HappySiblings Masih Berbisa

Selepas 16 Tahun menyepi, HappySiblings kembali dengan semangat baharu menerusi single "Destinasi."

oleh Aniq Ammar Ekhwan
0 komen 314 bacaan

Dalam landskap muzik alternatif tempatan yang sentiasa berubah, kemunculan semula HappySiblings pada tahun 2025 hadir sebagai satu kejutan yang menyenangkan. Ditubuhkan pada tahun 2009, band pop rock dari Klang ini pernah menjadi sebahagian daripada gelombang muzik alternatif Malaysia dengan identiti tersendiri yang menggabungkan tenaga rock dan jiwa yang jujur. Setelah sekian lama menyepi, mereka kini kembali dengan nafas yang lebih segar dan perancangan yang lebih tersusun.

Kemunculan semula mereka bukan sekadar bersandar kepada nostalgia semata-mata, sebaliknya digerakkan dengan karya baharu yang lebih tersusun dan berfokus. Tahun 2025 membuka fasa HappySiblings menerusi pelancaran single “Teriak Dunia”, diikuti “Destinasi” yang diperkenalkan pada 15 Februari 2026.

Kedua-dua single berkenaan menjadi pengenalan awal kepada album penuh yang sedang dirancang, menampilkan 10 buah lagu dan dijadualkan menemui pendengar sekitar Mei 2026. Menariknya, lagu-lagu yang telah dilancarkan akan menjadi sebahagian daripada naratif menyeluruh yang mengikat keseluruhan konsep karya berkenaan.

“Destinasi” mengangkat tema kegelisahan dalam mengejar impian. Namun bagi HappySiblings, maknanya lebih peribadi. Lagu ini terinspirasi daripada kehidupan mereka di Klang serta perjalanan untuk kembali ke dalam skena muzik tempatan. Apa yang bermula sebagai perjalanan fizikal berkembang menjadi simbol transformasi diri dan keberanian untuk bangkit semula selepas tempoh panjang berehat.

“Teriak Dunia” pula menyentuh pergolakan yang mewarnai dunia hari ini. Liriknya memberi ruang kepada pendengar untuk menafsir mesej berdasarkan perspektif masing-masing. Dari segi susunan muzik, kedua-dua single ini menampilkan komposisi kemas dengan elemen pop rock yang jelas. Strukturnya tidak klise dan memperlihatkan kematangan dalam penulisan serta pembinaan dinamika lagu.

Sebagai sebuah band pop rock dalam pasaran yang sudah padat, HappySiblings memilih untuk tidak terikat pada satu acuan sahaja. Album baharu mereka menyaksikan eksperimen dengan pelbagai elemen rock, dipengaruhi citarasa dan rujukan muzik yang mereka minati. Pendekatan ini menghasilkan variasi warna pada setiap trek dan membuka ruang kepada identiti yang lebih luas.

Walaupun begitu, masih terdapat ruang yang boleh diperkemaskan. Dari sudut adunan bunyi, proses mix dan master berpotensi diperhalusi agar lebih bersih dan seimbang supaya setiap lapisan instrumen benar-benar menonjol. Durasi lagu yang mencecah empat minit tujuh saat juga boleh dipadatkan untuk kesan yang lebih tuntas dan bertenaga. Ketika ini, mereka masih berpegang pada rasa dalam menentukan panjang sesebuah karya. Pendekatan itu memberi kejujuran, tetapi sedikit penajaman mungkin mampu meningkatkan impak keseluruhan.

Apabila ditanya tentang tempoh hiatus panjang dari 2009 hingga 2025, jawapan mereka ringkas tetapi bermakna: Kesabaran. Dalam industri yang bergerak pantas dan kompetitif, kesabaran menjadi asas untuk bertahan dan kembali dengan perspektif yang lebih matang.

HappySiblings tidak sekadar mengulang formula lama. Mereka tampil dengan perancangan album yang jelas, komitmen untuk lebih aktif di media sosial dan kesediaan untuk kembali memberi warna dalam arena pop rock tempatan. Dengan 10 lagu yang bakal dilancarkan, 2026 berpotensi menjadi titik kebangkitan sebenar buat band dari Klang ini.

Bagi yang baru mengenali mereka, ini mungkin masa terbaik untuk mengikuti perjalanan HappySiblings. Dan bagi peminat lama, ini adalah detik yang ditunggu tunggu. Skena muzik Malaysia sentiasa ada ruang untuk suara yang jujur dan band ini nampaknya bersedia untuk mengisi ruang tersebut sekali lagi.

Ikuti perjalanan HappySiblings di:

Facebook
Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅