
Dua dekad selepas kemunculan awal mereka dalam landskap muzik tempatan, kugiran indie rock alternatif, Hujan bakal diraikan menerusi sebuah konsert berskala besar bertajuk HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN yang dijadual berlangsung pada 27 Jun 2026 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Sejak ‘turun’ dalam industri sekitar 2005, Hujan pantas mencipta impak tersendiri. Album pertama mereka pada 2007 bukan sahaja menembusi dominasi muzik pop ketika itu, malah mencetus gelombang baharu terhadap penerimaan genre indie rock alternatif di Malaysia dan Nusantara.
Barisan teras yang diterajui Noh Salleh, AG Coco, Hang Dimas dan Azham Ahmad, kemudian disertai Izzat Uzaini, kekal relevan hingga kini dengan katalog karya yang luas. Sepanjang perjalanan, mereka turut dibantu pemuzik session seperti Dukegong, Ojoe dan Jaja.
Antara lagu yang mengangkat nama mereka termasuk Pagi Yang Gelap, Aku Skandal, DugaanNya, Ahmoi Chantek, Bila Aku Sudah Tiada, Gundah dan Pijak Hatiku. Hujan juga pernah meraih pengiktirafan di Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM 16) menerusi kategori Album Rock Terbaik dan Lagu Rock Terbaik.
Dengan sembilan album dihasilkan setakat ini, Hujan dilihat sebagai antara penanda aras penting yang mengubah lanskap muzik tempatan sejak awal 2000-an, sekaligus mengukuhkan status mereka sebagai legenda indie Malaysia.
Konsert HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN dianjurkan oleh ICON Entertainment sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besar kugiran tersebut.
Menurut pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, penganjuran ini sudah lama dirancang namun sengaja menunggu momen 20 tahun sebagai simbolik kepada perjalanan mereka.
“Dalam setiap era atau fasa muzik Malaysia, akan lahir pemuzik atau karyawan yang mampu menjadi legenda.
“Salah satunya adalah Hujan. Menerobos pasaran Malaysia pada saat genre pop dan penyanyi solo sangat mendominasi dengan stail indie dan muzik mereka adalah sebuah keberanian yang sukar diperoleh jika ‘tidak hati kering’.
“Keberanian, kualiti, semangat dan kreativiti yang tidak pernah mati dibawa Hujan telah menjadi faktor utama ICON Entertainment tidak berfikir dua kali untuk menganjurkan HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN.
“Hujan adalah ikon muzik generasi kini dan menganjurkan HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN adalah sebuah apresiasi khas buat Hujan dengan revolusi ‘Empayar’ mereka yang ‘gila’,” katanya.
Iman turut menjangkakan konsert ini akan menghimpunkan peminat setia mereka, Raingers dari seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Bagi pihak Hujan, ulang tahun ke-20 ini bukan sekadar tentang mereka, sebaliknya lebih luas merangkumi keseluruhan “scene” indie yang pernah berjuang menembusi pasaran arus perdana.
“HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN bukan tentang Hujan tetapi tentang hasrat kami merayakan pejuang kugiran indie yang pada suatu masa pernah berdepan cabaran hebat untuk menembus dan merobohkan tembok muzik komersial sedia ada.
“Indie pernah dianggap asing. Muzik kami menerima persepsi yang sukar dan susah berjaya dalam pasaran komersial.
“Tapi lihatlah setelah kelompok pemuzik indie yang percaya bahawa tiada diskriminasi atau kasta dalam muzik, akhirnya kami membuktikan keberagaman genre menjadikan industri muzik tempatan lebih berwarna.
“Dan indie dari Malaysia kemudian juga diterima baik di Nusantara… Ini yang ingin kami rayakan dalam HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN,” ujar AG Coco.
Tambahnya lagi, konsert ini juga merupakan penghargaan khusus buat Raingers yang setia sejak awal perjalanan mereka.
“HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN adalah tentang Raingers…
“Justeru, Hujan 20 Tahun adalah tentang bagaimana kami seharusnya merayakan Raingers, bukan Raingers merayakan kami…
“Maka dengan ini Hujan secara rasmi dan berbesar hati mengundang Raingers atau penikmat muzik umumnya untuk mencipta satu sejarah… Kita akan berpesta lebih 40 lagu dari katalog arkib Hujan,” katanya.
Konsert ini dijangka menjadi sebuah perayaan besar yang merangkumi perjalanan Hujan, penghargaan kepada peminat serta pengiktirafan terhadap keseluruhan ekosistem muzik indie tempatan.
Peminat turut digalakkan hadir dengan busana bertemakan band atau jenama tempatan sebagai simbol sokongan terhadap budaya #supportlocal.
Tiket akan mula dijual pada 10 April 2026 jam 3 petang dengan harga bermula RM158 hingga RM268 mengikut kategori.
Info Konsert:
- Tarikh: 27 Jun 2026 (Sabtu)
- Masa: 8.30 malam
- Lokasi: Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil
- Tiket: RM158 – RM268
- Jualan: ticket2u.com.my
Dengan lebih 40 lagu dijangka dipersembahkan, HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN bukan sekadar konsert, tetapi sebuah penanda sejarah bagi perjalanan muzik indie Malaysia.




