LOVEBITES Bakal Mendarat Di Kuala Lumpur, Tiket Konsert Kini 60 Peratus Terjual! - Music Addicts Malaysia

LOVEBITES Bakal Mendarat Di Kuala Lumpur, Tiket Konsert Kini 60 Peratus Terjual!

oleh Music Addicts Malaysia
0 komen 30 bacaan

Peminat muzik metal yang masih berkira-kira untuk menyaksikan aksi kumpulan metal wanita popular dari Jepun, Lovebites, di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Oktober ini perlu membuat keputusan segera apabila jualan tiket kini sudah mencecah 60 peratus.

Dibawakan Rockstage Entertainment, Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur menandakan penampilan sulung kumpulan berkenaan di Malaysia sekali gus membuka lembaran baharu buat peminat tempatan yang sekian lama menantikan peluang menyaksikan sendiri kehebatan mereka di pentas.

Konsert itu merupakan sebahagian daripada Outstanding Tour – SEA 2026 yang membawa Lovebites menjelajah Asia Tenggara termasuk Singapura dan Thailand sebelum tiba di Kuala Lumpur pada 4 Oktober.

Perkembangan jualan tiket yang kini mencapai 60 peratus memperlihatkan sambutan semakin hangat daripada peminat tempatan. Dengan jumlah tiket yang semakin berkurangan, mereka yang masih belum mendapatkan tiket disaran agar tidak menunggu sehingga saat akhir.

Bagi peminat Lovebites, konsert ini cukup istimewa kerana ia menjadi penampilan pertama mereka di Malaysia. Ditubuhkan pada 2016, kumpulan itu kini dianggotai Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar dan kibod), Fami (bass) serta Haruna (dram).

Lovebites membina identiti tersendiri menerusi gabungan heavy metal, power metal dan speed metal yang diperkukuhkan dengan melodi dramatik serta permainan instrumental berintensiti tinggi.

Kekuatan kumpulan itu bukan sekadar terletak pada vokal bertenaga Asami, malah permainan gitar Midori dan Miyako yang pantas, teknikal dan penuh tenaga turut menjadi antara tarikan utama persembahan mereka.

Bass Fami serta pukulan dram Haruna pula melengkapkan bunyi berat yang menjadi ramuan utama muzik dan persembahan pentas Lovebites.

Kehebatan tersebut membantu Lovebites mencuri perhatian di persada metal antarabangsa apabila mereka pernah tampil di festival berprestij seperti Wacken Open Air. Kumpulan itu turut menerima pengiktirafan Best New Band pada Metal Hammer Golden Gods Awards 2018, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara nama penting dalam generasi baharu metal Jepun.

Tahun ini juga menyaksikan Lovebites meneruskan momentum antarabangsa menerusi siri persembahan dan jelajah di beberapa negara termasuk penampilan di Nippon Budokan, sebuah pentas ikonik yang menjadi antara lokasi impian ramai penggiat muzik Jepun.

Selepas menjelajah Eropah, United Kingdom dan Jepun, Lovebites kini membawa tenaga sama ke Asia Tenggara menerusi Outstanding Tour – SEA 2026, dengan Kuala Lumpur menjadi salah satu persinggahan utama mereka.

Pemilihan Zepp Kuala Lumpur juga menjanjikan pengalaman yang lebih dekat dan intim antara kumpulan itu dengan penonton. Buat peminat metal, suasana sebegini memberikan peluang untuk merasai dengan lebih dekat setiap dentuman dram, raungan gitar, deruman bass serta vokal Asami.

Lebih penting, pengalaman menyaksikan Lovebites secara langsung pastinya berbeza daripada sekadar menikmati persembahan mereka menerusi video di YouTube.

Bayangkan dua gitaris, Midori dan Miyako, saling bersahut menerusi riff serta solo gitar berkelajuan tinggi, disusuli bass Fami yang menggelegar dan pukulan dram Haruna yang menghentam tanpa henti sebelum semuanya digabungkan dengan vokal Asami yang bertenaga.

Itulah pengalaman yang bakal menanti penonton apabila lima anggota Lovebites berdepan secara langsung dengan peminat Malaysia.

Bagi peminat gitar solo, permainan teknikal, melodi berat dan persembahan metal berintensiti tinggi, Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur pastinya antara acara yang wajar dimasukkan dalam senarai wajib tonton 2026.

Apatah lagi, peluang menyaksikan Lovebites secara langsung di Malaysia bukan sesuatu yang datang setiap tahun.

Jelajah Outstanding Tour – SEA 2026 dijadual bermula di Singapura pada 2 Oktober, diikuti Thailand pada 3 Oktober sebelum Lovebites tiba di Kuala Lumpur pada 4 Oktober.

Dengan jualan tiket kini sudah mencecah 60 peratus, peminat yang masih belum mendapatkan tiket disaran bertindak segera bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menyaksikan penampilan sulung Lovebites di Malaysia.

Tiket boleh didapati menerusi My Ticket Empire.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅