‘Pergi’ oleh Zullander – Eviden Pop-Punk Millenial

oleh Mohd Asyraf Firdaus
0 komen 751 bacaan

 

Zullander-Dari kiri Ipang, Ejoi dan Arm

2009 – Penubuhan StupidMunk di era MySpace

Jika diimbas kembali ke tahun 2009, ketika era MySpace berada di kemuncaknya dan cara menikmati muzik masih berbeza berbanding hari ini, di situlah bermulanya sebuah band projek yang lahir daripada perkenalan di platform tersebut. Mereka disatukan oleh minat mendalam terhadap satu aliran yang sama. Genre pop punk yang ketika itu dipopularkan oleh band Barat seperti Blink-182 menjadi pengaruh utama dan siulan anak muda.

Line-up awal bermula sebagai trio yang sekadar jamming santai, tanpa perancangan serius. Namun, pertemuan antara Ejoi (vokal), Arm di posisi bass dan Ipang di dram akhirnya membentuk StupidMunk secara rasmi. Menariknya, Ejoi pada asalnya menggalas peranan sebagai pemain dram sebelum beralih ke posisi vokalis dan gitaris, selari dengan kecenderungannya dalam penulisan lagu.

2024 – Tahun Yang Merubah Segalanya – StupidMunk kepada Zullander

Menurut Ejoi, beliau mengambil langkah berani untuk melakukan penjenamaan semula daripada StupidMunk kepada Zullander. Nama baharu ini diinspirasikan daripada filem Zoolander, sebagai usaha membawa imej yang lebih matang dan profesional.

Dalam masa yang sama, berlaku juga rombakan dalam susunan posisi. Ejoi kekal sebagai vokalis dan gitaris, Arm terus menggalas peranan di bass, manakala Ipang beralih daripada pemain dram ke gitaris. Perubahan ini dilihat lebih selari dengan kelebihan serta pengalamannya sebagai busker, di samping bakatnya dalam penulisan lagu.

‘Pergi’ Menjadi Manifestasi Zullander Merilis Pop Punk Mesra Radio

Single terbaharu mereka berjudul “Pergi” muncul sebagai antara rilisan terkini daripada Zullander yang wajar diberi perhatian. Liriknya ditulis sepenuhnya oleh Ipang, dengan pendekatan yang lebih santai dan mudah dihadam. Dari sudut susunan muzik serta nuansa yang dibawa, “Pergi” memperlihatkan potensi besar untuk diketengahkan sebagai runut bunyi, khususnya bagi naskhah drama atau filem yang bernuansa emosi ringan dan reflektif.

Dari aspek vokal, Ejoi tampil sebagai tunjang utama kekuatan Zullander. Penyampaian vokalnya kedengaran kemas, terkawal dan sarat emosi, sekali gus memberikan identiti yang jelas kepada lagu ini. Walaupun Zullander masih berada pada fasa awal dengan jumlah rilisan yang terhad di platform digital, kualiti vokal Ejoi berupaya menjadi faktor pembeza yang signifikan berbanding band lain yang seangkatan.

“Pergi” juga boleh diklasifikasikan sebagai single yang mesra siaran radio. Lagu ini dibuka dengan petikan gitar akustik yang ringkas namun efektif dalam membina suasana. Perkembangannya kemudian dipacu oleh strumming gitar berinspirasikan pop punk dalam versi yang lebih ringan dan tidak terlalu agresif. Pendekatan ini menjadikan “Pergi” mudah diterima oleh pelbagai lapisan pendengar tanpa mengorbankan elemen emosi yang ingin disampaikan.

Penulis turut tertarik dengan kekuatan liriknya yang ringkas tetapi tetap sarat dengan permainan emosi. Ipang bijak menyusun kata tanpa bergantung kepada laras bahasa yang kompleks, namun masih berupaya menyampaikan rasa dengan berkesan. Gaya muzik yang diketengahkan juga selari dengan tema, menjadikan keseluruhan karya ini terasa dekat dan mudah dihadam. Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan pendengar memahami maksud yang ingin disampaikan, malah menjadikan “Pergi” sebuah lagu yang mudah didengar dan meninggalkan kesan yang mendalam.

Dalam masa yang sama, Zullander dilihat kekal dengan identiti serta kecenderungan muzik mereka sendiri. Ini berlaku ketika pasaran semasa dibanjiri lagu-lagu bernuansa galau dari seberang yang sering menjadi pilihan anak muda. Namun begitu, Zullander berjaya mengisi ruang tersebut menerusi “Pergi” dengan pendekatan yang lebih tersendiri. Lagu ini membawa elemen emosi yang dekat dengan pendengar tanpa perlu meniru acuan sedia ada. Hasilnya, ia memberi variasi dalam landskap muzik tempatan dan membuktikan bahawa Zullander mampu berdiri dengan identiti sendiri serta kekal relevan.

Secara keseluruhan, “Pergi” menjadi bukti awal kematangan Zullander dalam menghasilkan karya yang seimbang dari segi melodi, susunan muzik dan penyampaian vokal. Lagu ini bukan sahaja enak didengar, malah mempunyai nilai komersial yang signifikan, khususnya dengan potensi untuk dijadikan runut bunyi bagi mana-mana naskhah drama atau filem.

Ayuh, kembalikan kegemilangan pop punk. Strim “Pergi” di semua platform digital.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅