
Selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik tanah air, Noh Salleh bakal mempersembahkan konsert solo orkestra berskala besar menerusi Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra di Idea Live Arena pada 8 November depan.
Konsert anjuran bersama Altus Prohouse dan CK Star Entertainment itu menyaksikan penyanyi, komposer dan penulis lagu berusia 41 tahun berkolaborasi dengan Aubrey Suwito yang bertindak sebagai pengarah muzik bersama barisan orkestranya.
Menerusi persembahan itu, lagu-lagu ikonik seperti Angin Kencang, Rahsia Tuhan, Bunga Di Telinga dan Sang Penikam bakal dipersembahkan dalam susunan orkestra baharu tanpa menghilangkan identiti asal karya berkenaan.
Konsert berkenaan juga menjadi konsert solo orkestra kedua buat Noh selepas beliau mengadakan persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada November tahun lalu. Bagaimanapun, penganjur menyifatkan Cadenza of the Soul sebagai konsert solo orkestra berskala besar pertama yang menghimpunkan karya-karya Noh dalam format sedemikian.
Menurut penganjur, konsert itu bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya penghormatan terhadap perjalanan seni Noh yang telah menghasilkan pelbagai karya merentasi genre termasuk rock alternatif, folk, pop, jazz, bossa nova dan muzik sinematik.
Judul Cadenza of the Soul turut membawa makna tersendiri. Perkataan “cadenza” yang dipinjam daripada bahasa Itali merujuk kepada bahagian solo dalam sesebuah karya muzik, manakala “soul” melambangkan jiwa. Gabungan kedua-duanya menggambarkan sebuah persembahan yang menampilkan ekspresi emosi dan kebebasan artistik menerusi kolaborasi Noh bersama Aubrey Suwito.
Wakil CK Star Entertainment dan Altus Prohouse berkata, gabungan dua figura yang mempunyai identiti muzik tersendiri itu dijangka memberikan dimensi baharu kepada karya-karya yang sudah lama menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup peminat.
“Lebih daripada sekadar sebuah konsert, Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra merupakan sebuah penghormatan terhadap perjalanan seni Noh Salleh yang menggabungkan elemen muzik, penceritaan dan emosi dalam satu malam yang diraikan bersama para peminat.
“Cadenza of the Soul akan menjadi babak baharu buat suara yang sudah lama menemani anda tetapi bakal dilakar dalam format dan sesuatu yang tidak pernah anda dengar dan rasai.
“Kami juga percaya dengan reputasi Aubrey Suwito sebagai antara pengarah muzik dan komposer paling disegani di Malaysia, kolaborasi ini dijangka menghasilkan sebuah persembahan yang bukan sahaja mengangkat nilai artistik karya-karya Noh Salleh, malah menawarkan pengalaman konsert yang berbeza daripada persembahan beliau sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Aubrey mengakui tidak teragak-agak menerima pelawaan untuk menjayakan projek berkenaan kerana menyifatkan Noh sebagai antara karyawan seni paling berbakat dalam generasi semasa.
“Saya tidak perlu berfikir dua kali untuk mengatakan ya atau bersetuju dengan projek ini. Noh Salleh seorang karyawan seni generasi kini yang cukup genius.
“Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra pula akan menjadi sebuah perayaan muzik yang agung. Hadir dan rayakan emosi-emosi anda pada 8 November ini di Idea Live Arena dan pulang dengan jiwa yang besar terhadap karya anak tempatan,” katanya.
Tiket konsert akan mula dijual pada 5 Ogos ini bermula jam 12 tengah hari menerusi Ticket2U dan Fantopia.
Harga tiket ditawarkan mengikut kategori iaitu RM188 (CAT 3), RM268 (CAT 2), RM368 (CAT 1), RM488 (VIP), RM588 (VVIP termasuk sesi Meet & Greet) dan RM788 bagi Twin Seat di Suite Room 1 hingga 4.
Pemegang tiket VVIP turut menikmati sesi Meet & Greet bersama Noh Salleh, manakala pembeli tiket VIP akan menerima kemeja-T konsert eksklusif edisi terhad.
PEMBELIAN TIKET: www.ticket2u.com.my atau www.fantopia.io


