Kugiran indie pop, FUGŌ mengumumkan kolaborasi bersama Heidi Moru dalam video muzik (MV) single terbaru mereka berjudul As Long As We Stay yang telah dilancarkan pada tanggal 18 Mac 2022 dengan jangka masa selama 4 minit 22 saat di saluran YouTube rasmi FUGŌ.
FUGŌ yang ditubuhkan pada Oktober 2019 membariskan Hakim Kamal (vokal dan gitar), Dean (gitar utama) dan Kayrol Ami (gitar bass). Mereka membawakan adunan nuansa vintaj elektro bersama bunyian moden, membawakan pengaruh bunyian pop, funk, rock moden dan muzik new wave dari penghujung tahun 70-an dan 80-an.
Menurut FUGŌ, As Long As We Stay merupakan single kedua setelah pelancaran debut selft-titled EP mereka pada tahun 2021. Mereka juga menyatakan bahawa ini merupakan kali kedua mereka berkolaborasi dengan artis lain setelah bersama Bil Musa di dalam trek Moon & The Sun yang berjaya meraih lebih 75,000 penstriman sejak pelancarannya pada Mac 2021.
As Long As We Stay berkisar tentang kisah cinta yang tak pasti di antara dua individu yang mengharapkan rasa cinta mereka dalam perhubungan tersebut berkekalan lebih lama.
Dia merasakan bahawa perhubungan mereka berdua telah mulai meretak dan mengharapkan pasangannya untuk menerima realiti tersebut namun permintaan itu adalah sesuatu yang terlalu besar buat mereka berdua. Disebabkan itu, mereka berdua percaya bahawa kekal di dalam perhubungan tersebut akan membantu rasa cinta mereka terhadap satu sama lain untuk kekal lebih lama.
Tambahan, FUGŌ menyatakan bahawa trek ini mengandungi bunyian pop vintaj melankolik Asia yang membantu menyampaikan perasaan kedua-dua individu dalam perhubungan tersebut.
FUGŌ menyatakan bahawa dengan pelancaran single terbaru ini, mereka berharap mampu membawakan warna kegirangan terhadap industri muzik Asia.
Dengarkan As Long As We Stay di saluran YouTube rasmi mereka dan ikuti saluran media sosial rasmi FUGŌ di Facebook, Twitter, dan Instagram untuk informasi terkini.