
Oleh: Adam Faizal
Festival muzik SoundCircus kembali memeriahkan Art of Speed (AOS) Malaysia 2026 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), sekali gus menjadi antara tarikan utama edisi ke-15 festival budaya kustom terbesar negara itu.
Berlangsung selama dua hari bermula 1 Ogos, SoundCircus menghimpunkan barisan pemuzik tempatan dan antarabangsa merentasi pelbagai genre termasuk rock, indie, punk, hardcore, hip hop dan alternatif. Antara nama yang mencuri perhatian ialah Hujan, The Sigit, Nadin Amizah, Sukatani, Disagree, The Jansen, Masdo serta kolaborasi Aizat Amdan bersama Sekumpulan Orang Gila (SOG).
Sepanjang dua hari penganjuran, tiga pentas utama iaitu Panggung Chaos, Pentas 16 dan Pentas Utama SoundCircus menampilkan lebih 60 artis dari Malaysia dan luar negara. Selain menjadi medan buat nama-nama besar industri, festival ini terus memainkan peranan sebagai platform memperkenalkan bakat baharu kepada khalayak lebih luas menerusi persembahan artis seperti PayLark, Piring Terbang dan Kosmik.
Antara persembahan yang paling mendapat perhatian ialah kolaborasi Jemson dan Def Gab C yang berjaya menghidupkan suasana di Pentas Utama. No Good Sound System turut tampil dengan konsep persembahan yang berbeza daripada kebiasaan, sekali gus menerima sambutan hangat daripada penonton serta menarik perhatian peminat baharu.
Walaupun Tenxi terpaksa menarik diri pada saat akhir daripada persembahan penutup hari pertama, kemeriahan festival tidak sedikit pun terjejas apabila ribuan pengunjung terus memenuhi ketiga-tiga pentas sepanjang hujung minggu tersebut.
Hari kedua SoundCircus 2026 diakhiri dengan persembahan Sheila Majid di Pentas Utama SoundCircus, Johny Comes Lately di Pentas 16 serta Krusty yang menutup tirai Panggung Chaos, sekali gus melengkapkan dua hari festival yang dipenuhi pelbagai warna muzik.
Kepelbagaian genre serta gabungan artis legenda, nama arus perdana dan pemuzik independen terus menjadi kekuatan utama SoundCircus. Pendekatan itu bukan sahaja memberi pilihan kepada pengunjung daripada pelbagai latar belakang, malah mengukuhkan reputasi festival ini sebagai salah satu platform muzik alternatif terbesar di Malaysia.
SoundCircus turut melengkapkan pengalaman Art of Speed Malaysia 2026 yang bertemakan “Malaysia Summer Festival”, sebuah acara yang menghimpunkan budaya automotif, seni, muzik, fesyen dan kreativiti di bawah satu bumbung. Penganjuran tahun ini mendapat sokongan Kementerian Komunikasi, MyCreative Ventures, Tourism Selangor, Visit Selangor 2026 serta Surprising Selangor.
Selepas sedekad menjadi sebahagian daripada Art of Speed, SoundCircus terus berkembang daripada sebuah pentas sampingan kepada festival muzik yang dinantikan setiap tahun. Edisi 2026 sekali lagi membuktikan bahawa festival ini bukan sekadar pelengkap kepada acara automotif, sebaliknya sebuah platform penting yang meraikan kepelbagaian muzik dan membuka ruang kepada pemuzik baharu berkongsi pentas bersama nama-nama besar industri.














