Obscira Pertaruh ‘Ghirban,’ Eksplorasi Symphonic Metal Sarat Teladan

oleh Boes!
0 komen 545 bacaan

Sebuah kumpulan dinamik yang ditubuhkan tahun lalu, Obscira, tampil dengan karya beprestasi tinggi terbaharu berjudul Ghirban. Kumpulan yang memperjuangkan genre Symphonic Metal sebagai medium interpretasi muzik ini melancarkan lagu tersebut kira-kira dua minggu lalu, selepas debut pertama mereka, Kamar Dendam, diperkenalkan pada November 2025.

Karya ini dihasilkan sepenuhnya oleh mereka sendiri dengan kolaborasi bersama Sammiaqabraham daripada kumpulan Ivory, yang menaikkan seri lagu melalui paduan vokal scream yang menyatu dalam naskhah ini.

Barisan keanggotaan Obscira yang terdiri daripada Aiman (vokal utama), Zach (bass), Jimbo (gitar utama), Adam (keyboard), Mohan (dram), Mal (gitar ritma) dan Piraveen (produser) merupakan gabungan anak muda dari menara gading sama yang bersatu dalam medan muzik untuk menghasilkan karya berdaya saing tinggi. Menurut mereka ketika ditemu bual, idea membina legasi di persada muzik alternatif Malaysia tercetus selepas masing-masing pernah berentap dalam pertandingan Battle of the Bands di universiti mereka melalui kumpulan asal yang berbeza.

Obscira. Dari kiri Mal (gitar ritma), Jimbo (gitar utama), Aiman (vokalis utama), Zach (bass), Piraveen (produser), Adam (keyboard) dan Mohan (dram). Kredit : Obscira

Menurut mereka, lagu ini mengangkat kisah tragedi pertama manusia yang berpunca daripada hasad dengki, terinspirasi daripada peristiwa Nabi Adam A.S. serta Habil dan Qabil sehingga membawa kepada pertumpahan darah pertama. Pergelutan jiwa dan rasa tidak puas hati menukar pengorbanan menjadi pembunuhan, sebelum hadirnya ilham daripada seekor burung gagak (ghirbaan dalam bahasa Arab) sebagai simbol kesedaran. Lagu ini menjadi cermin untuk manusia menilai diri, sama ada benar-benar belajar daripada dosa pertama atau tanpa sedar mengulanginya.

Sebelum mengulas lanjut, mari ikuti sesi temu bual MAMY bersama pemain bass kumpulan ini, Zach Aiman:

MAMY : Boleh terangkan proses kreatif kalian untuk lagu ini?

Selalunya dalam pembuatan lagu, melodi akan datang dahulu, tetapi proses kami terbalik; struktur lagu disiapkan terlebih dahulu sebelum melodi dan lirik. Dari segi komposisi, idea utama datang daripada pemain keyboard, Adam, manakala ahli lain akan mengembangkannya. Melodi dan lirik pula dihasilkan oleh Aiman. Bagi memastikan elemen Symphonic Metal diterapkan dengan berkesan, Piraveen selaku produser bertindak sebagai mastermind untuk genre ini.

MAMY : Macam mana boleh terpinspirasi untuk menceritakan tentang kisah Habil dan Qabil ini?

Sebenarnya idea awalnya adalah tentang sifat hasad dengki. Namun selepas perbincangan, kami teringat akan kisah ini yang sarat dengan hikmah, nilai pengorbanan, serta kekecewaan akibat bisikan nafsu. Dari situlah terhasilnya lagu ini.

MAMY : Dari segi kolaborasi, macam mana boleh ada penglibatan Sammiaqabraham dalam lagu ini?

Apabila mendengar draf awal, kami merasakan lagu ini memerlukan vokal scream untuk menunjukkan sisi gelap penceritaannya. Kami menemui Sam melalui Instagram Ivory dan sememangnya meminati teknik scream jenis death metal yang menjadi kepakarannya. Hasil perbincangan bersama, kolaborasi ini berjaya menaikkan lagi impak lagu tersebut.

Obscira Ghirban) ft. Sammiaqabraham (Ivory)

Album Art

Berbalik kepada ulasan Ghirban, sejujurnya penulis sedikit gementar untuk memberikan komen kerana genre sebegini bukan kepakaran penulis. Namun, disebabkan daya tarikan yang mengancam serta elemen kejutan tersendiri, maka tercetuslah ulasan ini. Dari konteks muzik, paduan susunan simfoni orkestra dan elemen scream menjadikan lagu ini mesra didengar serta kaya dengan ibrah untuk diambil iktibar. Tidak semua lagu keras itu bersifat kasar sepenuhnya; ada sisi lembut yang berjaya menjentik emosi pendengar untuk menghayatinya.

Penulis menggemari susunan lagu ini, terutamanya di bahagian pre-chorus dan korus yang menunjukkan kejituan teknikaliti muzik serta pembinaan vokal yang cantik. Keberadaan vokal scream juga diletakkan secara adil pada tempatnya, memberikan variasi yang menarik terutamanya pada rangkap kedua. Dinamiknya sangat memikat sehingga tempoh empat minit terasa tidak mencukupi dan elemen koir juga mewarnai keseluruhan lagu ini.

Cuma dari sudut pandang peribadi, elemen Symphonic Metal dirasakan tidak diutarakan secara menyeluruh. Penulis berpendapat elemen orkestra yang disusun di tengah lagu tidak ditonjolkan dengan seimbang, sehingga kedengaran sedikit janggal di pertengahan jalan. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak mencacatkan keseluruhan karya kerana mungkin itu adalah cara mereka menunjukkan sisi berbeza Obscira.

Kesimpulannya, karya ini adalah sebuah banger yang tidak mengambil masa lama untuk dihadam. Penulis berharap Obscira terus menghasilkan karya bermutu pada masa hadapan. Bukan mudah bagi kumpulan yang terdiri daripada pelajar untuk mengharungi liku perjalanan muzik yang semakin mencabar dek arus normalisasi dan globalisasi alaf ini.

Kumpulan ini juga ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada para penyokong dan berharap peminat terus menyokong perjalanan seni mereka. Ghirban kini telah dilancarkan di semua platform pengstriman digital. Nantikan juga video muzik rasmi untuk lagu ini yang bakal dikeluarkan tak lama lagi.  Selamat maju jaya, Obscira!

Ikuti mereka di:

TikTok: @obscira.osc
Instagram: @obscira.osc

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅