan berfikir jauh ke hadapan – ini antara kekuatan tiga beradik ini, dalam membina empayar KRU. 33 tahun unggul di dalam industri, tidak mustahil nama mereka akan kekal abadi sehingga seratus tahun lagi.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅