Gigi Kembali ‘Nakal’ Di Kuala Lumpur

oleh Rahmat Mohd Did
2K bacaan

Setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur, akhirnya kumpulan yang terkenal menerusi permainan instrumen dan nyanyian yang mantap iaitu Gigi akan kembali merawat kerinduan para peminat di Malaysia.

Terakhir, kumpulan yang didirikan pada tahun 1994 ini beraksi di Konsert Eksklusif bersama Gigi di Menara PGRM pada tahun 2003 dan kemudian muncul di Sunburst  KL International Music Festival sepentas bersama Incubus dan John Legend pada tahun 2008. Kemudian kehadiran Gigi yang dianggotai oleh Armand Maulana (vokal), Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan (bass) dan Gusti Hendy (dram) ini dirindui oleh para peminat terutamanya GigiKita.

Gigi ‘memasuki’ pasaran Malaysia lewat lagu Terbang yang menjadi siulan ramai dan kegemaran rata-rata para pemuzik pada tahun 1999. Kedatangan mereka sama fasa dengan kemasukan grup Indonesia seperti Padi dan Sheila On 7 ke Malaysia. Gigi turut menawan ramai dengan hits seperti 11 Januari, Nakal, Pintu Sorga , Janji, Jomblo dan Andai. 

Uniknya kumpulan yang kini memasuki usia 28 tahun ini adalah mereka diminati rata-rata pemuzik kerana skil yang dimiliki oleh setiap personel kumpulan tersebut. Rata-rata menjadikan mereka sebagai idola kerana kemantapan skil mereka dan Armand Maulana selaku vokalis sentiasa memukau khayalak dengan vokal dan ‘showmanship’nya di atas pentas.

Untuk mengembalikan rasa pukauan tersebut, Tanjak Adventure & Tour dengan bangganya membawakan Gigi:  Nakal Di Kuala Lumpur yang bakal diadakan pada 5 November 2022, Sabtu di Zepp Kuala Lumpur pada pukul 9 malam.

Konsert dengan durasi dua jam itu akan menghimpunkan lagu-lagu terkenal Gigi yang akan memanaskan suasana di Zepp Kuala Lumpur.

“Kami sangat berbangga untuk membawakan kumpulan Gigi yang kita tahu diminati kerana skil dan profesionalisme mereka serta lagu-lagu mereka yang hebat. Kami mengharapkan kerinduan para peminat dapat terubat pada 5 November ini di Zepp Kuala Lumpur. Kami turut megalu-alukan sambutan para pemuzik yang meminati permainan Dewa Budjana, Thomas Ramdhan dan Gusti Hendy serta kemantapan vokal Armand Maulana,” ujar Azroy Ramli selaku Pegawai Eksekutif Tanjak Adventure & Tour.

Buat Gigi pula, sudah lama mereka menunggu masa untuk bertemu dengan para peminat di Malaysia. “Sudah lama benar kita semua tidak bertemu. Jadi jangan lupa untuk berjumpa di ‘Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur’ pada 5 November ini,” ujar Gigi.

Tiket-tiket berharga RM180 (BUDJANA- Free standing), RM200 (ARMAND- free standing) RM250 (HENDY- UPPER DECK), RM350 (THOMAS- UPPER DECK) dan RM450 (NAKAL- Meet and Greet) di www.myticket.asia bermula Rabu, 24 Ogos 2022, pukul 10 pagi.

Para peminat juga boleh menghubungi talian 03-86050196 serta hotline di 0197860144.

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅