
Selepas membuka tirai jelajah di Ipoh, FROM POP TO METAL Vol. 9 Malaysia Tour bakal meneruskan hentian kedua di BEKL, Cheras pada 8 Ogos ini dengan menampilkan tujuh band daripada pelbagai genre muzik independen tempatan.
Tiga kumpulan yang memulakan siri jelajah di Ipoh akan kembali menghangatkan pentas di Kuala Lumpur iaitu The Alif, The Rudean dan As Our Throne.
The Alif bakal membuat persembahan selepas pelancaran album terbaharu mereka, Antologi Sakit Otak, manakala The Rudean akan terus mempertaruhkan identiti glam rock yang menjadi kekuatan mereka. As Our Throne pula dijangka menggegarkan pentas dengan aksi metalcore yang sinonim dengan kumpulan itu.
Hentian Kuala Lumpur turut dimeriahkan oleh Naratu yang membawa muzik hardcore, Hot For Preacher (post-hardcore), Yeast (dance rock) serta Melodisaster yang baru sahaja melancarkan album terbaharu berjudul Terakhir.
Menariknya, Yeast dan Hot For Preacher merupakan antara kumpulan yang diketengahkan menerusi siri FROM POP TO METAL Pre-Show sebelum dipilih menyertai Malaysia Tour. Pemilihan itu selari dengan matlamat penganjur untuk membuka lebih banyak peluang kepada bakat muzik independen tempatan.
FROM POP TO METAL Vol. 9 Malaysia Tour dianjurkan oleh Insider Space dan Insider Satellite Ipoh dengan sokongan MyCreative Ventures menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi Malaysia sebagai usaha memperkasa pembangunan muzik independen tempatan.
Peminat muzik yang ingin menyaksikan hentian kedua jelajah ini boleh mendapatkan tiket Presale pada harga RM20 menerusi UberTickets, manakala tiket Door Sale berharga RM30 akan dijual pada hari acara. Orang ramai disaran mendapatkan tiket Presale lebih awal kerana jumlahnya adalah terhad.
Untuk perkembangan terkini mengenai jelajah serta maklumat penjualan tiket, ikuti akaun media sosial @frompoptometal dan @insider_satellite.