
Selepas memperkenalkan beberapa karya sepanjang dua tahun lalu, kumpulan indie rock tempatan, The Alif, kembali dengan album studio kedua berjudul Antologi Sakit Otak yang kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.
Diterbitkan secara bebas, album yang memuatkan sembilan buah lagu ini memperlihatkan perkembangan muzik The Alif menerusi gabungan elemen Britpop, alternative rock dan indie yang menjadi identiti mereka sejak penubuhan kumpulan itu. Lebih penting, Antologi Sakit Otak menunjukkan keberanian kumpulan ini mengangkat tema-tema yang dekat dengan realiti kehidupan tanpa mengorbankan identiti muzik yang telah mereka bina.
Album dibuka menerusi trek Kritikan Sosial yang menggabungkan susunan muzik bersama petikan ucapan revolusioner Che Guevara ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Lagu tersebut berfungsi sebagai pintu masuk kepada keseluruhan naratif album, memperkenalkan sisi lebih kritikal The Alif sebelum membawa pendengar menyelami pelbagai emosi dan persoalan yang diketengahkan dalam trek seterusnya.
Antara karya yang mencuri perhatian ialah Ya Ya Ya yang mengangkat fenomena masyarakat moden yang semakin bergantung kepada pengiktirafan dan perhatian di media sosial. Disampaikan menerusi lirik yang sinis bersama susunan muzik yang bertenaga, lagu itu terlebih dahulu diperkenalkan sebagai single dan menerima sambutan menggalakkan apabila melepasi 3,000 penstriman di Spotify.
Turut melengkapkan album ini ialah Melankolik, Obsessive Love Disorder, Bunga Rindu, Antologi Sakit Otak, Substansi, The Story dan Lebaran Yang Hiba. Kesemua karya tersebut mengetengahkan pelbagai sudut penceritaan merangkumi kritikan sosial, kehilangan, kerinduan, kesihatan mental, hubungan sesama manusia serta pencarian makna dalam kehidupan.

Dari sudut keseluruhan, Antologi Sakit Otak hadir sebagai sebuah album yang tidak bergantung kepada satu tema atau satu formula muzik semata-mata. Sebaliknya, setiap lagu mempunyai identiti tersendiri namun masih disatukan oleh benang merah yang menghubungkan pengalaman manusia dengan pemerhatian terhadap dunia sekeliling. Pendekatan ini menjadikan album berkenaan sesuai dinikmati dari awal hingga akhir sebagai sebuah karya yang mempunyai aliran penceritaan yang jelas.
Pengaruh Britpop dan alternative rock yang menjadi tunjang bunyi The Alif masih kedengaran, namun kali ini dipersembahkan dengan susunan yang lebih matang dan seimbang. Pendengar boleh menjangkakan gabungan melodi yang mudah dihadam bersama lirik yang mengajak mereka meneliti semula pelbagai isu yang sering berlaku dalam kehidupan seharian.
Bagi meraikan pelancaran album ini, The Alif turut menganjurkan Antologi Sakit Otak – Album Listening Session yang menghimpunkan peminat, rakan media dan penggiat industri muzik. Sesi eksklusif itu memberi peluang kepada hadirin mendengar keseluruhan album bersama anggota kumpulan selain berkongsi kisah di sebalik proses pembikinan setiap lagu.

The Alif dianggotai oleh King selaku vokalis, Aizzul Fikri (gitar, keyboard dan strings), Megat Amiruddin (bass) serta Shah Chacha (dram). Dikenali menerusi karya yang mengangkat pelbagai tema kehidupan, emosi dan kritikan sosial, Antologi Sakit Otak menjadi bukti evolusi muzik mereka sebagai sebuah kumpulan indie rock yang terus bereksperimen tanpa meninggalkan identiti asal.
Bagi peminat muzik alternatif tempatan, Antologi Sakit Otak menawarkan sebuah pengalaman mendengar yang bukan sahaja menampilkan variasi bunyi, malah turut mengajak pendengar menelusuri pelbagai persoalan tentang kehidupan moden. Ia merupakan sebuah album yang wajar diberikan perhatian, khususnya bagi mereka yang menghargai karya dengan gabungan penceritaan yang jujur dan eksplorasi muzik yang konsisten.
Senarai lagu Antologi Sakit Otak:
- Kritikan Sosial
- Ya Ya Ya
- Melankolik
- Obsessive Love Disorder
- Bunga Rindu
- Antologi Sakit Otak
- Substansi
- The Story
- Lebaran Yang Hiba