‘Gentle Secrets’ – Eviden Terbaharu dari Hey Jay!

oleh Mohd Asyraf Firdaus
2K bacaan

Mungkin masih ramai yang belum mengenali kugiran dari Kuala Lumpur ini, namun Hey Jay! sebenarnya bukanlah band yang calang-calang. Walaupun boleh dikatakan agak baru ditubuhkan, ahli-ahlinya adalah dari kalangan yang telah lama bergiat aktif dalam industri dan dalam masa singkat, pelbagai pencapaian telah mereka kecapi termasuk memenangi anugerah berprestij.

Hey Jay! dipacu oleh enam orang ahli yang terdiri daripada Jay Ridzwan selaku vokalis dan pemain gitar, Boy Azhar dan Fazli sebagai pemain gitar utama dan gitar kedua, tidak dilupakan juga Syakir Khalid yang memetik gitar bass dan WK a.k.a Wak  di posisi  dram serta Felicia yang bertindak sebagai pemain papan kekunci.

Apa yang menarik tentang Hey Jay! ini adalah kesemua ahli mereka boleh menyanyi dan turut sama bertindak sebagai vokal sokongan. Jadi hasilnya sememangnya menakjubkan! Latar belakang kesemua ahli pun bukan biasa-biasa. Kesemuanya pernah terlibat dalam beberapa buah band sebelum tertubuhnya Hey Jay! pada Ogos 2019.

Tahun 2022 menyaksikan Hey Jay! memecah kesepian dengan meluncurkan sebuah single terbaharu yang berjudul Gentle Secrets. Dengan membawa pencapaian yang cukup kukuh di mana mereka pernah menerima anugerah Best Rock Video bagi lagu Never End di US Rampage Music Awards 2022, momentum diteruskan dengan single yang berdurasi 5 minit 7 saat ini.

 

Gentle Secrets merupakan sebuah lagu yang ringan kerana dimulakan dengan petikan lembut gitar, keyboard dan vokal Jay yang diberikan kesan khas mewujudkan suasana ambient dalam alunan vokal beliau. Lagu ini mula rancak pada minit 2:38. Bait lirik “…I’m sinking in..” menarik perhatian penulis untuk terus mendengar sambil menghentak kaki kerana susunan kord yang menarik dan seakan menjadi penenang sekiranya lagu ini tidak dihabiskan dengan sempurna.

Menurut vokalis mereka, Jay Ridzwan, lagu ini berkisar tentang seseorang yang memendam perasaan dan tidak dapat dilepas atau diluahkan. Mungkin boleh jadi juga luahan tentang penyesalan masa lampau diri sendiri dan bimbang dikecam apabila diluahkan.

“Penceritaan lagu ini adalah tentang bagaimana kita bila tak dapat menyuarakan atau meluahkan sesuatu (pendapat, perasaan dll), lalu kita menyimpannya dalam hati. Sampai tahap bila ia tersimpan terlalu lama dan kita tak boleh lupakan, dia kekal menjadi rahsia yang kita sahaja yang tahu.”

Sekalung tahniah diucapkan buat Hey Jay! kerana kembali dengan terbitan baharu yang dijangka akan mendapat sambutan yang memberangsangkan. Majulah muzik indpenden untuk negara!

Ikuti Hey Jay! di:

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅