
Oleh: Ikramfadli & Amir Ilman
Selepas sekian lama peminat muzik alternatif tempatan menantikan sebuah pentas yang menghimpunkan nama-nama besar daripada pelbagai generasi, Konsert Indiescovery 2026 akhirnya merealisasikan impian tersebut di Zepp Kuala Lumpur pada 18 Julai 2026.
Menampilkan Butterfingers, Bittersweet, Bunkface dan Masdo, konsert anjuran RR Music Entertainment ini bukan sekadar menyatukan empat kumpulan dengan latar perjalanan yang berbeza, malah turut meraikan evolusi muzik alternatif Malaysia yang berkembang merentasi lebih dua dekad.
Keistimewaan utama acara ini terletak pada pemilihan barisan artis yang mewakili empat fasa berbeza dalam perkembangan muzik alternatif Malaysia. Daripada eksperimentasi rock alternatif Butterfingers yang membentuk identiti era 90-an, kemunculan gelombang indie 2000-an menerusi Bittersweet, tenaga pop punk Bunkface yang mewakili generasi baharu, sehinggalah pendekatan retro moden Masdo, semuanya berkongsi satu pentas dalam meraikan perjalanan muzik tempatan yang berwarna-warni.
Malam tersebut dimulakan dengan persembahan Noise sebagai pembuka tirai. Walaupun masih baharu berbanding nama-nama utama yang menghiasi barisan malam itu, mereka berjaya memainkan peranan sebagai pemanas pentas dengan membawakan lagu-lagu daripada kumpulan yang bakal membuat persembahan. Kehadiran mereka juga memberikan gambaran bahawa ekosistem muzik tempatan masih mempunyai ruang untuk bakat baharu berkembang.
Masdo menjadi kumpulan pertama mengambil alih pentas utama dan terus mempamerkan identiti mereka yang cukup tersendiri. Berbeza daripada kumpulan lain pada malam tersebut, kekuatan Masdo terletak pada kemampuan mereka menggabungkan elemen muzik retro dengan pendekatan moden tanpa kehilangan karakter.
Lagu-lagu seperti “Dinda”, “Janji Manis” serta “Teruna dan Dara” terus mendapat sambutan daripada penonton yang memenuhi ruang Zepp Kuala Lumpur. Namun kekuatan Masdo bukan sekadar terletak pada katalog lagu mereka. Interaksi yang santai, gaya persembahan yang bersahaja dan karisma setiap anggota menjadikan keseluruhan set mereka terasa hidup sejak awal.
Kemunculan single terbaharu mereka, “Teristimewa”, turut membuktikan bahawa Masdo masih mampu bergerak ke hadapan tanpa terlalu bergantung kepada formula kejayaan terdahulu. Mereka membuktikan bahawa elemen retro tidak semestinya terikat dengan nostalgia semata-mata, sebaliknya boleh terus berkembang mengikut citarasa pendengar masa kini.
Momentum tersebut diteruskan oleh Bittersweet yang membawa suasana lebih intim dan dekat dengan jiwa peminat muzik indie. Sebagai antara nama penting dalam perkembangan muzik alternatif tempatan sekitar era 2000-an, persembahan mereka mengembalikan memori zaman muzik indie berkembang hasil sokongan komuniti dan peminat sendiri.
Karya-karya seperti “Capital E”, “Kucing Hitam” dan “A Perfect Match” memperlihatkan kekuatan utama Bittersweet menerusi melodi yang mudah melekat serta identiti muzik yang kekal utuh sehingga hari ini. Persembahan mereka mungkin tidak hadir dengan skala tenaga seperti kumpulan rock yang lebih agresif, namun ia mempunyai nilai emosi yang cukup kuat kepada peminat yang setia mengikuti perjalanan mereka.
Bagaimanapun, satu insiden mencuri perhatian apabila vokalis Bittersweet, Hafizan Razali atau Fizan, terjatuh dari pentas ketika sedang membuat persembahan. Situasi tersebut sempat mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penonton, tetapi profesionalisme beliau yang segera bangkit dan meneruskan persembahan sehingga tamat menerima penghargaan daripada peminat yang hadir.
Kemunculan Butterfingers selepas itu menjadi antara detik paling dinantikan sepanjang malam. Bagi peminat muzik alternatif tempatan, Butterfingers bukan sekadar sebuah kumpulan rock, tetapi sebahagian daripada sejarah perkembangan muzik Malaysia.
Sejak kemunculan mereka pada era 1990-an menerusi album seperti 1.2 Milligrams dan Butter Worth Pushful, Butterfingers dikenali menerusi keberanian mereka bereksperimen dengan bunyi alternatif yang pada ketika itu masih belum begitu dominan dalam arus perdana. Perjalanan mereka kemudian berkembang menerusi album seperti Transcendence dan Malayneum, yang memperlihatkan kematangan dari segi penulisan lagu dan eksplorasi muzik.
Di pentas Indiescovery, perkara tersebut jelas dirasai apabila lagu seperti “Skew” kembali bergema di hadapan peminat yang membesar bersama muzik mereka. Kekuatan Butterfingers bukan hanya pada faktor nostalgia, tetapi bagaimana karya-karya lama mereka masih mempunyai karakter yang kuat apabila dipersembahkan secara langsung.
Vokal Emmett yang masih mempunyai identiti tersendiri serta permainan gitar Loque yang menjadi antara elemen utama bunyi Butterfingers berjaya menghidupkan kembali aura alternatif yang pernah menjadikan mereka antara nama paling berpengaruh dalam sejarah muzik tempatan.
Sebagai penutup malam, Bunkface hadir dengan tenaga yang berbeza. Jika Butterfingers membawa nostalgia dan Bittersweet membawa sisi indie yang lebih santai, Bunkface pula memastikan malam tersebut berakhir dengan suasana penuh tenaga menerusi pendekatan pop punk yang menjadi kekuatan mereka.
Sejak kemunculan mereka sekitar pertengahan 2000-an, Bunkface berjaya mencipta hubungan yang kuat bersama generasi muda melalui lagu-lagu yang mudah diingati dan penuh semangat. Persembahan mereka di Zepp Kuala Lumpur membuktikan bahawa formula tersebut masih berkesan apabila lagu-lagu seperti “Situasi”, “Ekstravaganza”, “Darah Muda” dan “Revolusi” disambut dengan nyanyian beramai-ramai daripada penonton.
Selain muzik, kekuatan utama Bunkface adalah kemampuan mereka membina hubungan dengan penonton. Antara momen paling menarik berlaku apabila Sam turun ke ruang penonton sebelum menjemput seorang peminat naik ke pentas untuk menyanyikan “Rentak Laguku” bersama-sama. Interaksi spontan tersebut menjadi salah satu kemuncak persembahan dan memberikan sentuhan peribadi kepada penutup konsert.
Dari sudut penganjuran, terdapat beberapa perkara yang masih boleh diperbaiki. Konsert bermula kira-kira 30 minit lewat daripada jadual asal, manakala tempoh pertukaran antara kumpulan mengambil masa yang agak panjang sehingga menyebabkan momentum persembahan sedikit terganggu.
Walaupun begitu, pihak penganjur masih berjaya memastikan setiap kumpulan mendapat ruang persembahan yang sepatutnya tanpa pengurangan lagu. Kehadiran Bob Ringgo dari Suria FM sebagai pengacara majlis turut membantu mengisi tempoh transisi menerusi interaksi bersama penonton, sekali gus mengurangkan rasa bosan ketika menunggu pertukaran pentas.
Apa yang menjadikan Indiescovery 2026 istimewa ialah bagaimana sebuah konsert berjaya menghimpunkan peminat daripada latar generasi yang berbeza. Ada yang hadir kerana membesar dengan Butterfingers, ada yang mengikuti perjalanan Bittersweet dan Bunkface sejak era sekolah, manakala ada juga generasi baharu yang menemui muzik tempatan melalui Masdo.
Natijahnya, Konsert Indiescovery 2026 bukan sekadar sebuah pertemuan empat kumpulan dalam satu malam, tetapi sebuah gambaran perjalanan muzik alternatif Malaysia yang merentasi zaman. Walaupun masih terdapat beberapa aspek penganjuran yang boleh diperbaiki, kekuatan persembahan setiap artis berjaya menjadikan malam tersebut satu pengalaman yang bermakna buat peminat.
Apabila lagu-lagu daripada era berbeza dinyanyikan bersama dalam satu ruang yang sama, ia membuktikan bahawa muzik tempatan tidak pernah benar-benar hilang tempatnya. Selagi karya berkualiti terus dihasilkan dan peminat terus memberikan sokongan, perjalanan muzik alternatif Malaysia akan terus berkembang serta kekal relevan untuk generasi akan datang.


















