Dari Ipoh Ke Jakarta: Muck X Fieldville Tour 2026 - Membina Jaringan Muzik Malaysia-Indonesia-Singapura - Music Addicts Malaysia

Dari Ipoh Ke Jakarta: Muck X Fieldville Tour 2026 – Membina Jaringan Muzik Malaysia-Indonesia-Singapura

oleh Chiv Iscandar
0 komen 39 bacaan

Hubungan muzik antara Malaysia dan Indonesia terus berkembang melalui pelbagai bentuk kerjasama, daripada festival, persembahan langsung sehinggalah kepada kolaborasi antara pemuzik.

Dalam usaha memperkukuhkan hubungan serantau ini, Dari Ipoh Ke Jakarta: Muck X Fieldville Tour 2026 menjadi satu langkah penting apabila dua kumpulan dari Ipoh, Muck dan Fieldville, menjayakan siri jelajah selama seminggu di Jakarta.

Jelajah ini telah berlangsung selama seminggu bermula dari 10 hingga 16 Jun 2026. Dianjurkan oleh Pudipang Industries dan mendapat sokongan MyCreative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan pasaran serta jaringan muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Sepanjang berada di Jakarta, Muck dan Fieldville menjayakan lima persembahan di lokasi berbeza, bertemu dengan komuniti muzik tempatan, berkongsi pentas bersama pemuzik Indonesia dan Singapura, serta membuka ruang kepada peluang kerjasama baharu.

Selain membawa karya masing-masing, kedua-dua kumpulan turut membawa identiti “Ipoh Sound” atau muzik dari Ipoh, sebuah bandar yang diiktiraf sebagai UNESCO City of Music, dengan pendekatan muzik yang berbeza antara generasi lama dan baharu.

Perjalanan jelajah bermula menerusi Serumpun Project di M Bloc Live House anjuran 8Miles Jakarta, sebelum diteruskan ke beberapa ruang muzik independen lain seperti Glamz Antasari untuk Orange Pop Vol.13, Coffeewar Pondok Labu menerusi showcase “Perjalanan” oleh Adrian Yunan, Shots Coffee Rawamangun sempena pelancaran single “Moving On” oleh Magnesence, dan berakhir di acara Showkeos di Kios Ojo Keos.

Setiap lokasi memberikan pengalaman tersendiri. Daripada pentas yang menghimpunkan lebih ramai penonton sehinggalah ruang kecil yang lebih dekat dengan komuniti, keseluruhan perjalanan ini memperlihatkan kekuatan ekosistem muzik independen Jakarta yang sentiasa memberi ruang kepada karya baharu.

Bagi Muck, jelajah ini membawa makna istimewa kerana berlangsung sempena ulang tahun ke-30 penubuhan mereka. Selepas tiga dekad berkarya, kumpulan tersebut membuktikan bahawa muzik yang mempunyai identiti tersendiri masih mampu diterima oleh pendengar baharu di luar negara. Pendekatan lo-fi dan indie rock yang dibawa Muck turut mendapat perhatian daripada Atlas Record, yang melihat karakter muzik mereka sebagai sesuatu yang mempunyai keunikan dalam konteks pasaran Indonesia.

Sementara itu, Fieldville pula mewakili generasi baharu muzik alternatif Malaysia. Persembahan mereka mendapat sambutan daripada komuniti muzik Jakarta, termasuk perhatian daripada penyanyi dan penulis lagu Indonesia, Adrian Yunan, yang menyifatkan Fieldville sebagai kumpulan yang membawa warna baharu daripada Malaysia.

Antara perkembangan penting hasil jelajah ini ialah minat daripada Jajan Kaset di Pasar Santa untuk membawa album Fieldville ke pasaran Indonesia. Perkara ini menunjukkan bagaimana persembahan secara langsung dan hubungan yang dibina sepanjang tour mampu membuka peluang sebenar kepada pemuzik Malaysia.

Turut bersama dalam perjalanan ini ialah kumpulan dari Singapura, Iman’s League, menerusi Satu Suara Asia Tour. Tour tersebut bertujuan mempromosikan single terbaru mereka, “Satu Suara”, yang menampilkan Noh Salleh dari Malaysia dan Aska Rocket Rockers dari Indonesia.

Bagi Iman’s League, pengalaman berkongsi pentas bersama komuniti muzik dari tiga negara menjadi satu pengalaman yang sangat bermakna. Selepas jelajah tersebut, mereka turut menerima beberapa tawaran untuk menyertai festival dan persembahan di Indonesia, menunjukkan impak positif daripada hubungan yang dibina sepanjang perjalanan. Selain persembahan, perkara paling bermakna sepanjang berada di Jakarta ialah keterbukaan komuniti muzik tempatan menerima kehadiran kumpulan dari luar negara. Penganjur, venue, pemuzik, media, label dan peminat memainkan peranan penting dalam membina suasana yang menyokong perkembangan muzik independen.

Bagi Pudipang Industries, pengalaman ini membuktikan bahawa sebuah jelajah antarabangsa bukan hanya tentang membawa artis membuat persembahan, tetapi tentang membina jaringan, membuka peluang dan mewujudkan hubungan jangka panjang antara komuniti muzik serantau.

Dari Ipoh Ke Jakarta: Muck X Fieldville Tour 2026 akhirnya menjadi lebih daripada sekadar lima persembahan di Jakarta. Ia menjadi sebuah perjalanan yang menghubungkan Malaysia, Indonesia dan Singapura melalui muzik, komuniti dan semangat untuk terus membina ruang baharu dalam landskap muzik Asia Tenggara.

Kredit: Pudipang Industries

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅