Bunuhdiri Angkat Naratif Distopia Dalam Album baharu, Sedia Gegar Pentas Antarabangsa - Music Addicts Malaysia

Bunuhdiri Angkat Naratif Distopia Dalam Album baharu, Sedia Gegar Pentas Antarabangsa

oleh Aniq Ammar Ekhwan
0 komen 37 bacaan

Selepas lebih sedekad membina nama dalam arena muzik ekstrem tanah air dan antarabangsa, kumpulan Brutal Death Metal Malaysia, Bunuhdiri kembali dengan karya agung mereka menerusi album penuh pertama mereka berjudul Neuromechanical Shrine yang bakal diterbitkan oleh BrutalMind Records. Sebagai pembuka tirai, kumpulan itu melancarkan single kedua yang juga merupakan lagu judul album berkenaan selepas terlebih dahulu memperkenalkan arah muzik baharu mereka menerusi single Subjugation Earth pada Januari lalu.

Di sebalik bunyi yang ganas, teknikal dan sarat dengan atmosfera futuristik, Neuromechanical Shrine sebenarnya membawa mesej yang jauh lebih mendalam daripada sekadar kisah fiksyen sains mengenai dominasi makhluk asing.

Menurut vokalis dan pengasas Bunuhdiri, Wira Rastara, idea mengenai penguasaan alien bukan sekadar cerita fantasi, sebaliknya menjadi simbolik kepada realiti dunia moden yang semakin dipengaruhi kuasa besar.

“Konsep ini bermula sejak EP Cosmic Rebirth lagi. Dominasi makhluk asing sebenarnya ialah metafora kepada keadaan dunia hari ini. Ia adalah kiasan terhadap apa yang sedang berlaku dalam kehidupan sebenar.

“Dalam album baharu ini, manusia mula bangkit melawan penjajahan tersebut. Namun seperti dalam dunia nyata, bukan mudah untuk menewaskan kuasa yang jauh lebih besar kerana setiap kali kita cuba melawan, mereka akan memperkukuhkan lagi sistem pertahanan mereka,” katanya.

Melalui naratif itu, Bunuhdiri mengangkat tema propaganda, manipulasi sistem, peperangan ideologi dan bagaimana manusia semakin hilang kebebasan tanpa menyedari siapa yang sebenarnya mengawal kehidupan mereka.

Dari sudut muzik pula, Wira menjelaskan Neuromechanical Shrine merupakan evolusi besar berbanding Cosmic Rebirth.

“Cosmic Rebirth ialah titik permulaan kami memasukkan elemen technical death metal dalam muzik Bunuhdiri. Untuk Neuromechanical Shrine pula, semuanya lebih brutal, lebih teknikal dan lebih kukuh daripada apa yang pernah kami hasilkan sebelum ini. Kami harap semua peminat akan berpuas hati dengan rilisan kali ini,” katanya.

Pengaruh kumpulan seperti Putridity, Rings of Saturn, Suffocation, Beneath the Massacre, Cytotoxin dan Gorgasm terus menjadi tunjang kepada identiti muzik Bunuhdiri yang terkenal dengan riff kompleks, tempo agresif serta struktur lagu yang mencabar.

Keseluruhan proses rakaman album dilakukan secara bebas di studio milik mereka sendiri, manakala proses adunan dan mastering disempurnakan oleh Malik Sampurna dari Hiatus Records. Visual video muzik pula dihasilkan oleh BSA Graphics.

Lebih menarik, ilustrasi kulit album disempurnakan oleh pelukis legenda Jepun, Toshihiro Egawa yang cukup dikenali dalam dunia extreme metal menerusi karya seni yang terperinci dan penuh elemen seram.

Artwork by Toshihiro Egawa

Album penuh Neuromechanical Shrine dijadual dilancarkan secara rasmi pada 8 Ogos 2026 menerusi sebuah konsert khas di Kuala Lumpur.

Konsert pelancaran itu bakal menampilkan Bunuhdiri bersama Pancung, Lumat dan Namakahai sebagai kumpulan pembuka pentas, manakala Turbidity diumumkan sebagai tetamu khas. Acara berkenaan dianjurkan oleh BrutalMind Worldwide dengan kerjasama Purehate.

“Pada hari itu kami bukan sahaja melancarkan album penuh, malah akan mengadakan persembahan khas bersama beberapa band hebat. Tiket presale sangat terhad dan peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui Purehate,” katanya.

Walaupun genre Brutal Death Metal masih dianggap niche di Malaysia, Wira percaya peminat muzik ekstrem sebenarnya semakin berkembang. Menurutnya, Bunuhdiri membawa pendekatan yang berbeza kerana menggabungkan Brutal Death Metal dengan elemen teknikal yang masih jarang diterokai oleh kebanyakan kumpulan tempatan.

“Malaysia memang ada pengikut Death Metal tetapi jumlahnya tidak begitu besar. Saya sendiri cuba membantu melahirkan lebih banyak band yang memainkan genre ini. Sekarang sudah ada beberapa kumpulan seperti Pancung, Lumat dan Namakahai yang membawa muzik Brutal Death Metal dan slamming brutal death.

“Saya rasa kita perlukan lebih banyak pendedahan. Alhamdulillah sekarang muncul gelombang baharu Brutal Death Metal yang turut dipengaruhi elemen metallic hardcore. Ramai generasi baharu mula meminati subgenre yang lebih berat dan saya yakin muzik ini akan terus berkembang,” katanya.

Mengulas mengenai peluang persembahan di luar negara, Bunuhdiri mengakui mereka semakin mendapat perhatian penganjur festival antarabangsa.

Setakat tahun ini sahaja, mereka telah mengadakan persembahan di Taiwan dan Indonesia, selain menerima beberapa tawaran festival serta jemputan persembahan di Indonesia dan Vietnam.

“Kalau semuanya berjalan lancar dan kami berkemampuan, kami memang mahu terus menjelajah ke lebih banyak negara,” katanya.

Malah sebelum ini, Bunuhdiri turut memaklumkan perancangan untuk memulakan siri jelajah Asia Tenggara sebelum meneruskan tour ke Eropah dan Jepun dalam tempoh akan datang.

Menariknya, walaupun nama Bunuhdiri mungkin belum begitu arus perdana di Malaysia, mereka sebenarnya menerima sambutan yang cukup memberangsangkan di luar negara.

Jepun, Taiwan, Indonesia dan Filipina merupakan antara negara yang memberikan sokongan besar terhadap muzik mereka.

“Di luar negara ramai yang mengenali Bunuhdiri dan sambutannya memang sangat baik. Di Malaysia pula bukan tiada yang menyokong. Kami sangat menghargai semua yang sentiasa bersama kami. Cuma mungkin genre yang kami bawa bukan pilihan semua orang.

“Apa pun kami akan terus berkarya dan berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak band tempatan untuk berani meneroka muzik yang lebih ekstrem,” katanya.

Dengan Neuromechanical Shrine, Bunuhdiri bukan sekadar menghasilkan sebuah album baharu. Mereka sedang membina sebuah dunia distopia yang menggabungkan muzik Brutal Death Metal moden, naratif fiksyen sains dan kritikan sosial yang tajam terhadap realiti semasa.

Selepas bertahun-tahun mengukuhkan nama dalam arena underground, Bunuhdiri kini membuktikan bahawa muzik ekstrem dari Malaysia bukan sahaja mampu berdiri sebaris di pentas antarabangsa, malah mempunyai identiti dan cerita yang tersendiri.

Ikuti Bunuhdiri di

Facebook

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅