
Kumpulan alternatif rock Malaysia, Disagree kembali semula selepas lebih sedekad menyepi dengan pelancaran single baharu berjudul “Let’s Do It All Again” yang mula tersedia di semua platform penstriman pada 15 Mei 2026.
Kemunculan semula ini menyaksikan barisan ahli terdiri daripada Zahid, Hamka dan Taa yang tampil dengan identiti muzik lebih matang tanpa meninggalkan akar alternatif rock dan grunge yang pernah membentuk nama mereka suatu ketika dahulu. Single tersebut menjadi pembuka jalan kepada album penuh akan datang berjudul “Black & White in Colour”.
Menurut Disagree, keputusan untuk kembali bukan sekadar didorong nostalgia, tetapi kerana mereka merasakan masih ada cerita yang belum selesai bersama peminat.
“Kami sebenarnya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal. Kehidupan terus berjalan, begitu juga kami. Tetapi di suatu titik, ada sesuatu yang kami tinggalkan tanpa penyelesaian,” ujar kumpulan itu.
Sebelum ini, Disagree dikenali sebagai antara kumpulan indie progressive rock berpengaruh di Malaysia sekitar awal 2000-an hingga awal 2010-an menerusi lagu seperti “Crumbs”, “Suicide Note”, “Scarecrow Adams”, “Osaka” dan “Haley”. Mereka juga pernah menjadi antara nama tetap festival Rock The World selain membuka pentas untuk kumpulan antarabangsa seperti Hoobastank dan The All-American Rejects.
Sepanjang perjalanan karier mereka, Disagree pernah memenangi tiga Anugerah Industri Muzik (AIM), termasuk kategori Artis Baru Terbaik, Album Inggeris Terbaik dan Kulit Album Terbaik. Mereka turut menerima pengiktirafan daripada hitz.fm menerusi anugerah Most Airplay serta pernah diiktiraf oleh Universal Music Malaysia sebagai album paling pantas terjual pada tahun 2005.
“Let’s Do It All Again” digambarkan sebagai anthem emosional mengenai kepulangan, penyesalan dan penghargaan terhadap peminat yang tidak pernah melupakan mereka. Lagu itu turut membawa mesej permohonan maaf dan usaha untuk kembali berhubung selepas sekian lama menghilang tanpa penutup cerita yang jelas.
Single tersebut dirakam di Malaysia dan Australia, diadun serta diterbitkan oleh Greg Henderson manakala proses mastering dilakukan oleh pemenang Grammy, Leon Zervos di Studios 301, Australia.
Album akan datang, “Black & White in Colour”, bakal menyentuh tema patah hati, trauma, hubungan semula, kepercayaan dan perjalanan hidup, sekali gus menjadi simbol kelahiran semula buat Disagree dan peminat yang membesar bersama muzik mereka.