Sudah lama tak dengar mana-mana kugiran metalcore mengeluarkan single dan kali terakhir penulis mendengar khabar ialah daripada Massacre Conspiracy menerusi Nothing Last Forever. Namun, baru-baru ini ada sebuah kugiran yang diberi nama Defoulters telah melancarkan single Dagger pada 9 Mei 2023 yang lepas.
Defoulters merupakan sebuah kugiran berpaksikan Metalcore yang ditubuhkan pada 2020 dan dianggotai oleh Bear (vokal), Adeeb dan Sapik (Gitar), Kasha (Bass), dan Ehsan (Dram). Menjadikan beberapa kugiran luar negara dan tempatan sebagai pengaruh, mereka telah banyak menyertai siri gig di sekitar Lembah Klang selain mengeluarkan sebuah EP berjudul ‘Within’ yang mengandungi lima buah lagu pada 2021.
Menurut Bear selaku vokalis, single ini menceritakan tentang pengorbanan seseorang terhadap sesuatu atau seseorang namun hasilnya sia-sia. Secara umumnya, Defoulters kini dalam fasa menghasilkan naskah yang berat namun mudah didengari, dalam masa yang sama menjadi sebuah unit yang agresif untuk rilisan seterusnya.
Untuk menjadi sebuah kugiran yang relevan, ini bergantung kepada pendengar terhadap apa yang mereka dengar namun bagi kami sebagai sebuah unit, kami suka mencuba sesuatu yang baru sebagai kugiran Metalcore. Ramai je kata Metalcore ni dah mati tapi sebenarnya bukan mati, kita tengah cari penawar untuk memastikan genre ini kekal relevan. Itu yang membuatkan kami berbeza dari kugiran lain.
Setelah mendengar single ini, Dagger merupakan single yang harus diberi perhatian bukan sahaja dalam permainan instrumen, malah pada susunan lagu yang mudah didengari namun terdapat beberapa bahagian yang agak kosong di bahagian vokal. Walaupun begitu, Defoulters masih boleh dikira sebagai budak baik dalam single ini dan penulis merasakan ini adalah amaran pertama mereka dan mungkin rilisan seterusnya akan menampakkan wajah sebenar Defoulters.
Untuk kualiti rakaman, walaupun mereka merekodkan single ini secara kendiri, penulis boleh lihat kematangan berbanding rilisan mereka yang lalu dan boleh diperbaiki dari beberapa sudut di mana terdapat beberapa bahagian yang tidak setara di mana bunyi dram agak kuat dan bunyi gitar agak tenggelam. Untuk vokal pula tiada masalah namun harus diingatkan pentingnya bunyi yang seimbang dalam memastikan kepuasan mendengar sesuatu karya.
Secara keseluruhannya, Dagger membuktikan Metalcore masih hidup dan sihat. Dengan adanya kugiran seperti Defoulters, penulis yakin bahawa mereka mampu pergi jauh dan penulis juga difahamkan mereka dalam fasa rakaman album pertama dan bakal menggamit telinga pendengar dalam masa terdekat.
InshaaAllah, Kami akan mengeluarkan album pertama kami tak lama lagi. Apa yang kami boleh janjikan ialah album ni akan penuh dgn riff guitar yang agak teknikal dan melodic dalam masa yang sama disulam dengan breakdown yang berat serta mengekalkan identity Defoulters itu sendiri.
Ikuti perkembangan Defoulters di: