Mutasi: Coexist Tampilkan Dialog Seni, Bahan Buangan Dan Kewujudan Bersama - Music Addicts Malaysia

Mutasi: Coexist Tampilkan Dialog Seni, Bahan Buangan Dan Kewujudan Bersama

oleh Chiv Iscandar
0 komen 67 bacaan

Pameran seni Mutasi: Coexist yang berlangsung di Pay Fong Middle School, Melaka dari 23 April hingga 8 Mei 2026 berjaya menghimpunkan pelbagai pendekatan seni kontemporari dan muzikal yang berasaskan bahan buangan, memori peribadi dan hubungan manusia dengan persekitaran sekeliling. Pameran ini dibawakan oleh Pudipang Industries menerusi inisiatif ArtsFAS, sebuah program pembangunan seni di bawah Yayasan Hasanah, dengan sokongan APPGM-SDG dan Pay Fong Middle School Melaka.

Diketuai oleh Co2 selaku artis utama dan kurator pameran yang dikenali dengan pendekatan seni berasaskan alam sekitar dan bahan terpakai, Mutasi: Coexist turut menampilkan karya daripada Abu Hurairah (sci-fi artist), Yuyu (sketch artist) dan Mexlolo (sound artist). Setiap artis membawa pendekatan dan naratif tersendiri, namun kesemuanya berkongsi satu benang merah yang sama iaitu penggunaan bahan buangan, memori dan transformasi sebagai asas penciptaan karya.

Melalui dua segmen utama bertajuk Junk Food dan Unidentified Creatures, Co2 menampilkan karya-karya yang menggunakan bahan buangan harian sebagai medium utama. Segmen Junk Food memperlihatkan kolaj daripada plastik pembungkus makanan ringan, plastik keropok dan pelbagai sisa bungkusan harian yang disusun di atas kanvas sehingga membentuk imej makanan tempatan seperti nasi lemak, nasi ayam, roti canai dan kuih-muih. Dari kejauhan, karya-karya tersebut kelihatan seperti lukisan biasa, namun apabila dilihat dengan lebih dekat, setiap imej sebenarnya dibina daripada lapisan bahan buangan yang telah diolah semula menjadi visual yang hidup dan berwarna-warni.

Dalam segmen Unidentified Creatures pula, Co2 menghasilkan arca-arca eksperimental daripada botol plastik, bekas makanan dan pelbagai bahan terpakai lain yang diolah menjadi bentuk hidupan asing, seolah-olah makhluk mutasi dari dunia lain. Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana objek harian yang pernah dianggap tidak lagi berguna mampu “bermutasi” menjadi entiti baharu dengan identiti dan kehidupan tersendiri.

Abu Hurairah pula membawa pendekatan sains fiksyen menerusi karya-karya sculpture yang memperlihatkan gabungan antara elemen organik dan mekanikal. Karya-karyanya menyerupai bentuk hidupan yang sedang mengalami proses mutasi iaitu separuh makhluk hidup, separuh mesin, sekaligus mencipta visual futuristik yang mengaburkan sempadan antara biologi dan teknologi. Berbeza dengan pendekatan arca dan instalasi, Yuyu menampilkan siri lukisan digital yang lebih bersifat reflektif dan simbolik. Karya-karya beliau banyak menyentuh hubungan antara manusia, emosi dan kehidupan moden, dengan unsur mutasi dan coexist diterjemahkan melalui karakter, bentuk tubuh dan suasana visual yang surreal dan introspektif.

Sementara itu, Mexlolo membina pengalaman bunyi sepanjang pameran menerusi instalasi cassette tape loop analog yang menjadi latar ambience ruang pameran. Instalasi tersebut menggabungkan petikan gitar bernada melankolik, bunyi degupan jantung, plastik yang dipanaskan, serta rakaman suara dan tawa kanak-kanak perempuan yang diolah secara analog. Tape loop yang panjang disambungkan dari satu stesen ke stesen lain dan terus berputar sepanjang pameran berlangsung, menghasilkan lapisan bunyi yang misteri, nostalgik dan sedikit mengganggu, sekaligus menghidupkan keseluruhan suasana Mutasi: Coexist.

Melalui pemerhatian terhadap keseluruhan pameran, tema “mutasi” dan “coexist” diterjemahkan bukan sahaja secara visual, tetapi juga melalui hubungan emosi antara artis dan bahan yang digunakan. Objek-objek yang pernah dibuang, rosak atau dianggap tidak lagi bernilai diolah semula menjadi karya seni dengan identiti baharu. Dalam proses tersebut, bahan-bahan ini seakan “bermutasi” dan terus hidup bersama pengkarya dalam bentuk yang berbeza.

Pendekatan ini menjadikan setiap karya bukan sekadar objek visual, tetapi juga refleksi terhadap pengalaman peribadi, penggunaan harian manusia dan kesan jangka panjang terhadap alam sekitar. Ada karya yang tampil dalam bentuk organik dan eksperimental, ada juga yang membawa unsur futuristik, bunyi dan imaginasi sains fiksyen, menjadikan ruang pameran terasa seperti sebuah ekosistem yang hidup. Selain pameran utama, satu forum dan dua bengkel turut diadakan pada 2 Mei 2026 bagi membuka ruang interaksi yang lebih dekat antara artis dan pengunjung.

Forum bertajuk “Coexistence Through Waste” menampilkan pengamal media Sidiqin Omar sebagai moderator bersama panel-panel pakar iaitu Oscar Lee dan Celine Tan daripada Co2, serta Dr. Teo Lee Ken mewakili APPGM-SDG. Sesi tersebut membincangkan bagaimana bahan buangan boleh dilihat semula melalui perspektif seni, komuniti dan pembangunan mampan atau SDG.

Turut berlangsung ialah bengkel “E-Waste Mutants” yang dikendalikan oleh Abu Hurairah, yang mengajak peserta menghasilkan karakter dan bentuk kreatif menggunakan bahan elektronik terpakai. Bengkel kedua, “Plastic Coexist” oleh Co2 pula memberi fokus kepada transformasi bahan plastik buangan menjadi karya seni dan objek eksperimental.

Sepanjang berlangsungnya pameran ini, Mutasi: Coexist bukan sahaja berfungsi sebagai ruang apresiasi seni, tetapi juga platform dialog tentang hubungan manusia dengan objek, memori dan alam sekitar. Ia memperlihatkan bagaimana seni mampu memberikan kehidupan baharu kepada sesuatu yang pernah dianggap tidak lagi berguna, sekaligus membuka perspektif baharu tentang kewujudan bersama dalam dunia moden.

Sumbangan artikel: Sidiqin Omar

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅