
Starbucks Malaysia terus memperkukuh sokongan terhadap industri kreatif tempatan menerusi penganjuran Kopi Creator Kolektif (KCK) Showcase 2026 yang berlangsung di Starbucks Reserve® IOI Mall Damansara pada 19 Mei lalu.
Acara tersebut menghimpunkan sepuluh bakat baharu dalam bidang muzik dan perfileman selepas menjalani beberapa minggu sesi bimbingan, pembangunan kreatif dan pendedahan industri menerusi program KCK.
Lima finalis muzik terdiri daripada Akardia, Huey Yeing, Sharkfins, Suehaila dan Thariq Amran, manakala kategori filem menampilkan Batu Belah Productions, C317, Keladak Krunchy, Sudhifilem dan Tanahliat Studios.
Pada malam showcase tersebut, para peserta mempersembahkan karya asli masing-masing termasuk persembahan muzik secara langsung serta tayangan teaser filem di hadapan penonton dan panel industri.
Dua pemenang utama dipilih berdasarkan idea kreatif, persembahan, perkembangan sepanjang program serta undian penonton. Suehaila dinobatkan sebagai pemenang kategori muzik dan bakal menerima kontrak rakaman termasuk penerbitan EP empat lagu, manakala Tanahliat Studios dipilih sebagai pemenang kategori filem dengan sokongan untuk merealisasikan teaser mereka menjadi filem pendek penuh. Kedua-dua pemenang turut menerima hadiah bernilai RM10,000 berserta bimbingan lanjutan daripada pihak industri.
Menurut Pengarah Marketing & Loyalty Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd, Zakiah Hanim Md Zaki, program tersebut diwujudkan bagi memberi ruang kepada bakat kreatif tempatan mengembangkan idea dan karya mereka dalam suasana komuniti yang lebih dekat dengan khalayak.
Mentor kohort muzik merangkap pengasas bersama Breaking Music, Isaac Ravi pula menyifatkan kesemua peserta memiliki potensi besar sejak awal program dan menunjukkan perkembangan ketara dari segi identiti seni serta cara mereka membawa karya kepada penonton.
Bagi kategori filem, pengarah dan mentor kohort filem Adam Zainal berkata kebanyakan peserta tampil dengan idea yang dekat dengan pengalaman hidup serta komuniti masing-masing, sekali gus memperlihatkan perspektif baharu penceritaan generasi muda Malaysia.
Suehaila menjelaskan kemenangan tersebut cukup bermakna buat dirinya kerana program KCK membantunya memahami proses perkembangan sebagai seorang artis dengan lebih mendalam. Sepanjang program, lagu “Ephemeral Queen” yang diinspirasikan daripada bunga Queen of the Night telah diperhalusi dari segi susunan muzik dan emosi persembahan.
Sementara itu, Tanahliat Studios mempertaruhkan teaser filem bertajuk Merinsak (Hardship) yang mengangkat kisah seorang pelajar di Kuala Lumpur yang cuba pulang ke Sarawak untuk sambutan Hari Gawai. Filem tersebut menyentuh konflik antara cita-cita, keluarga dan persahabatan daripada sudut pandang anak muda Sarawak yang tinggal di ibu kota.
Selain persembahan utama, showcase itu turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif berinspirasikan muzik dan filem termasuk ruang kreatif untuk pengunjung menghasilkan kandungan serta menghias tumbler Starbucks mereka sendiri.
Menerusi Kopi Creator Kolektif, Starbucks Malaysia terus memperkukuh peranan coffeehouse sebagai ruang komuniti dan platform budaya yang menghubungkan bakat baharu dengan pemain industri kreatif tempatan.

